AMD Mengumumkan APU Terbaru Mereka Berdasarkan CPU Ryzen Dan GPU RX Vega Untuk Laptop
AMD

AMD Mengumumkan APU Terbaru Mereka Berdasarkan CPU Ryzen Dan GPU RX Vega Untuk Laptop

Diterbitkan pada Okt 27, 2017 oleh .

Sejak kehadiran CPU AMD Ryzen dan kad grafik AMD RX Vega, ramai tertanya-tanya mengenai sebuah lagi produk keluaran AMD, iaitu APU (Accelerated Processing Unit) mereka yang menggabungkan kuasa CPU dan GPU mereka dalam satu unit pemprosesan yang sama.

AMD baru sahaja mengumumkan kehadiran APU terbaru mereka yang dinamakan AMD Ryzen Mobile yang hadir dengan gabungan CPU AMD Ryzen dan juga unit pemprosesan grafik AMD RX Vega. Di dalam siri ini, AMD hadir dengan dua unit APU yang dibina khusus untuk laptop-laptop, termasuklah AMD Ryzen 7 2700U dan juga AMD Ryzen 5 2500U.

Kedua-dua CPU ini hadir dengan sejumlah 4 teras dan 8 bebenang kuasa pada kelajuan 3.8GHz (Ryzen 7 2700U) dan 3.6 GHz (Ryzen 5 2500U), dan hadir dengan teknologi-teknologi seperti AMD SenseMI, Precision Boost 2 dan mXFR (mobile Extended Frequency Range) yang membantu meningkatkan prestasi APU Ryzen Mobile ini.

Dari segi jangka-hayat bateri pula, AMD berkata bahawa APU Ryzen Mobile ini boleh bertahan dalam 10-11 jam, ataupun dua kali lebih lama berbanding dengan APU-APU yang hadir di pasaran sebelum ini.

AMD juga berkata bahawa APU terbaru mereka mampu menggerakkan sejumlah permainan e-sukan seperti CS:GO, League of Legends, DoTA 2, Overrwatch dan sebagainya pada resolusi Full HD 1920×1080 pixel dengan kadar bingkai yang cukup selesa melalui cip pemproses grafik RX Vega yang hadir dengan 10 (Ryzen 7 2700U) dan 8 (Ryzen 5 2500U) Compute Unit.

Selain daripada itu, kedua-dua APU ini juga hadir dengan sokongan teknologi paparan AMD FreeSync 2 dan juga sokongan untuk resolusi 4K dan juga HDR  (High Dynamic Range).

Satu lagi ciri yang cukup menarik yang hadir pada APU Ryzen Mobile ini ialah mXFR, sebuah variasi kepada sistem overclocking XFR yang membolehkan sistem anda meningkatkan prestasinya dengan lebih tinggi jika laptop anda hadir dengan sistem penyejukan yang cukup berkuasa.

Buat masa ini, APU Ryzen Mobile ini akan hadir melalui pembuat-pembuat laptop seperti Acer, ASUS, dan HP. Menurut AMD lagi, laptop-laptop ultra-nipis dari syarikat-syarikat ini akan hadir di pasaran pada awal tahun 2018.


TIPS & ULASAN