Cari @ Amanz

Rekaan, spesifikasi dan video ulasan awal Razer Phone telah tertiris awal. Pagi tadi akhirnya ia telah dilancarkan secara rasmi oleh Razer di sebuah acara khas di New York. Razer Phone ialah telefon pintar yang direka khas untuk peminat tegar permua.

Dari segi spesifikasi ia dilengkapi skrin 5.7″ IPS LCD IGZO QHD dengan kadar segar semula 120Hz UltraMotion. Skrin dengan kadar segar semula yang amat tinggi ini pernah digunakan pada peranti Sharp Aquos R yang tidak dipasarkan di luar Jepun. Ini memastikan paparan yang kelihatan amat lancar apabila digunakan. Sedikit mengecewakan panel hadapan hanya menggunakan kaca Gorilla Glass 3.

Skrin ini dipadankan dengan pemproses Snapdragon 835, memori sebesar 8GB RAM LPDDR4 dan storan 64GB UFS. Sokongan kad mikroSD sehingga 2TB diberikan. Dwi-kamera utama menggabungkan sensor 12-Megapixel f/1,7 dengan 13-Megapixel f/2.6. Terdapat zoom optikal 2X tetapi tiada sokongan OIS. Kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel f/2/2.

Bateri sebesar 4000 mAh dibekalkan menyokong pengecasan pantas QuickCharge 4+ yang merupakan format terpantas dikeluarkan Qualcomm. Keseluruhan tubuh diperbuat daripada logam dan ini bermakna tiada sokongan pengecasan tanpa wayar.

Melengkapi spesifikasi ialah pembesar suara stereo pada bahagian hadapan dengan kekisi audio yang besar. Ini menyebabkan Razer Phone mempunyai bingkai yang besar. Tetapi ini disengajakan bagi membolehkan pengguna memainkan permua dengan lebih selesa kerana terdapat tempat untuk meletakkan ibu jari. Bercakap tentang jari, pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa yang terletak di sisi kanan.

Sistem audio Dolby ATMOS. Namun tiada sokongan bicu audio 3.5mm pada peranti ini atau fon telinga disertakan dengan setiap pembelian. Sebaliknya penyesuai USB-C ke bicu audio yang disertakan mempunyai DAC yang memenuhi piawaian THX. Akhir sekali peranti ini masih menggunakan Android 7.1.1 dengan pelancar Nova Launcher Prime. Mereka mengesahkan kemaskini ke Android Oreo akan diterima awal 2018.

Razer Phone bakal dipasarkan di Amerika Syarikat bermula bulan November ini pada harga $699 iaitu sekitar RM2957 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd