Project Formula – Sebuah Lagi Projek Kereta Terbang Elektrik

Project Formula – Sebuah Lagi Projek Kereta Terbang Elektrik

Diterbitkan pada Okt 30, 2017 oleh .

Kenderaan terbang ialah impian masa depan yang telah diramalkan sejak penghujung kurun ke-19. Usaha paling awal merealisasikan impian ini dilakukan oleh Henry Ford pada tahun 1926 tetapi gagal apabila prototaip yang dihasilkan terhempas. Hanya sejak lima tahun kebelakangan ini teknologi cukup matang untuk menghasilkan kereta terbang yang selamat.

Project Formula ialah sebuah lagi projek kereta terbang yang diperlihatkan dan ia dihasilkan oleh Hoversurf. Ini ialah firma yang menghasilkan motosikal terbang Scorpion yang kini digunakan oleh pasukan polis Dubai.

Kereta terbang ini mampu membawa empat penumpang dengan 48 kipas bermotor elektrik yang membekalkan tujahan ke hadapan dan apungan ke atas. Untuk terbang menegak kipas pada bahagian bawah membekalkan kuasa. Apabila mencapai ketinggian tertentu, ia terbang mendatar menggunakan sayap yang boleh dilipat. Empat kipas pada bahagian belakang sahaja akan digunakan untuk mod ini bagi mengurangkan penggunaan kuasa.

Penggunaan sayap yang boleh dilipat membolehkan ia diletakkan di dalam ruang parkir kenderaan biasa. Pada waktu yang sama sekiranya berlaku gangguan kuasa Project Formula masih boleh meluncur dengan selamat. Pihak Hoversurf bercadang menyertakan sistem payung terjun kecemasan sebagai langkah keselamatan berganda. Pembangunan masih di tahap rekaan tanpa sebarang tarikh sasaran ia akan memulakan operasi setakat ini.


TIPS & ULASAN