Cari @ Amanz

Bukan rahsia di kalangan pengguna Android bahawa peranti yang menggunakan pemproses MediaTek jarang sekali menerima kemaskini keselamatan apatah lagi versi Android. Tambah merisaukan banyak peranti yang menggunakan pemproses MediaTek tidak tersenarai di dalam Android Certified yang memastikan peranti menerima pensijilan rasmi dari Google.

Oleh itu MediaTek bekerjasama dengan Google di dalam program baru GMS Express yang memastikan setiap peranti akan lebih mudah melalui proses pensijilan Android Certified. Kemaskini perisian dan keselamatan kini akan hadir lebih pantas kepada peranti MediaTek.

MediaTek ialah pengeluar SOC pertama di bawah program GMS Express ini. Mereka akan menyediakan spesifikasi dan Android built yang mengikuti rangka yang ditetapkan Google Mobile Services (GMS) dan Google Compatibility Test Suite (CTS). Kesemuanya telah melalui proses pra-ujian, pra-pensijilan dan memenuhi keperluan Google. Dengan itu proses pensijilan Android Certified yang selama ini mengambil masa tiga bulan dipendekkan ke hanya empat minggu.

Mengapakah proses pensijilan ini penting? Ini adalah memastikan peranti benar-benar selamat digunakan tanpa sebarang kod hasad dan kerentanan yang boleh mendedahkan maklumat pengguna kepada kecurian oleh pihak tidak bertanggungjawab. Bagi pengguna biasa mereka boleh menggunakan peranti harga mampu milik dijana MediaTek tanpa perlu risau sistem operasi tidak menerima kemaskini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd