Cari @ Amanz

Minggu lalu, kami ada melaporkan bahawa ASUS bakal hadir dengan beberapa model kad grafik baru berasaskan NVIDIA GeForce GTX 1070 Ti, dan pihak ASUS Malaysia baru sahaja mengesahkan bahawa salah sebuah daripada kad grafik tersebut, ASUS ROG STRIX GTX 1070 Ti A8G Gaming akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi.

Menariknya, kad grafik ini hadir dalam dua jenis model, iaitu Standard Edition, yang hadir dengan kelajuan GPU Boost Clock 1721 MHz dan juga Advanced Edition yang mempunyai Boost Clock selaju 1759 MHz.

Kedua-dua kad grafik ini juga hadir dengan sistem penyejuk MaxContact yang mempunyai kawasan sentuhan yang menyejukkan jumlah permukaan yang lebih luas berbanding dengan penyejuk-penyejuk sebelum ini. Penyejuk ini juga hadir dengan tiga kipas penyejuk yang disahkan IP5X, dan hanya akan berpusing apabila suhu GPU berada pada tahap yang cukup tinggi.

Ia juga hadir dengan sisem penyalaan RGB Aura Sync bagi mereka yang mahukan sebuah komputer yang bukan sahaja berkuasa, tetapi kelihatan ceria. Bagi penggemar realiti maya pula, kad grafik ini juga hadir dengan dua port HDMI, dua port DisplayPort dan sebuah port DVI.

Menurut ASUS Malaysia, kad grafik ini akan hadir di pasaran tempatan pada 10 November kelak. Akan tetapi, buat masa ini tanda harga untuk kedua-dua kad grafik ini masih belum diketahui lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd