Setiap Ramadan umat Islam akan berpuasa selama sebulan. Di akhir Ramadan ramai yang berkata mereka berjaya mengurangkan berat badan dan terasa lebih sihat. Ini semua adalah bukti anekdotal yang sebelum ini tidak dikaji secara saintifik. Kajian terkini dari Universiti Harvard mendapati amalan berpuasa bukan sahaja baik untuk kesihatan malahan melambatkan proses penuaan sekaligus boleh memanjangkan usia pengamal.
Kajian dilakukan ke atas cacing nematod. Dengan mengawal diet cacing dengan memaksanya berpuasa, penyelidik mendapati terdapat perubahan pada rangkaian mitokrondria di dalam sel. Kajian yang dilakukan oleh Newcastle University sebelum menemui perkaitan di antara proses penuaan sel dengan mitokondria.
Kajian Harvard mendapati manipulasi pemakanan ke atas cacing nematod menggalakkan homeostasis pada sel mitokondria mereka. Ini seterusnya mengekalkan keseimbangan di antara sel yang bercantum dan terlerai di dalam jaringan sel mitokondria. Ini menurut penyelidik menyebabkan cacing nematod menjalani proses penuaan yang lebih perlahan.
Cacing nematod sering diambil sebagai organisma ujian kerana usia mereka yang pendek sekitar dua minggu. Usia cacing yang diuji didapati lebih panjang dari set kawalan selepas ujian berpuasa dilakukan ke atas mereka.
Hasil kajian ini diharap dapat membuka pintu kepada kajian memperlahankan proses penuaan pada manusia dan penyakit-penyakit yang muncul apabila usia semakin lanjut.