Cari @ Amanz

ThinkPad tidak asing dalam industri perkomputeran, ia sebuah jenama yang dikagumi atas penawaran peranti yang berkualiti, tahan lasak, dan mudah untuk diselenggarakan. Kita sendiri dapat melihat komputer-komputer ThinkPad ini sering digunakan pada institusi pendidikan, pejabat, dan ahli perniagaan atas kepercayaan sebuah produk yang mampu memberikan hasil penggunaan yang bermutu tinggi.

ThinkPad pada asalnya ialah sebuah jenama yang dibangunkan IBM apabila ketika memasuki pasaran komputer riba. Sejak ThinkPad diambil-alih oleh Lenovo bermula 2005, ThinkPad telah melalui satu fasa perubahan yang drastik, yang mana pelbagai jenis peranti dibangunkan melalui jenama ini. ThinkPad tidak lagi terhad dalam rekabentuk atau form-factor komputer riba sahaja, malah kini telah didatangkan dalam bentuk peranti tablet dan convertible 2-dalam-1.

Menariknya, Lenovo melihat ThinkPad tidak lagi menjadi komputer untuk kegunaan di pejabat sahaja, tetapi lebih melihat ia sebagai sebuah mesin peribadi untuk pengguna. Di luar waktu pejabat, pekerja di pejabat secara automatiknya menjadi pengguna dan Lenovo melihat ada kesinambungan dari perkara ini.

Dari perkara inilah Lenovo cuba untuk meningkatkan pengalaman pengguna, baik dari penggunaan ketika di pejabat mahupun di rumah. Dalam membangunkan ThinkPad, mereka tidak lagi memfokuskan kepada ujian yang melibatkan kegunaan pejabat sahaja, malah menitikberatkan faktor apabila peranti tersebut berada dalam ‘mod pengguna’. Aspek seperti skrin dan audio sangat diberi perhatian oleh Lenovo, bagi memberi pengalaman multimedia yang imersif ketika di rumah atau ketika bersama keluarga.

Bercakap mengenai ujian, Lenovo ThinkPad diuji dengan begitu drastik, dari sekecil-kecil aspek seperti wireless dan akustik, sehinggalah ke penawaran drop-test. Sebagai sebuah peranti yang sering dibawa ke luar, aspek ketahanan amat diberi perhatian yang serius dari Lenovo, yang mana hanya model-model yang berjaya sahaja hanya boleh dijadikan produk.

Tidak hairalah ThinkPad masih digunakan di angkasa lepas sehingga kini.

Bagi memastikan ThinkPad mendapatkan kepercayaan yang berterusan daripada pengguna, Lenovo amat mengutamakan kualiti perkhidmatan selepas jualan benar-benar memuaskan untuk pembeli produk ThinkPad ini. Bagi memudahkan memperoleh khidmat nasihat dan baik-pulih peranti, talian perkhidmatan yang mudah diakses akan menawarkan khidmat nasihat yang terbaik selain memudahkan pengguna membuat temu janji untuk pembaikian sesuatu produk.

Dalam ingin memberikan produk yang dapat memanfaatkan lebih ramai pengguna, Lenovo juga peka dengan maklum-balas pengguna mengenai ThinkPad ini. Pada masa kini, Lenovo dilihat mengutamakan produk berdasarkan citarasa pengguna, selain memberi pengalaman yang terbaik seperti fleksibiliti dan ketahanan bateri yang lama. Antara contoh terdekat ialah peranti X1 Yoga, yang mana memberikan mod penggunaan yang pelbagai bersama ketahanan bateri sehingga 15 jam.

Bergerak secara pantas, ThinkPad kini telah memasuki ulang-tahun ke-25 tahun dalam memberi penawaran siri produk yang cemerlang sepanjang peranti dihasilkan. Untuk meraikannya, Lenovo telah menyajikan kepada kita ThinkPad 25, iaitu komputer riba yang menawarkan fungsi retro dalam bentuk peranti berspesifikasi moden. Ia sebuah komputer riba yang berkuasa dengan penggunaan Intel Core i7, yang mana turut menawarkan berat peranti yang cukup ringan untuk dibawa.

Apa hala tuju ThinkPad selepas ini? Siri ThinkPad akan hadir dengan rekaan yang lebih menarik dan lebih berkuasa untuk akan datang. Lenovo memaklumkan yang mereka amat komited dalam menyediakan sebuah peranti yang mampu menarik pengguna. Produk-produk akan datang daripada mereka dijangka akan mempunyai rekaan yang menepati citarasa moden, memenuhi trend pada masa kini, dan pastinya memberi penawaran spesifikasi terkini.

Kami yakin bahawa Lenovo akan terus memelihara jenama ThinkPad dengan membawa pelbagai pembangunan dan inovasi untuk terus berdiri sebagai jenama perkomputeran yang terulung dalam industri ini. Ia satu tempoh perjalanan yang masih panjang, tetapi dengan adanya penyediaan penawaran produk dan perkhidmatan terbaik, jenama ThinkPad akan terus meniti hari untuk hari esok dan seterusnya.

Bagi anda yang pernah atau sedang menggunakan ThinkPad, apakah perkara yang anda ingin lihat pada masa akan datang?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd