Cari @ Amanz

Papan induk bersaiz kecil seperti micro-ATX dan mini-ITX kini berada di tahap dimana prestasinya boleh dikatakan hampir sama dengan papan induk bersaiz ATX yang biasa. Jika anda ingin membina sebuah sistem PC yang kecil berdasarkan CPU AMD Ryzen, ASUS ada dua papan induk baru untuk pilihan anda.

Papan-papan induk ini ialah ASUS ROG STRIX X370-I dan juga ROG STRIX B350-I, dan kedua-dua papan induk ini boleh dikatakan kembar dari segi reka-bentuk dan juga ciri-ciri. Walaupun papan induk ini sangat kecil berbanding dengan papan-papan induk biasa, ia hadir dengan sokongan untuk penyejuk udara yang besar dan juga penyejuk cecair khusus dan juga AIO (All-in-One).

Dari segi overclocking, kedua-dua papan induk ini juga hadir dengan sistem 5-Way Optimization yang membantu anda meng-overclock CPU dan RAM anda dengan mudah, dan dengan rekaan papan baru ini, anda boleh meng-overclock memori DDR4 sehingga 3600MHz.

Satu lagi ciri menarik yang hadir pada kedua-dua papan induk ini ialah kad M.2 Audio Combo, dimana papan litar audio papan induk ini boleh dipasang pada port satu PCIe, dan boleh berkongsi tempat dengan SSD M.2 yang cukup pantas.

Kedua-dua papan induk ini dikatakan bakal hadir di pasaran Malaysia pada hujung bulan Oktober kelak, tetapi tanda harga masih belum diumumkan lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd