Tablet Untuk Golongan Kreatif HP ZBook x2 Dilancarkan Dengan Sokongan Stylus Wacom
HP

Tablet Untuk Golongan Kreatif HP ZBook x2 Dilancarkan Dengan Sokongan Stylus Wacom

Diterbitkan pada Okt 19, 2017 oleh .

Kerap kami dengari sejak di kolej bahawa “golongan kreatif” menggunakan MacBook kerana ianya lebih stabil. Lebih sedekad selepas meninggalkan kolej, ini tidak lagi benar kerana PC kini turut dioptimasikan untuk golongan kreatif. Di acara Adobe MAX yang sedang berlangsung HP ZBook x2 telah dilancarkan. Ia sebuah komputer tablet yang berkuasa dan mempunyai sokongan stylus Wacom.

HP ZBook X2 dilengkapi skrin 14″ UHD Dreamcolor Display (100% Adobe RGB) dengan sokongan sesentuh, pemproses Intel Core i5/i7 generasi ke-lapan, memori sehingga 32GB dan storan sehingga 2TB SSD. Walaupun ia sebuah komputer tablet ia mempunyai kad grafik Nvidia Quadro M620 terbina untuk tugasan berat menggunakan program Adobe Premiere Pro  dan After Effect. Terdapat tongkat pada bahagian belakang yang membolehkannya berdiri dan juga papan kekunci bluetooth.

Kerana ia direka untuk golongan kreatif, terdapat 2 port Thunderbolt 3 dalam bentuk USB-C, 1 USB-A 3.0, pembaca kad SD, HDMI 1.4 dan pengimbas cap jari. Stylus berteknologi Wacom yang disertakan mampu mengesan 4096 tahap tekanan dan tidak memerlukan sebarang bateri untuk berfungsi. Dengan dok khas ia boleh disambungkan kepada dua monitor 4K secara serentak.

Bateri yang digunakan menurut HP dapat bertahan sehingga 10 jam. Kerangka diperbuat daripada aluminium memberikan ketahanan sehingga melepasi piawaian MIL-STD 810G. HP ZBook x2 akan dijual pada bulan Disember dengan harga bermula dari $1,749 (~RM 7390) sebuah.


TIPS & ULASAN