Jika anda seorang pembina PC yang ingin membina sebuah komputer yang kecil tetapi berkuasa, ZOTAC akhirnya hadir dengan kad grafik NVIDIA GTX 1080 Ti yang paling kecil dan berkuasa mereka, ZOTAC GTX 1080 Ti ArcticStorm Mini.
Rekaan kad grafik terbaru daripada ZOTAC ini hadir dengan blok penyejuk cecair, khusus untuk mereka yang mahu membina sistem yang disejukkan sepenuhnya dengan cecair. Kad grafik ini menggunakan papan lintar ZOTAC GTX 1080 Ti Mini, dan bongkah penyejuknya menutup keseluruhan papan ini untuk menyejukkan kesemua komponen-komponen diatas papan lintar tersebut.
Dari segi spesifikasi, kad grafik ini hadir dengan kelajuan asas 1506MHz dan Boost Clock 1605MHz dan mengekalkan memori GDDR5X 11GB yang hadir pada kad grafik NVIDIA GTX 1080 Ti yang lain. Dari segi spesifikasi blok penyejuk cecair tersebut pula, ia hadir dengan lubang pengaliran bersaiz G 1/4, manakala teknologi penyejukan Direct Copper Contact dengan micro-channel bersaiz 0.3mm membantu menyejukkan kad grafik ini.
Menurut laman Facebook ZOTAC Malaysia, kad grafik ZOTAC GTX 1080 Ti ArcticStorm Mini ini sudahpun hadir di pasaran Malaysia pada harga RM4049. Jika anda sedang berfikir untuk membina sebuah komputer berkuasa yang bersaiz kecil, inilah kad grafik untuk anda.