Razer Phone dilancarkan minggu lalu dan ia direka khas untuk golongan gamer. Peranti pintar pertama keluaran Razer ini dilengkapi pemproses berkuasa dan memori sebesar 8GB RAM. Ini adalah saiz RAM yang lebih besar dari ditemui pada sesetengah komputer riba. Razer bukanlah syarikat pertama yang melancarkan peranti khusus untuk golongan gamer. Berikut ialah lima peranti pintar yang turut mensasarkan golongan yang sama sebelum ini.
Acer Predator 6/8
Diperlihatkan pada September 2015, Acer Predator 6 ialah sebuah telefon pintar yang mensasarkan golongan gamer. Acer Predator 8 pula ialah sebuah tablet yang mensasarkan golongan yang sama. Diantara dua peranti ini hanya Predator 8 dijual kepada umum pada harga $300 sebuah.
Acer Predator 8 GT810 dilengkapi skrin 8″ FHD, pemproses Intel Atom x7-Z8700,RAM sebesar 2 Gigabyte dan muatan dalaman sehingga 64 Gigabyte. Tablet Android 5.1 ini mempunyai sistem audio yang unik Predator Quadio yang menggunakan empat pembesar suara di bahagian depan skrin. Ia menyokong format audio Dolby Digital bagi memberikan penghasilan audio paling sesuai untuk menikmati permua Android.
Snail Mobile i7
Sumber – Engadget
Peranti pintar yang mensasarkan golongan gamer amat popular di China kerana sehingga pertengahan 2015. Penjualan konsol diharamkan oleh pihak pemerintah kerana dikatakan mempunyai elemen negatif kepada masyarakat. Oleh itu telefon pintar Snail Mobile i7 dihasilkan hanya untuk pasaran China. Ia dilancarkan di MWC Shanghai Julai yang lalu.
Snail Mobile i7 dilengkapi skrin 6″ HD penuh, dijana pemproses MediaTek Helio X20, memori sebesar 6GB RAM dan storan sebesar 64GB. Ia dilengkapi kamera utama sebesar 16-Megapixel dan kamera hadapan 5Megapixel. Bateri sebesar 6000 mAh membekalkan kuasa kepada peranti yang menggunakan sistem operasi Android ini.
Dari segi rekan ia mirip sebuah Sony PlayStation Vita. Terdapat dua tombol analog, satu tombol D-Pad, empat butang muka dan dua butang bahu. Di China ia dijual pada harga RMB 1899 (~RM 1213) sebuah.
Sony Ericsson Xperia Play
Sony Ericsson Xperia Play mungkin antara telefon pintar untuk gaming yang dikenali ramai. Muncul pada tahun 2011, peranti ini mempunyai butang kawalan yang meluncur keluar dari bahagian bawah peranti. Kerana ia buatan Sony, butang seperti PlayStation disertakan iaitu empat butang muka, dua butang analog, satu butang D-Pad dan dua butang bahu. Bolehlah dikatakan inilah peranti yang menjadi inspirasi kepada Snail Mobile i7 di atas.
Ini ialah satu-satunya percubaan Sony untuk menghasilkan peranti yang juga merangkap sebuah konsol mudah alih seakan Vita. Pada waktu ia dilancarkan ia menerima kritikal kerana saiz skrin 4″ yang kecil dan kekurangan sokongan permainan yang menggunakan alat kawalan yang disertakan. Pemproses peranti mudah alih berevolusi dengan pantas dan dan pemproses Snapdragon S2 yang digunakan menjadi ketinggalan dengan pantas. Storan sebesar 400 MB dan RAM 512 MB juga adalah kecil untuk memudahkan pemasangan permua.
Selapas kegagalan peranti ini, Sony menumpukan perhatian kepada peranti yang menyokong penstriman kandungan PlayStation 4 melalui fungsi Remote Play. Sebuah pengawal DualShock 4 PlayStation 4 boleh ditambat kepada beberapa peranti Xperia bagi mengubahnya menjadi konsol mudah alih seperti Xperia Play.
Nvidia Shield Tablet K1
Ini ialah percubaan paling serius sebelum Razer Phone untuk menghasilkan peranti pintar untuk golongan gamer. Nvidia Shield Tablet K1 bukan sahaja hadir dengan pengawal permainan ala konsolnya tersendiri (yang dijual berasingan), malah menyokong perkhidmatan penstriman permainan GeForce NOW. Grafik berkualiti PC boleh distrim terus pada tablet ini.
Pada waktu yang sama permua Android boleh dimainkan pada tetapan tertinggi manakala Nvidia Shadowplay membolehkan setiap aksi permainan boleh direkodkan untuk dinikmati semula.
Nvidia Shield Tablet K1 dilengkapi skrin 8″ IPS LCD HD penuh, pemproses Nvidia Tegra K1, memori sebesar 2GB RAM dan storan 16GB. Kamera 5-Megapixel disertakan pada bahagian belakang dan hadapan. Bateri sebesar 19.75 Wh membekalkan kuasa untuk mod mudah alih. Sepasang pembesar suara stereo pada bahagian hadapan memastikan setiap kesan bunyi dapat didengari dengan jelas.
Nokia N-Gage
Kami yakin semua pembaca Amanz pernah melihat Nokia N-Gage yang merupakan “peranti pintar” pertama yang mensasarkan golongan gamer. Antara permainan menarik yang ditawarkan pada N-Gage ialah Tomb Raider, Splinter Cell dan Prince of Persia yang sebelum ini hanya ditemui pada platform PC.
Rekaan N-Gage yang aneh menjadi meme kerana ia canggung digunakan sebagai sebuah telefon mudah alih. Peranti digunakan secara senget apabila melakukan panggilan telefon. Apabila dilancarkan pada tahun 2003, ia mendapat perhatian ramai kerana pada waktu tersebut permua hanya wujud dengan grafik 2D seperti Snake. Masalah dengan N-Gage ialah saiz skrin yang kecil, permainan yang tidak lancar dan pengguna perlu mencabut bateri untuk menukar katrij permainan.
Nokia N-Gage QD yang dilancarkan pada tahun 2004 ialah model kemaskini yang cuba menyelesaikan masalah asal. Katrij boleh diganti tanpa menanggalkan bateri dan gagang telinga akhirnya terletak pada bahagian hadapan. Malangnya ia masih menggunakan perisian yang sama dengan N-Gage. Grafik tidak menunjukkan peningkatan dan masih belum lancar. Jualan yang rendah (hanya 3 Juta dalam masa dua tahun) dan permainan yang tidak mendapat sambutan akhirnya menguburkan N-Gage.
Sejarah menunjukkan peranti pintar yang mensasarkan golongan gamer kurang berjaya. Hanya masa akan menunjukkan sama ada Razer Phone ialah percaturan yang bijak. Bagaimana pula dengan pembaca Amanz? Adakah Razer Phone akan akhirnya menjadi peranti pintar untuk gamer pertama yang berjaya di pasaran?