Google baru sahaja mengadakan acara Google Playtime SEA 2017, dimana mereka mereka menjemput para pembina aplikasi di rantau Asia Tenggara untuk berkongsi pengalaman membina aplikasi yang berjaya Bersama-sama dengan pihak Google Play Store.
Diantara pembina-pembina yang hadir di acara ini termasuklah Kurechii dari Malaysia, Touchten Games dari Indonesia, MochiBits dari Filipina, Ookbee dari Thailand dan Amanotes dari Vietnam. Di acara ini, pembina-pembina ini berkongsi pelbagai pengalaman mereka, dari bagaimana mereka memulakan syarikat mereka, kepada bagaimana mereka membina aplikasi yang mendapat jumlah muat-turun yang tinggi dengan bantuan daripada pihak Google.
Acara Google Playtime ini yang diadakan untuk sehari di Singapura hadir dengan beberapa acara breakaway dimana para pembina aplikasi juga dapat belajar untuk bagaimana memanfaatkan pelbagai peralatan yang terbina didalam Google Playstore untuk meningkatkan kualiti aplikasi mereka dari segi fungsi dan juga nombor muat-turun.
Pembina aplikasi seperti Halfbrick Studios yang terkenal dengan aplikasi permainan seperti Fruit Ninja dan juga Jetpack Joyride juga hadir di acara ini untuk memberi para pembina tips dan cara-cara untuk membina aplikasi yang menarik minat orang ramai.
Menurut James Sanders, Pengarah Rantau Asia Pasifik Google Play, pendapatan pembangun di Asia Tenggara dapat diihat meningkat 150% tahun-ke-tahun, dan ini memberikan semangat untuk Google terus hadir dengan acara-acara seperti Google Playtime untuk pembangun aplikasi Android.
Kunal Soni, Ketua Pembangunan Perniagaan Google Play SEA pula merasakan bahawa rantau Asia Tenggara ini merupakan sebuah kawasan yang cukup baik sekali untuk pembangun-pembangun baru mencipta aplikasi mereka, dan bagaimana untuk memasarkannya kepada masyarakat majmuk.
Oleh itu, pihak Google memanggil pembina-pembina seperti Kurechii, Touchten Games, MochiBits dan sebagainya untuk menunjukkan bagaimana pembangun-pembangun daripada rantau Asia Tenggara ini boleh membina aplikasi yang boleh dimainkan oleh pengguna-pengguna peranti Android di seluruh dunia.