10 Masalah Paling Berprofil Tinggi Pada Peranti Pintar Popular

10 Masalah Paling Berprofil Tinggi Pada Peranti Pintar Popular

Diterbitkan pada Okt 25, 2017 oleh .

Pelancaran Google Pixel 2 mengalami sedikit gangguan apabila timbul laporan dari pembeli awal. Masalah paling serius ialah tunaskrin pada Pixel 2 XL yang yang menyebabkan imej butang navigasi sentiasa terpapar pada skrin. Pada waktu yang sama Pixel 2 dilanda masalah bunyi bising.

Masalah seperti ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang jarang berlaku. Ia sudah wujud secara zaman berzaman setiap kali peranti popular muncul di pasaran pada harga yang tinggi. Berikut ialah senarai 10 masalah paling berprofil tinggi pada peranti pintar popular yang pernah dilaporkan

1. One Plus5 – Masalah Paparan Skrin Dan Panggilan 911

OnePlus 5Tahun demi tahun peranti OnePlus menjadi pilihan pengguna yang inginkan peranti premium pada harga lebih mampu milik dan pelancar hampir Android asli. Sebagai pengeluar peranti yang membunuh peranti utama, OnePlus menggunakan slogan “Never Settle” bagi mengingatkan pengguna supaya jangan berpuas hati dengan peranti dari pengeluar lain.

Oleh itu apabila OnePlus 5 yang baru dilancarkan mengalami masalah skrin, slogan ini menjadi bahan jenaka. Sebilangan kecil pengguna melaporkan masalah Jelly Effect apabila skrin ditatal dengan pantas. Antara yang dipersalahkan ialah skrin yang dipasang terbalik kerana kekurangan ruang di dalam tubuh bagi sambungan biasa. Turut dilaporkan ialah peranti tidak boleh mendail talian kecemasan 911 di Amerika Syarikat.

Kemaskini perisian diberikan bagi menyelesaikan kedua-dua masalah ini dan setakat ini tiada insiden baru dilaporkan. Yang kekal hanyalah masalah OnePlus mengumpul data pengguna tanpa kebenaran dan mereka telah berjanji untuk menghentikannya dengan kemaskini yang bakal diberikan.

2. Blackberry KEYone – Skrin Tertanggal

Masih terdapat segelintir pengguna yang masih mahukan peranti dengan papan kekunci fizikal. Oleh itu Blackberry KEYone dihasilkan dengan rekaan bahagian atas skrin sesentuh dan bahagian bawah dengan skrin QWERTY fizikal.  Masalah dengan rekaan ini ialah ia mewujudkan bahagian lemah pada titik pertemuan skrin dan papan kekunci.

Apabila tekanan diberikan dari bahagian belakang, skrin tertanggal dengan mudah.Masalah ini hanya disedari selepas KEYone diberikan ujian tahan lasak oleh JerryRigEverything. Video YouTube beliau tular dan Blackberry segera memberikan kenyataan akan menyelesaikannya dengan segera. Model baru KEYone selepas itu telah diperkuatkan dengan menggunakan gam yang lebih kuat bagi menyambung skrin pada kerangka.

3. Google Nexus 6P  – Bateri Dan Boot Loop

Google Nexus 6PGoogle Nexus 6P ialah peranti Nexus terakhir yang dihasilkan oleh Google dengan kerjasama Huawei. Rekaan bahagian belakang berkaca pada bahagian atas menerima pujian kerana unik jika dibandingkan dengan peranti lain di pasaran pada waktu tersebut. Ia bolehkah dikatakan prototaip kepada rekaan panel berkaca lebih besar yang kemudian digunakan pada Pixel.

Masalah Nexus 6P mula dilaporkan pada hari pertama apabila muncul laporan panel kaca retak. Ini masalah kecil kerana jika dibandingkan dengan masalah bateri dan boot loop yang berlaku selepas ia menerima kemaskini Nougat setahun selepas pelancaran.

Peranti mati mengejut walaupun bateri ia masih mempunyai caj. Peranti yang tidak mengalami masalah bateri dilanda masalah boot loop pula sehingga tidak boleh diperbaiki. Masalah ini tidak ditangani dengan baik oleh Google menyebabkan mereka disaman pada awal tahun ini oleh pemilik yang tidak berpuas hati. Sehingga kini tiada jalan penyelesaian mudah boleh dilakukan bagi menyelesaikan kedua-dua masalah ini.

4. Samsung Galaxy S8 – Skrin Berwarna Merah Jambu

Hanya beberapa hari selepas Pixel 2 XL dilancarkan, masalah paling kerap didengari ialah paparan skrin kurang bermaya serta tunaskrin. Percubaan pertama Google menggunakan skrin OLED pada Pixel menghadapi masalah. Skrin P-OLED keluaran LG dikatakan punca kepada masalah ini.

Tetapi masalah ini turut dialami oleh Samsung yang merupakan pengeluar skrin OLED terbesar di dunia. Pada hari pelancaran Galaxy S8 di Korea Selatan, sebilangan kecil pengguna melaporkan skrin yang mempunyai tinta merah jambu. Samsung segera mengeluarkan kenyataan masalah ini akan cuba diselesaikan dengan kemaskini perisian. Selepas ia diterima masalah masih dilaporkan oleh sebilangan pengguna yang kemudian menerima peranti gantian.

5. Google Pixel Dan Pixel XL – Masalah Silau Lensa

Filem arahan J J Abrams mempunyai satu persamaan di mana silau lensa akan muncul dengan kerap. Ia menjadi bahan jenaka peminat layar perak kerana penggunaan “lens flare” yang agak melampau oleh beliau. Kesemua peranti Google Pixel yang dilancarkan tahun lalu mempunyai mod J J Abrams terbina kerana rekaan lensanya.

Di dalam situasi pencahayaan yang terang, silau lensa akan dapat dilihat pada gambar yang diambil. Kerana ini adalah disebabkan oleh lensa, Google menyelesaikannya dengan menggunakan perisian yang mengurangkan kesan silau lensa apabila gambar diambil. Ia masih belum 100% sempurna dan sehingga kini mod J J Abrams yang tidak dipinta ini masih wujud,

6. Apple iPhone 4 – AntennaGate

Dengan iPhone 4 Apple melakukan perubahan rekaan pertama pada rekaan iPhone 3GS yang kini dianggap ikonik. Tubuh dengan sisi bulat digantikan dengan sisi berkotak dan panel belakang berkaca. Perubahan ini mengakibatkan antena selular diubah ke bahagian sisi peranti.  Oleh sebab itu apabila pengguna memegang iPhone 4, ia mengakibatkan sambungan selular tergantung. Masalah ini dikenali ramai sebagai AntennaGate.  Masalah ini ditemui sebaik sahaja peranti dilancarkan.

Pada awalnya Steve Jobs mengatakan ini ialah “kesalahan pengguna” kerana memegang peranti seperti yang tidak sepatutnya. Beliau juga bertegas masalah ini tidak unik pada iPhone 4 malah ditemui pada peranti Nokia dia Blackberry yang popular pada ketika itu. Tetapi hakikatnya ini tidak benar dan Apple terpaksa memberikan kerangka kepada pemilik iPhone 4 secara percuma. Mereka juga disaman dan pada tahun 2013 setiap pembeli iPhone 4 menerima cek bernilai $15 sebagai pampasan kerana rekaan peranti yang bermasalah.

7. HTC One M8 – Kamera Dengan Tinta Ungu

Sehingga kini HTC One M8 ialah antara peranti yang masih kami gemari. Ia membuktikan peranti utama Android tidak semestinya diperbuat daripada plastik dan mempunyai sokongan audio stereo pada bahagian hadapan. Rekaan One M8 kemudian digunapakai pada peranti pengeluar lain.

Sungguhpun popular dan menarik, masalah gambar dengan tinta ungu mula dilaporkan sekitar dua bulan selepas peranti mula dijual. Pada awalnya ia dikatakan adalah masalah perisian tetapi sebenarnya adalah diakibatkan oleh sensor kamera yang rosak akibat haba dari pemproses. Hampir kesemua kenalan kami yang menggunakan One M8 melaporkan masalah ini. Peranti kami masih beroperasi dengan baik tetapi ini adalah kerana ia jarang digunakan selepas tempoh ulasan.

8. Sony Xperia Z4/Z3+ – Pemanasan Melampau Sehingga Kamera Gagal Beroperasi

Lebih berkuasa sesuatu peranti, semakin banyak haba yang dihasilkan. Ini ialah masalah awal pada peranti pintar. Pada tahun 2015 Snapdragon 810 dihasilkan dan ia mungkin pemproses paling bermasalah pernah dihasilkan kerana mengeluarkan haba yang tinggi. Hampir kesemua peranti yang menggunakan Snapdragon 810 melaporkan masalah kepanasan melampau.

Peranti yang paling terkesan mungkin ialah Sony Xperia Z4/Z3+. Ia mengakibatkan aplikasi kamera tidak boleh dibuka untuk tempoh yang lama sama ada untuk rakaman gambar atau video. Kemaskini perisian diberikan bagi menyelesaikan masalah dengan mengurangkan kelajuan pemproses. Malang sekali kamera masih gagal berfungsi selepas digunakan melebihi 20 saat. Masalah ini dikesan secara meluas ketika peranti masih lagi di dalam proses ujian oleh laman-laman teknologi terkemuka.

9. Apple iPhone 6S – Bateri Menyebabkan Peranti Terpadam Sendiri

Apple iPhone 6SMasalah bateri amat menjengkelkan kerana tidak seperti dahulu, bateri pada peranti sekarang tidak boleh ditukar dengan mudah apabila mula bermasalah. Di dalam kes iPhone 6S, masalah bateri ini berlaku kerana proses pengilangan yang menyebabkan kecacatan pada bateri yang dihasilkan pada tempoh tertentu.

Masalah dikesan lebih setahun selepas iPhone 6S memasuki pasaran. Pengguna iPhone 6S melaporkan masalah peranti terpadam secara tiba-tiba. Apple mendapati peranti yang dikilangkan di antara September 205 dan Oktober 2015 mempunyai masalah bateri. Mereka memulakan proses gantian bateri kepada pengguna yang terkesan.

10. Samsung Galaxy Note 7 – Bateri Meletup

Tidak ada masalah yang melanda peranti pintar yang berprofil lebih tinggi dari insiden bateri Samsung Galaxy Note 7 yang meletup secara rawak. Kesemua masalah yang disenaraikan di atas dapat diselesaikan dengan kemaskini perisian dan penghantaran semula ke pengeluar.

Galaxy Note 7 ialah satu-satunya peranti yang menyebabkan pemilik tidak boleh menaiki pesawat dan menyebabkan ia ditarik dari pasaran sehingga menyebabkan kerugian dilaporkan mencecah berbilion ringgit.

Masalah dilaporkan hanya beberapa minggu selepas peranti mula dijual. Ia turut berlaku pada pengguna Note 7 di Malaysia. Ia menyebabkan Samsung menilai semula proses pengilangan bateri mereka dan akibatnya bateri pada peranti Samsung sekarang kesemuanya berkapasiti kecil bagi mengelakkan masalah mampatan bateri berlaku sekali lagi. Galaxy Note 7 hanya kembali semula ke pasaran Malaysia selepas Note 8 dan dijenamakan semula sebagai Samsung Galaxy Note 7 Fan Edition.


TIPS & ULASAN