Yokohama Lab merupakan makmal yang bertanggungjawab dalam pembangunan Lenovo ThinkPad. Dalam menjadikan komputer ThinkPad lebih tahan lasak dan berkualiti, makmal ini menjalankan lebih 200 ujian yang merangkumi fizikal sehinggalah ke bahagian audio komputer ini.
Makmal ini pada asalnya berada di Yamato City di Kanagawa, namun fasilitinya telah dipindahkan ke Minatomirai di Yokohama bermula 2011 sewaktu proses pengambil-alihan daripada IBM. Di makmal Yamato inilah model ThinkPad pertama dihasilkan, menerusi ThinkPad 700C pada tahun 1992 yang mana pembangunannya diketuai oleh Arimasa Naitoh atau dikenali sebagai bapa ThinkPad.
Makmal ini terbahagi kepada 4 bahagian utama, yang merangkumi makmal
– Wireless and Acoustic Design Lab
– EMC and Reliability Design Lab
– Robustness and Durability Design Lab
– Durability Design Lab
Makmal pertama ini dilihat lebih memfokuskan kepada pengujian peralatan bersifat tanpa wayar di dalam ThinkPad, yang merangkumi ujian terhadap rekaan dan kadar keberkesanan antena. Ia juga mempunyai bilik Hemi-Anechoic Room untuk menguji kadar bunyi terutama ketika menjalankan VoIP melalui peranti ThinkPad ini.
Makmal kedua pula dilihat menguji kadar gelombang elektromagnetik yang dihasilkan daripada ThinkPad ini bagi memastikan produk ThinkPad yang dikeluarkan mampu melalui situasi suhu lampau. Di dalam ujian ini menawarkan EMC Testing yang mana menguji tahap gelombang supaya ia tidak mengganggu peralatan elektronik lain yang berada di dalam ThinkPad. Di ujian ini juga menempatkan Realibility Testing, yang mana menguji tahap ketahanan ThinkPad dengan meletakkannya pada suhu bilik pada 0 darjah celcius.
Bagi membolehkan ThinkPad berada dalam keadaan tahan lasak, Robustness and Durability Design Lab bertanggungjawab dalam menguji elemen fizikal binaan pada peranti ini. Peranti yang akan diuji akan melalui Impact & Vibration Testing yang mana menguji tahap kualiti binaan dengan ujian gegaran. Ia juga akan melalui Durability Test yang mana menguji tahap kualiti fizikal dengan menjatuhkan ThinkPad ini pada sesuatu ketinggian selain melalui LCD stress testing untuk ujian pada ketahana skrin.
Bahagian akhir untuk makmal ini ialah Durability Design Lab yang mana turut menguji tahap fizikal ThinkPad dengan memfokuskan kepada praktikaliti binaan. ThinkPad akan diuji melalui bukaan dan penutup lid dalam kadar yang cukup tinggi selain turut menguji dari segi tahap elektrik statik yang mampu membuatkan peranti bermasalah secara tiba-tiba.
Makmal ini telah menjadi makmal utama pembangunan ThinkPad sehingga kini dan kami dapat melihat secara kasar bagaimana ia diuji secara intensif. ThinkPad terkenal dengan rekaan peranti yang mampu bertahan lama, jadi ia perlu melalui ujian yang amat ekstrem sebelum ia dipasarkan kepada pengguna.