Jam tangan yang paling popular sebelum kemunculan jam tangan pintar pada hemat kami ialah Casio G-Shock. Jam tangan yang menyambut ulang tahunnya yang ke-35 tahun hadapan cukup tahan lasak. DNA G-Shock kini digunakan pada kamera aksi Casio G’z EYE GZE-1 Tough Camera.
Kamera tahan lasak ini mempunyai kerangka getah yang boleh menyerap hentakan dari ketinggian 4 meter, kalis air IP6X, boleh direndam sehingga 50 meter dan berfungsi pada suhu -10 Celsius. Kamera dengan lensa f/2.8 EIS boleh merakam gambar pada resolusi 6-Megapixel dan video pada resolusi 1080P 30FPS.
Bateri yang disertakan boleh memberikan tempoh rakaman video sehingga 90 minit. Kamera aksi tahan lasak ini akan mula dijual di Jepun pada 27 Oktober hadapan tetapi harga masih belum diumumkan.