Video Memaparkan HTC U11 Plus Dan U11 Life Tertiris – Edge Sense Baru Dan Rekaan Nirbingkai
HTC

Video Memaparkan HTC U11 Plus Dan U11 Life Tertiris – Edge Sense Baru Dan Rekaan Nirbingkai

Diterbitkan pada November 1, 2017 oleh .

Spesifikasi HTC U11 Life tertiris semalam dan hari ini video yang memaparkan peranti ini dan HTC U11 Plus pula tertiris awal. Ia dimuat naik oleh laman Blink sebelum pelancarannya secara rasmi esok. Di dalam video yang boleh anda lihat di bawah, ia memperlihatkan rekaan nirbingkai U11 Plus dan panel belakang lutsinar yang menunjukkan elemen pengecasan tanpa wayar.

Skrin U11 Plus dipercayai sebesar 6″ nyata lebih besar dan mempunyai nisbah 18:9 berbanding U11. Sense Launcher dan Edge Sense telah dikemaskini dengan lebih banyak pilihan aplikasi boleh dilancarkan apabila tubuh peranti dipicit.

Talam aplikasi boleh diakses dengan menatal skrin dari bawah ke atas seperti pelancar Pixel. U11 Plus masih lagi mengekalkan penggunaan hanya satu kamera utama tetapi pengimbas cap jari dialihkan ke belakang.

HTC U11 Life di dalam video ini berbeza dengan gambar yang tertiris semalam kerana jelas menggunakan Android One. Antaramuka yang sama seperti Xiaomi Mi A1 jelas kelihatan. Spesifikasi lengkap kedua-dua peranti ini akan diketahui esok. Apakah pendapat anda tentang rekaan kedua-dua peranti ini?


TIPS & ULASAN