Cari @ Amanz

Sony Xperia XZ1 ialah alternatif kepada XZ Premium bagi mereka yang masih mahukan peranti keluaran Sony tetapi pada harga yang lebih mampu milik. Perbezaan terletak pada saiz skrin, resolusi skrin dan kemasan. Ia lebih kecil berbanding abang besar XZ Premium tetapi mengekalkan spesifikasi kasi yang sama. Paling penting sekali harga jualannya RM400 lebih murah. Jadi adalah XZ1 peranti yang berbaloi dimiliki? Ini ialah ulasan ringkas kami mengenai peranti ini.

Spesifikasi

Sony Xperia XZ1
Skrin 5.2″ IPS LCD FHD HDR
Pemproses Qualcomm Snapdragon 835
CPU 4 x 2.45 GHz Kryo
4 x 1.9 GHz Kryo
Cip Grafik Adreno 540
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 19 Megapixel f/2.0, EIS, Laser, PDAF
Kamera Depan 13 Megapixel f/2.0
Bateri 2700 mAh (Qnovo)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
Jalur LTE 1/2/3/4/5/7/8/12/13/17/19/20/26/28/29/
32/38/39/40/41
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Harga Jualan RM 2999

Skrin 5.2″ IPS LCD HD penuh digunakan dengan sokongan teknologi Triluminous dan Xreality Engine. Kualiti paparan memang amat baik dan tajam sungguhpun hanya menggunakan resolusi HD penuh. Apabila diletakkan bersebelahan XZ Premium, perbezaan adalah ketara kerana jumlah pixel yang empat kali ganda lebih tinggi. Tetapi secara ikhlas kami katakan dalam penggunaan harian resolusi HD penuh ini sebenarnya sudah lebih dari memadai.

Seperti pada XZ Premium, skrin XZ1  menyokong format video HDR10 yang boleh ditemui pada perkhidmatan penstriman video seperti Amazon Prime dan YouTube. Apabila diletakkan bersebelahan XZ Premium perbezaan pada perincian paparan sekali lagi ketara tetapi penghasilan semula adalah setanding. Apabila diletakkan bersebalahan skrin SAMOLED Note 8, perbezaan terletak pada warna yang lebih baik ditemui pada peranti Samsung. Ini kekurangan yang ada pada skrin LCD yang digunakan. Melainkan anda pernah menggunakan XZ Premium dan S8/Note 8, anda tidak akan menyedari kesemua kekurangan ini.

Pemproses Snapdragon 835 ia enjin yang menjadi penggerak utama peranti. Ini ialah pemproses yang paling berkuasa di atas kertas yang boleh digunakan pada peranti Android di pasaran sekarang. Pemproses ini dipadankan pula dengan memori sebesar 4GB dan storan sebesar 64GB. Bagi yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 256 GB disokong. Ini adalah spesifikasi yang sama seperti yang ditemui pada Xperia XZ Premium.

Peranti ini menyokong dwi SIM nano tetapi talam SIM kedua berkongsi slot dengan kad MikroSD. Oleh itu penggunaan dwi-SIM nano dan sebuah kad MikroSD secara serentak tidak dapat dilakukan. Talam SIM Xperia XZ1 boleh ditemui di belakang pintu kecil pada sisi peranti. Rekaan agak tidak ortodoks dengan satu talam bersambung dengan pintu ini manakala sebuah lagi perlu ditarik keluar selepas pintu dicabut terlebih dahulu.

Kamera utama 19-Megapixel f/2.0 menggunakan sistem Motion Eye yang mampu merakam video pada tetapan 4K 30FPS , 1080P 60FPS atau  gerak perlahan ekstrem 720P 960 FPS. Ini menjadikannya peranti dengan kemampuan gerak perlahan terbaik buat masa ini. Sungguhpun itu ia hanya dilengkapi lensa f/2.0 dan tiada sokongan EIS. Sony merasakan sistem EIS, laser dan PDAF sudah memadai pada peranti utama mereka ini. Tiada sokongan untuk 4K 60FPS seperti yang ditemui pada iPhone 8, iPhone X dan kelak pada Galaxy Note 8.

Kamera selfie pula sebesar 13-Megapixel f/2.0yang merakam video pada resolusi 1080P. Sony masih belum bersedia untuk berhijrah kepada lensa f1.7  seperti pada peranti pesaing.

Membekalkan kuasa pada peranti ialah bateri “sebesar” 2700 mAh. Perbezaan saiz bateri dengan XZ Premium adalah besar kerana pada peranti tersebut bateri 3230 mAh disertakan. Bagi yang risau peranti akan mudah kehabisan caj, pengecasan pantas Qnovo disertakan. Port USB-C digunakan bagi mengecas dan ini mengikut trend semasa.

Rekabentuk

Xperia XZ1 masih mengekalkan rekaan berkotak Sony tetapi dengan beberapa perubahan kecil yang menarik. Bucu sisi jauh lebih bulat berbanding XZ Premium. Bahagian atas dan bawah juga tidak lagi rata dan lebih bulat. Peranti tampak lebih segak tetapi kesan negatif di sini ialah ia tidak boleh didirikan. Kami amat meminati hala tuju rekaan yang diberi nama Loop Suface.

Panel belakang dan sisi kini sekeping tanpa sebarang sambungan. Memegang peranti terasa lebih selesa. Penggunaan bahan logam membuatkannya sejuk dipegang dan tidak memerangkap kotoron seperti pada peranti dengan panel kaca. Mengekalkan “kesucian” XZ1 adalah jauh lebih mudah. Kemasan warna pusam ini pasti menggembirakan mereka yang tidak gemar menggunakan kerangka.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa, suara dan pengatup kamera khas. Kedudukan butang suara dari jenis rocker adalah di atas butang kuasa. Butang kuasa yang besar ini dilengkapi sistem imbasan cap jari. Bagi yang gemar menggunakan sistem imbasan jari, imbasan dapat dilakukan dengan pantas tanpa sebarang masalah.

Sony membuktikan peranti masih boleh dilengkapi sistem imbasan cap jari sekiranya penggunaannya pada panel hadapan dan belakang dianggap kurang cantik. Mungkin Sony boleh meminjamkan rekaan ini kepada iPhone X yang langsung tidak mempunyai imbasan cap jari tahun ini.

Pada sisi kiri pula terdapat pintu untuk talam kad MikroSD dan dwi-SIM bersaiz nano. Rekaan yang digunakan sedikit aneh kerana terdapat dua talam berbeza. Satu talam hanya menyokong satu SIM manakala sebuah lagi talam hibrid menyokong SIM atau sebuah kad MikroSD. Talam kedua ini bersambung terus kepada pintu Ini bermakna penggunaan kedua-dua SIM dan kad MikroSD secara serentak adalah mustahil.

Harus kami nyatakan pada bahagian sisi kini terdapat tiga senggatan yang difahamkan adalah antena peranti. Dua pada sisi kiri dan satu di sisi kanan. Ini adalah kali pertama rekaan antena seperti ini kami temui pada peranti mudah alih.

Seperti kami katakan beberapa perenggan yang lalu, Sony masih belum bersedia untuk menggunakan skrin OLED. Mereka juga belum bersedia untuk peranti dengan rekaan bezel nipis. Saiz dagu dan dahi Xperia XZ1 adalah amat besar jika dibandingkan dengan rekaan kontemporari. Ini tidak semestinya negatif kerana ini membolehkan Sony menyertakan dua pembesar suara yang menembak ke hadapan untuk sistem audio stereo yang terbaik. Pembesar suara ini telah dikemaskini bagi menambah kemampuan menghasilkan bunyi 50% lebih lantang menurut Sony.

Saiz peranti yang kecil dengan permukaan yang sedikit kesat membuatkan peranti ini amat mudah digunakan sebelah tangan. Tidak seperti peranti lain dengan skrin 5.5″ ke atas serta bahagian belakang berkaca, penggunaan kerangka tahan lasak pada peranti ini tidaklah mandatori.

Antaramuka

Xperia XZ1 ialah peranti terawal dilancarkan menggunakan Android Oreo tetapi ia masih belum menggunakan pelancar seakan Pixel launcher. Butang khas untuk talam aplikasi digunakan tanpa sokongan tatal ke atas untuk membukanya. Ketiga-tiga butang nivagasi atas skrin kini lebih menghampiri Android Asal dan bukannya dengan rekaan semula yang digunakan Sony sebelum ini.

Pada ulasan XZ Premium kami merungut fungsi App Shortcut yang muncul apabila ikon ditekan tidak disokong. Sony nampaknya mendengar rungutan pengguna dan pada XZ1 ia akhirnya disokong tetapi dengan antaramuka mereka sendiri. Tidak diketahui mengapa Sony masih enggan menggunakan antaramuka Android Asal sahaja sedangkan 90% elemen antaramuka peranti ini sudahpun menyamai Android Asal.

Seperkara lagi masih tiada sokongan untuk menyusun semula butang navigasi. Butang home di tengah dihimpit butang back pada sebelah kiri dan multi tasking pada sebelah kanan.

Audio Optimisation – Mengoptimasikan audio yang didengari bergantung kepada fon telinga/kepala yang digunakan. Bagi penggemar audio XZ1 menyokong penstriman LDAC dengan sistem audio DSEE HX bagi mendapatkan kualiti audio yang tertinggi.

Multi Window – Menggunakan sistem multi-window natif Android Oreo bagi melancarkan dua aplikasi serentak.

Quick Search – Carian pantas fail dan aplikasi dari dalam peranti. Tatal skrin dari atas ke bawah dan skrin carian akan muncul. Lapan aplikasi paling kerap digunakan turut akan dipaparkan secara automatik.

Sketch – Aplikasi lakaran dengan pelbagai pilih berus dan pena bagi menghasilkan karya seni dengan pantas.

Theme  – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema dari filem keluaran Sony boleh dimuat turun. Sungguhpun begitu kebanyakan tema yang disediakan harus dibeli.

3D Creator

Jika iPhone X mempunyai Animoji yang menghasilkan emoji bergerak mengikut wajah pengguna, XZ1 mempunyai fungi yang kami rasakan lebih menarik. Pengguna boleh mengimbas wajah mereka sendiri dan kemudian menggunakannya sebagai avatar beranimasi atau mencetaknya secara fizikal.

Aplikasi 3D Creator yang disertakan mempunyai beberapa mod imabasan iaitu imbasan wajah, kepala, makanan dan bebas. Terdapat tutorial bertulis dan video bagi memudahkan proses pembelajaran. Menggunakannya pertama kali adalah sedikit sukar tetapi ini dijangka kerana 3D Creator ialah sebuah aplikasi baru.

Kawasan yang diimbas akan kelihatan berwarna hijau pada paparan skrin. Aplikasi akan meminta anda mengimbas semula kawasan yang tidak diimbas dengan baik. Usai imbasan anda bebas untuk “mengukir” semula model 3D yang dihasilkan. Mahukan muka lebih tirus seperti bintang KPop? Mata lebih besar? Terdapat fungsi terbina untuk melakukan kesemua ini.

Hasil imbasan adalah amat baik baik sebuah peranti mudah alih dengan hanya satu kamera. Model 3D yang diimbas ini kemudian boleh digunakan semula sebagai avatar di dalam mod Augmented Reality aplikasi kamera. Ia lebih canggih dan pelbagai jika dibandingkan dengan Animoji. Kesemua benda boleh diimbas dan bergantung kepada kekreatifan pengguna untuk menghasilkan avatar yang menarik.

Kamera

Kamera utama sebesar 19-Megapixel f/2.0 dilengkapi sistem PDAF dan laser untuk mempercepatkan proses pemfokusan. Teknologi Motion Eye terkini Sony turut disertakan dan ini membolehkan kamera utama XZ Premium merakam pada tetapan 960FPS dengan resolusi 720P. Tetapan tertinggi rakaman video ialah 4K 30FPS. Terdapat juga pilihan untuk 1080P 60FPS dan 1080P 30FPS. Spesifikasi kamera adalah mengagumkan tetapi aneh sekali sistem penstabilan optikal OIS tidak pula disertakan. Sony merasakan sistem EIS adalah lebih dari mencukupi.

Bergerak ke hadapan kamera selfie 13-Megapixel f/2.0 disertakan. Tiada sokongan flash dan autofokus disertakan. Kamera hadapan ini hanya mampu merakam pada tetapan 1080P 30FPS.

Jika spesifikasi di atas seperti pernah anda baca sebelum ini, ia adalah kerana ia spesifikasi yang sama seperti yang ditemui pada XZ Premium. Tiada sebarang perubahan dilakukan di sini. Pada tetapan 19-Megapixel gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk gambar bernisbah 16:9, resolusi gambar diturunkan ke 17-Megapixel.

Antaramuka kamera adalah kemas dan mudah difahami. Seperti biasa pada aplikasi kamera Sony, beberapa pra-tetapan dan fungsi tambahan disertakan seperti AR Effect dan Panorama. AR Effect lebih berguna kali ini kerana imbasan wajah yang dilakukan pada aplikasi 3D Creator boleh digunakan sebagai watak maya yang bergerak dengan sendiri.

Kami ingin memuji Sony kerana akhirnya membenarkan tetapan rakaman video 4K kini boleh dipilih terus dari menu kamera. Sebelum ini untuk mengaktifkan mod 4K, pengguna perlu ke skrin pra-tetapan. Dengan perubahan ini, penggunaan kamera adalah lebih mudah dan selari dengan apa yang ditemui pada peranti utama Android yang lain.

 

Penggunaan kamera yang sama dengan XZ Premium bermakna tiada perbezaan pada kualiti gambar yang diambil.

Di dalam situasi pencahayaan yang baik, gambar yang diambil memang menyerlah. Objek di dalam foto tajam dengan penghasilan warna yang tepat. Tiada masalah dedahan berlebihan dan kami tidak mempunyai sebarang komen negatif mengenai kualiti gambar. Sokongan OIS memastikan gambar yang diambil sentiasa stabil. Untuk tahum 2017, penggunaan OIS kami rasakan adalah wajib pada peranti-peranti utama.

Situasi berubah apabila gambar diambil pada waktu malam. Penggunaan lensa f/2.0 menyebabkan ia tidak menangkap cahaya sebaik peranti pesaing seperti Galaxy Note 8 dan iPhone 8. Kualiti gambar jatuh menjunam di waktu malam dengan kehadiran noise, kehilangan ketajaman objek dan gambar yang gelap berbanding dua peranti yang kami sebutkan tadi. Pada sumber cahaya wujud pula masalah blooming yang ketara. Mungkin ada yang menggemari gambar yang sedikit gelap kerana ia semula jadi. Tetapi kami merasakan gambar di dalam mod HDR sekalipun adalah lebih gelap berbanding Note 8 yang lebih baik dan paling penting sekali mengekalkan ketajaman dalam semua situasi.

Dari skala satu hingga sepuluh kami memberikan kamera XZ1 9/10. Ia mengambil gambar dengan baik tetapi penggunaan lensa f/2.0 jelas menjejaskan kemampuannya mengambil gambar dalam semua situasi. Di tahun 2017, pengguna yang mampu memiliki peranti utama memerlukan kamera yang boleh digunakan dalam semua situasi dan bukan sahaja pada waktu malam.

Fungsi rakaman 960FPS memang kedengaran menarik di atas kertas tetapi ia dirakam pada resolusi 720P yang menyakitkan mata bagi mereka yang sudah terbiasa dengan 1080P apakan pula UHD. Fungsi rakaman adi-perlahan ini amat jarang sekali digunakan. Ini menjadikannya gimik jualan yang hanya digunakan sebahagian kecil peminat videografi gerak perlahan.

Adalah lebih baik sekiranya Sony meningkatkan kemampuan mengambil gambar pada waktu malam dengan menggunakan lensa yang lebih baik pada peranti-peranti utama mereka pada tahun 2018. Kini sudah masuk tahun ke-dua Sony mengecewakan di dalam kemampuan mengambil gambar pada peranti mudah alih.

Tidak masuk akal kepakaran mereka dalam menghasilkan DSLR, SLR dan kamera kompak tidak boleh digembleng untuk menghasilkan sebuah peranti pintar dengan kemampuan kamera yang senonoh. Sekiranya pengeluar lain boleh menggunakan sensor mereka dan menghasilkan kamera dengan kemampuan yang memuaskan, apa lagi alasan Sony untuk kegagalan yang berulang?

Audio

Terima kasih kepada Sony kerana mengekalkan rekaan pembesar suara stereo pada bahagia hadapan. Selain pengimbas cap jari. pembesar suara ialah korban paling besar apabila pengeluar mula mengeluarkan rekaan nirbingkai. Secara peribadi kami amat mementingkan pembesar suara stereo kerana kerap menonton video pada peranti pintar. Selain Sony, HTC dan Google juga masih menyedari sebilangan pengguna lebih mementingkan audio stereo dari skrin nirbingkai 18:9.

Kualiti audio dari pembesar suara ini adalah baik tetapi tidak menakjubkan. Pada tetapan paling tinggi bunyi mula pecah dan pengasingan bunyi mula berkecamuk. Bunyi bass kurang memuaskan jika dibandingkan dengan sistem audio pada HTC U11. Sungguhpun begitu sistem audio stereo ini berkali ganda lebih baik dari yang ditemui pada sistem audio mono pada Galaxy Note 8 yang telah kami ulasa sebelum ini.

Tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum bermulanya 2018 dan pengguna kini akur penggunaan bicu audio 3.5mm juga mungkin akan berakhir. Sekali lagi terima kasih kepada Sony kerana menyedari masih ramai masih belum bersedia untuk audio USB-C. Ia terletak di bahagian atas peranti dan memudahkan pengguna membeli aksesori fon kepala atau fon telinga.

Kualiti audio dari peranti Sony adalah antara yang terbaik di pasaran sekarang kerana mereka mempunyai pengalaman yang cukup besar di dalam arena ini. Bunyi bass dan treble sedap didengar. Dentuman bass juga memuaskan. Paling penting pengasingan audio yang baik serta sokongan Hi-Res Audio.

Bagi yang sudah memiliki aksesori audio Bluetooth, XZ1 menyokong penstriman LDAC yang memastikan kualiti audio yang tinggi. Kami memiliki sebuah fon telinga Sony yang menyokong LDAC dan perbezaan audio menggunakan format ini adalah ketara. Sebagai kesimpulan ini ialah peranti yang direka untuk penggemar audio.

Penanda Aras

Pemproses Snapdragon 835 digunakan dengan RAM sebesar 4GB. Tidak mengejutkan markah yang dicatatkan pada penanda aras adalah yang tertinggi yang pernah dicatatkan di makmal Amanz.

Dalam ujian penanda aras Antutu 3D, Xperia XZ1 mencatatkan 163394 markah manakala dalam ujian Futuremark pula ia mencatatkan 39473 markah.

Markah yang dicatatkan adalah sedikit lebih rendah berbanding XZ Premium tetapi masih meletakkannya sebagai antara peranti paling berkuasa di pasaran sekarang. Kesemua aplikasi dapat dilancarkan tanpa sebarang masalah dan peranti berfungsi dengan cukup lancar.

Bateri

Bateri 2700 mAh yang disertakan jatuh ke dalam kategori kapasiti bateri yang kecil untuk peranti Android 2017. Ia adalah perkara paling merisaukan sebaik sahaja XZ1 memasuki makmal peranti Amanz. Kerisauan kami mengenai bateri ini menjadi kenyataan apabila peranti digunakan di dalam dunia sebenar.

Pada penggunaan ringan ia mampu bertahan hampir 19 jam dengan skrin terpasang selama 4 jam 16 minit. Pada penggunaan paling berat ketahanan bateri menjunam teruk ke 7 jam 43 minit dengan skrin terpasang selama 3 jam.  Ini ialah hayat penggunaan bateri yang amat tidak memuaskan.

XZ Premium dengan skrin 4K mempunyai tempoh skrin terpasang selama 8 jam pada penggunaan berat. Ketahanan bateri XZ1 ini juga lebih teruk berbanding Note 8 yang mempunyai tempoh skrin terpasang selama 4 jam 40 minit.

Berita baik di sini ialah sistem pengecasan pantas disokong. Keseluruhan bateri boleh dicas semula dari sifar dalam masa 100 minit. Dengan sistem QNOVO, Sony mengatakan bateri mempunyai hayat hidup lebih lama. Pada kebanyakan peranti semasa bateri akan mula menunjukkan masalah menyimpan cas selepas setahun digunakan.

Pesaing

Peranti utama dengan skrin sub 5.5″ kini sudah tergolong di dalam kategori minoriti. Oleh itu pesaing di pasaran adalah agak kecil. Kami merasakan Xiaomi Mi 6 dan iPhone 8 adalah dua peranti pesaing paling hampir dengan Xperia XZ1 kerana rekaan premium dan spesifikasi yang tinggi.

Peranti Pesaing
Sony Xperia XZ1 Xiaomi Mi 6 iPhone 8
5.2″ IPS LCD HD Penuh HDR (424 PPI) 5.15″ IPS LCD HD Penuh (428 PPI) 4.7″ IPS LCD HDR  750P (326 PPI)
2.45 X 4 + 1.9 X 4 GHz Snapdragon 835 2.45 X 4 + 1.9 X 4 GHz Snapdragon 835 4+2 Teras Apple A11 Bionic
Adreno 540 Adreno 540 Apple M11
4 Gigabyte 4 Gigabyte 2 Gigabyte
64 Gigabyte (256 GB MikroSD) 64 Gigabyte 64/246 Gigabyte
Kamera Utama 19 Megapixel f/2.0, PDAF, Laser, EIS Kamera Utama 12+12 Megapixel f/1.8+f/2.6, OIS,PDAF Kamera Utama 12 Megapixel, f/1.8, OIS, PDAF
Kamera Hadapan 13 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 8 Megapixel Kamera Hadapan 7 Megapixel, f/2.2,
2700 mAh (Pengecasan Pantas) 3350 mAh (Pengecasan Pantas) 1821 mAh (Pengecasan Pantas)
RM 2999 RM 1899 RM 3649

Kesimpulan

Dari segi rekaan Sony Xperia XZ1 mungkin tidak lagi anggap seksi kerana dahi yang jendul dan dagu sebesar Jay Leno. Tetapi bezel yang besar ini bersebab bagi mengekalkan sistem audio stereo S-Force. Peranti juga lebih selesa dipegang dalam mod mendatar kerana wujudnya tempat memegang yang besar berbanding peranti nirbingkai.

Dari segi spesifikasi ia sebuah XZ Premium dengan skrin lebih kecil beresolusi lebih rendah dan bateri lebih kecil. Ini meletakkannya antara peranti paling berkuasa di pasaran tahun ini. Aplikasi dapat dimuat turun dan digunakan tanpa masalah. Sela masa juga tidak wujud kerana terdapat banyak kuasa memproses pada silikon yang digunakan. Oh ya dan ia hadir dengan Android Oreo bagi mereka yang inginkan versi terkini sistem operasi keluaran Android.

Kekuatan sebesar XZ1 pada kami ialah audio. Bagi audiophil ini ialah peranti yang memastikan inzal telinga kerana sokongan audio berdefinisi tinggi dan penstriman LDAC. Tidak banyak peranti di pasaran menyokong kedua-dua format ini. Pada waktu yang sama bagi pemilik PlayStation, ini ialah peranti yang membolehkan anda menggunakannya sebagai skrin apabila TV di rumah diambil alih oleh kau keluarga. Kami sedari kedua-dua fungsi ini boleh dianggap niche dan mungkin tidak penting bagi majoriti pengguna.

Kamera dengan teknologi Motion Eye memang gah di atas kertas. Begitu juga dengan sistem imbasan 3D Creator. Tetapi secara ikhlas kami katakan kedua-dua fungsi ini masih terasa seperti gimik. Berapa kerap dalam sehari anda ingin merakan gerak perlahan 960 FPS dan mengimbas objek?

Kemampuan kamera adalah baik tetapi masih di belakang Note 8, S8 dan iPhone 8. Penggunaan lensa f/2.0 membuatkan kualiti gambar di dalam situasi pencahayaan rendah kurang memuaskan. Gambar mempunyai noise dan kurang tajam jika dibandingkan dengan tiga peranti yang kami senaraikan beberapa baris di atas tadi.

Akhir sekali perlu kami sentuh masalah bateri. Bateri “sebesar” 2700 mAh pada taun 2017 ialah sesuatu yang membingungkan. Sony masih belum mampu mengembalikan zaman kegemilangan Xperia Z3 dengan ketahanan bateri yang baik. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak mampu menikmati tempoh skrin terpasang melebihi 5 jam. Bagi peranti 2017 ini tidak boleh dimaafkan dan amat memalukan.

Jadi apakah pendapat kami mengenai Sony Xperia XZ1? Ia sebuah peranti utama yang baik dengan fungsi gimik dan ketahanan bateri yang menyedihkan. Pada harga RM 2999 ia juga amat mahal untuk sebuah peranti yang tidak cukup sempurna. Tetapi kami sarankannya kepada peminat audio berdefinisi tinggi, yang membencikan rekaan nirbingkai dan memerlukan sokongan PlayStation. Bagi pengguna lain terdapat alternatif lebih baik dalam bentuk Xiaomi Mi 6.

Kelebihan Kekurangan
  • Skrin HD penuh tetapi dengan sokongan HDR.
  • Spesifikasi yang baik dan tinggi. Tiada masalah dengan sebarang aplikasi dan melancarkan permua terkini.
  • Android Orea dan antaramuka yang hampir stock. Akhirnya menyokong Sub Menu terus dari pelancar Sony.
  • Pembesar suara stereo sebenar di bahagian hadapan, sokongan audio berdefinisi tinggi dan LDAC
  • Gambar dari kamera memaparkan penghasilan warna yang semula jadi dan bermaya.
  • Sebilangan kecil peranti yang menyokong penstriman Remote Play PlayStation4 .
  • Tidak banyak fungsi tambahan. Terlalu hampir dengan Android asli.
  • Kamera kurang tajam pada waktu malam dan sedikit perlahan jika dibandingkan dengan peranti pesaing yang setanding.
  • Rekaan yang tidak kontemporari. Bezel yang amat besar pada bahagian dahi dan dagu.
  • Bateri yang amat tidak tahan lama.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd