#ThinkPad25Tahun – Bagaimana ThinkPad Mampu Bertahan Sehingga Kini?

#ThinkPad25Tahun – Bagaimana ThinkPad Mampu Bertahan Sehingga Kini?

Diterbitkan pada Okt 26, 2017 oleh .

ThinkPad sebagai sebuah peranti yang terkenal dengan produk yang berkualiti dan dipercayai pastinya mempunyai rahsia disebalik pembangunan produk ini. Dalam masa 25 tahun, anda dapat melihat pelbagai jenis ThinkPad dihasilkan, dan pastinya menawarkan beberapa perkara dan pengalaman yang menarik dalam membangunkan siri komputer ini.

Antara personaliti yang kami berkesempatan untuk duduk bersama semestinya Arimasa Naitoh, iaitu Naib Presiden Unit Perniagaan PC dan Peranti Pintar, yang mana turut dikenali sebagai ‘Bapa ThinkPad’. Beliau bertanggungjawab dalam menggalas pembangunan awal ThinkPad seawal pada tahun 1992.

Arimasa berkata, rekaan ThinkPad telah diinspirasikan dari Bento, yang mana hadir dallam bentuk segi empat. Bento juga mengandungi sesuatu yang istimewa di bahagian bawahnya, dan pengguna hanya dapat melihat makanan selepas kotak bento ini dibuka. Begitu juga dengan ThinkPad, peranti ini menyediakan keistimewaan seperti papan kekuncinya dan trackpoint yang ikonik setelah bahagian atas peranti ini dibuka.

Salah seorang dari rakan media turut mengambil kesempatan untuk bertanya mengenai model ThinkPad kegemaran beliau. Arimasa memaklumkan, produk ThinkPad keluaran terkini sentiasa peranti kegemaran beliau yang mana memberikan pelbagai fungsi baru dan menepati penggunaan beliau masa kini.

Kami juga ada bertanyakan kepada beliau mengenai hala tuju peranti yang mengubah telefon kepada PC, dan beliau melihat produk tersebut ada potensi untuk dipasarkan. Cuma buat masa sekarang, ia lebih digunakan untuk perusahaan dan pembangunannya mungkin dilihat terhad.

Dalam sesi yang berlainan, kami berkesempatan untuk bertemu bersama Dilip Bhatia iaitu Naib Presiden Pemasaran Global, bahagian Pengalaman Pengguna. Beliau banyak membincangkan aspek pengalaman pengguna yang amat berkait rapat dengan kepuasan penggunaan sesuatu produk ThinkPad ini.

Beliau banyak membincangkan aspek bagaimana ThinkPad memberi penawaran yang praktikal untuk pengguna. Beliau mengatakan ThinkPad dibina dengan fokus untuk kegunaan produktiviti, jadi ia perlu hadir dalam sebuah peranti tahan lasak dan mudah untuk dibawa.

Beliau juga ada menyentuh dari sudut peenggunaan peranti convertible 2-dalam-1, terutama ketika ia dipusingkan menjadi mod tablet. Bagi memberi keselesaan ketika ia dipegang, Lenovo amat menitikberatkan cara papan kekunci bertindak dalam mod ini, dengan membawa papan kekunci ini ke dalam secara automatik. Jadi, ia akan memberi permukaan yang rata tanpa perlu merasa sebarang butang fizikal ketika memegang dalam mod tablet. Peranti seperti X1 Yoga antara yang menggunakan mekanisma ini, yang mana sangat praktikal untuk kegunaan di dunia sebesar.

Beliau juga ada menerangkan perkara praktikaliti yang lain seperti mengambil kira kedudukan webcam untuk peranti ThinkPad. Beliau menegaskan, kedudukan webcam yang ditempatkan pada bahagian bawah skrin adalah amat tidak praktikal dan perlu dikekalkan kedudukannya di bahagian atas. Meletakannya di bahagian bawah membuatkan muka pengguna sedikit janggal untuk dilihat, selain memudahkan penglihatan tangan ketika menaip.

Dalam sesi yang sama, Luis Hernandes iaitu Naib Presiden, PCSD Integrated Development Center telah berkongsi cabaran yang dihadapi ketika membangunkan ThinkPad ini. Ketika proses pembinaan, pertembungan idea dari jurutera bersama pereka bentuk binaan adalah cabaran terbesar, yang mana memerlukan kerjasama yang rapat untuk penghasilan peranti. Sebagai contoh, pereka bentuk binaan mahukan sebuah ThinkPad yang mempunyai rekaan yang nipis dan unik, dan jurutera perlu mencari jalan bagaimana untuk mengimplementasikan sesuatu perkara ke dalam produk ini.


Dalam sesi akhir bersama insan penting dalam pembangunan ThinkPad, kami berkesempatan untuk berjumpa dengan David Hill iaitu Bekas Ketua Bahagian Rekabentuk, Lenovo Design. Turut bersama beliau ialah Brian Leonard iaitu Naib Presiden Rekabentuk, Lenovo PCSD.

Dalam merekabentuk ThinkPad, aspek ikonik ThinkPad seperti rekaan yang minimalis amat diambil kira, bagi mengekalkan rupa produk ThinkPad ini. Penggunaan warna hitam adalah ciri rekaan yang cukup sinonim dengan ThinkPad, dan ia perlu digunakan bagi memudahkan orang ramai mengenalpasti siri produk ini.

Mereka juga ada menerangkan keadaan studio yang mana menjadi tempat penghasilan rekabentuk ThinkPad ini. Keadaannya dipenuhi dengan kertas-kertas yang mengandungi lukisan kasar ThinkPad, selain menempatkan mockup dalam bentuk 3D yang dicetak melalui pencetakkan 3D.

Dalam mendapatkan inspirasi, David juga telah berkongsi yang mana idea merekabentuk peranti tidak hanya lahir dari proses binaan mockup, tetapi hadir dari perkara yang berlaku di sekeliling.

Beliau berkongsi mengenai pembinaan fungsi lampu suluh pada ThinkPad yang mana ditempatkan pada bahagian atas skrin. Beliau terinspirasi daripada penggunaan lampu suluh di dalam pesawat, yang mana tidak perlu menghidupkan keseluruhan lampu untuk kegunaan individu.

Pada perkongsian akhir, kedua-dua individu ni berkongsi durasi penghasilan peranti sesuatu ThinkPad, yang mana mengambil sekitar satu tahun sebelum ia dipasarkan.


TIPS & ULASAN