#ThinkPad25Tahun – Masa Depan ThinkPad Untuk Asia Tenggara

#ThinkPad25Tahun – Masa Depan ThinkPad Untuk Asia Tenggara

Diterbitkan pada Okt 26, 2017 oleh .

ThinkPad telah menyambut ulang-tahunnya yang ke-25 tahun, dan banyak perkara dikongsikan melalui acara sambutannya di Yokohama, Jepun. Dari bapa ThinkPad sehinggalah eksekutif rekaan, mereka telah berkongsi sedikit sebanyak pengalaman serta cabaran yang dilalui sepanjang membangunkan siri komputer ini.

Namun untuk memastikannya sampai di tangan pengguna, strategi pemasaran berdasarkan geografi pengguna perlu diusahakan, bagi memenuhi permintaan spesifik berdasarkan lokasi pengguna di sesuatu rantau.

Pada kali ini, kami bersama Eddie Ang, iaitu Pengarah Eksekutif bagi bahagian Perniagaan Korporat dan Sektor Awam untuk Lenovo Asia Pasifik bagi berkongsi beberapa usaha yang dilakukan Lenovo terutama ThinkPad untuk pasaran ini.

ThinkPad pada pasaran Asia Pasifik secara amnya masih digunakan secara meluas, terutama untuk kegunaan korporat dan institusi pendidikan. Ia menjadi pilihan kerana ia mudah diselenggara, selain memberi penawaran perkhidmatan selepas jualan yang baik ketika pengguna memerlukan khidmat nasihat dan baik-pulih peranti.

Eddie memaklumkan bahawa Lenovo akan sentiasa berinovasi, terutama dari teknologi-teknologi yang akan ditempatkan pada ThinkPad. Peranti siri ThinkPad ini boleh dikatakan sebagai penanda aras untuk perletakkan sesuatu fungsi baru, yang mana akan ditempatkan pada produk Lenovo yang lain sekiranya ia menerima maklumbalas yang baik dari pengguna.

ThinkPad sering dikaitkan dengan penawaran peranti mahal, dan kami ada bertanyakan mengenai strategi untuk pasaran ThinkPad mampu milik. Eddie memaklumkan Lenovo menawarakan sejumlah ThinkPad mampu milik melalui E-series dan L-series, yang mampu memberikan pengalaman pengkomputeran yang mampu bertahan lama.

Eddie turut berkongsi yang mana Lenovo kini sedang giat untuk memperluaskan produk melalui pasaran e-dagang, dalam memenuhi permintaan masa kini. Pembelian melalui laman e-dagang banyak membantu pengguna mendapatkan produk Lenovo, tanpa perlu risau dengan masalah kualiti atau kes penipuan dari segi penerangan untuk sesuatu produk. Di Malaysia, Lenovo sendiri mempunyai kedai rasmi di Lazada, yang mana turut menawarkan sejumlah produk perkomputeran terkini yang meliputi kesemua bajet pengguna.

Lenovo ThinkPad P40 Yoga

Eddie juga turut menekankan kepuasan pengguna adalah keutamaan Lenovo melalui perkhidmatan servis dan baik-pulih yang sentiasa bersedia untuk pengguna. Untuk menjayakannya, bahagian gantian PC ditempatkan secara in-house, bagi mengurangkan masa penerimaan barang ini. Sekiranya terdapat kerosakan, barang gantian ini dapat diperelohi dengan lebih pantas bagi memudahkan proses baik-pulih yang dilakukan oleh tenaga profesional dari Lenovo.

Bercakap mengenai peranti ulang-tahun ThinkPad 25, Eddie memaklumkan peranti akan ditawarkan melalui dua negara sahaja iaitu Singapura dan Hong Kong, dengan jumlah kuantiti yang amat terhad. Beliau berkata, hanya terdapat 2000 unit sahaja ditempatkan untuk kedua-dua negara tersebut. Harga untuk peranti ini berdasarkan harga saranan untuk global, yang mana ditawarkan pada harga $1,899 USD.

Pada akhir sesi, Eddie juga berkongsi perancangan untuk produk ThinkPad berasaskan AMD, yang mana akan dipasarkan sekiranya ia mampu memberi produktiviti yang lebih lagi untuk pengguna. Sekiranya fungsi tersebut mampu memberi manfaat yang besar, Eddie memaklumkan yang ia pasti akan ada produk untuknya.


TIPS & ULASAN