Buang Fail Windows 10 Lama Dan Dapatkan Storan Tambahan Selepas Naik-Taraf Windows 10 FCU

Buang Fail Windows 10 Lama Dan Dapatkan Storan Tambahan Selepas Naik-Taraf Windows 10 FCU

Diterbitkan pada Okt 22, 2017 oleh .

Bagi anda yang telah menaik-taraf Windows 10 kepada versi terkini, mungkin anda perasan yang mana ruangan storan anda sedikit berkurangan berbanding sebelumnya. Ini adalah sesuatu yang dijangka kerana penambahan beberapa fail baru – tetapi pada masa yang sama, ini berlaku kerana fail Windows 10 lama turut disimpan pada komputer.

Microsoft menyimpan salinan Windows 10 lama kerana ingin memudahkan proses sekiranya pengguna ingin beralih kepada versi sebelumnya dengan mudah. Namun, jika anda telah menggunakan Windows 10 Fall Creators Update ini untuk beberapa hari, dan mendapati anda tidak perlukan salinan Windows 10 lama, anda boleh membuangnya.

Dengan membuangnya, anda akan boleh menambah ruangan storan pada komputer anda – sesuatu yang sangat berguna sekiranya anda menggunakan SSD dan mempunyai ruangan yang terhad.

Windows 10 FCU

Untuk membuangnya, anda boleh membuka Disk Cleanup (tekan butang Windows dan menaip Disk Cleanup), dan menjalankannya sebagai pentadbir. Selepas mengimbas komputer anda, Disk Cleanup, akan memaparkan berapakah ruangan yang boleh anda kosongkan. Daripada percubaan kami sendiri, ia memberikan ruangan tambahan hampir 26GB dengan membuang fail pemasangan Windows 10 lama.

Sekiranya anda yakin anda tidak akan memerlukan versi lama atau ingin kembali ke Windows 10 lama, anda boleh memilih untuk membuangnya dan mendapatkan ruangan tambahan pada komputer anda. Sekiranya anda masih ragu-ragu, mungkin boleh menyimpannya, atau membuat salinan pendua sebelum membuangnya.


TIPS & ULASAN