HTC U11 ialah antara peranti kegemaran kami kerana ia mempunyai rekaan yang cantik serta sistem Edge Sense. Edge Sense ini memudahkan pelancaran aplikasi dengan hanya memicit bingkai dan kini boleh ditemui pada peranti Pixel. Hari ini HTC U11+ pula dilancarkan dengan kemaskini rekaan nirbingkai dan panel belakang yang kini lutcahaya yang menunjukkan komponen dalaman peranti.
HTC U11+ dilengkapi skrin nirbingkai 6″ Super LCD5 QHD+ bernisbah 18:9, dijana pemproses Snapdragon 835, memori sebesar 4/6GB dan storan 64/128 GB. Skrin peranti akhirnya menyokong paparan mengikut format HDR10. Kamera utama adalah sebesar 12-Megapixel f/1.8 dan dipadankan dengan kamera hadapan 8-Megapixel f/2.0. Ini adalah kamera yang sama seperti yang ditemui pada U11.
Bateri walaubagaimanapun dipertingkatkan ke 3930 mAh dengan sokongan pengecasan pantas QuickCharge 3.0 melalui port USB-C. Masih tiada sokongan pengecasan tanpa wayar seperti ura-ura yang kedengaran sebelum ini.
Kemampuan kalis air peranti ini ialah IP68. Sistem audio BoomSound melalui pembesar suara stereo U11+ dipertingkatkan dengan HTC mengatakan ia 30% lebih lantang berbanding U11. Ini juga bermakna masih tiada sokongan bicu audio tetapi dengan setiap pembelian sebuah fon telinga U-Sonic disertakan. Pengimbas cap jari yang dahulunya pada bahagian dagu kini diubah ke bahagian belakang peranti.
HTC U11 Plus adalah peranti pertama HTC yang menggunakan Android Oreo dengan pelancar HTC Sense. Sistem Edge Sense disertakan sekali lagi kali ini dengan pelancar Edge Launcher. Apabila bingkai digenggam, terdapat pintasan pantas untuk pelbagai aplikasi muncul pada skrin. Genggaman lebih kuat boleh diprogramkan untuk melancarkan kamera atau pembantu maya seperti Google Assistant.
HTC Malaysia telah mengesahkan HTC U11+ akan dilancarkan pada bulan Disember tetapi harga masih belum diumumkan buat masa ini.