Cari @ Amanz

Pendengaran ialah salah satu deria yang diberikan tuhan kepada manusia. Tetapi kami sedari di kalangan gamer ia antara deria yang sering dianaktirikan kerana lebih ramai mementingkan grafik. Di rumah juga kami yakin lebih ramai mempunyai monitor atau televisyen bersaiz besar berbanding sistem audio kelas atasan. Bagi mereka yang mementingkan audio, Armaggeddon Nuke 9 ialah sebuah fon kepala yang direka khas untuk sesi permainan video atas talian. Adakah ini fon kepala yang perlu dimiliki sekiranya anda mahukan audio terbaik.

Apa Di Dalam Kotak

Di dalam kotak pembelian Armaggeddon Nuke 9 ini ini didatangkan dengan aksesori yang terhad. Hanya sebuah fon kepala, satu risalah manual dalam tiga bahasa dan cakera optik perisian pemandu untuk PC. Pakej kotak juga minimalis tanpa rekaan yang bombastik. Kesemua produk keluaran Armaggeddon diberikan pakej minimalis yang sama. Tiada span pendakap telinga tambahan/gantian disertakan. Ini sesuai dengan harga jualan mereka yang jatuh ke dalam kategori mampu milik.

Rekabentuk

Fon kepala ini mempunyai rekaan pendakap yang terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama bersambung kepada dua pendakap audio manakala bahagian kedua mempunyai rekaan hammock terbalik yang dilabuhkan di atas kepala. Ini ialah rekaan yang sama seperti yang ditemui pada fon kepala permainan video seperti Razer Tiamat.

Rekaan ini amat popular di kalang atlet e-sukan yang mahukan keselesaan memakai fon kepala untuk jangka masa yang lama tanpa kepala terasa seperti dicengkam. Walaupun bersaiz agak besar, kami tidak merasakan Nuke 9 membebankan kepada. Seharian memakai Nuke 9 di pejabat, bahagian telinga tidak mempunyai sebarang kesan kerengsaan seperti memakai fon kepala rekaan konvensional yang kami milik.

Berita buruk untuk rekaan ini ialah saiz yang amat besar berbanding fon kepala rekaan biasa. Kami mempunyai sebuah Armaggeddon Avatar Pro ZX500 sebelum ini dan ia kelihatan kecil apabila diletakkan bersebelahan Nuke 9. Ini membuatkannya bukan sebuah fon kepala yang sesuai dibawa untuk ke LAN PARTY kerana tidak boleh dilipat. Tambahan lagi pihak Armaggeddon tidak menyertakan tempat simpanan khas seperti yang dilakukan oleh pengeluar lain seperti Sony.

Dua pendapat kepada diperbuat daripada bahan plastik. Setiap pendakap dilengkapi dengan pemacu sebesar 50mm dengan rekaan open-back. Kami secara peribadi lebih menggemari rekaan closed-back kerana bunyi tidak mengganggu teman sepejabat. Tetapi rekaan open-back ini secara teorinya memberikan kualiti audio yang lebih semula jadi kerana udara tidak termampat di dalam kebuk audio.

Bahagian span pula diperbuat daripada bahan kulit sintetik polyurethane (PU). Kerana Nuke 9 ialah sebuah fon kepala mampu milik, kami tidak akan memberi komen yang terlalu negatif tentang penggunaan bahan PU di sini.

Berdasarkan pengalaman membeli fon kepala selama lebih dua dekad, apa yang boleh kami katakan ialah bahan PU adalah yang pertama akan mengalami kerosakan. Dedahan kepada udara, haba, peluh dan cahaya UV akan menyebabkannya menjadi rapuh dalam masa setahun. Malang sekali seperti kami katakan di awal ulasan, tiada span pendakap tambahan disertakan dan apabila kerosakan berlaku anda perlu membeli fon kepala baru.

Pada sisi setiap pendakap terdapat sistem lampu dengan sokongan tujuh warna lampu. Lampu bertukar-tukar warna dengan perlahan tidak mengikut input dari audio yang keluar dari pembesar suara. Perisian yang disertakan tidak memberikan kawalan terhadap warna lampu yang boleh dipaparkan.

Sebuah tombol kawalan suara jenis roda terletak pada pendakap telinga kiri. Ini adalah satu-satunya butang kawalan yang disertakan. Tiada butang untuk mematikan audio (mute) atau mikrofon. Kami merasakan dua butang ini sepatutnya menjadi standard pada fon kepala untuk gamer. Malahan pada Armaggeddon Avatar Pro ZX500 yang dijual pada harga yang sama butang-butang ini disertakan.

Mikrofon boleh lentur turut boleh ditemui pada pendapat telinga kiri. Ia diperbuat daripada logam yang membolehkan pengguna mengubah kedudukannya mengikut keselesaan.

Seutas kabel PVC sepanjang 2.2 meter bersambung pada pendakap kiri. Bahan PVC menyaluti kabel ini dengan sambungan kepada berbentuk USB-A. Ini membuatkan fon kepala ini hanya boleh digunakan pada sebuah PC atau konsol.

Penyambungan

Seutas kabel PVC sepanjang 2.2 meter bersambung pada pendakap kiri. Bahan PVC menyaluti kabel ini dengan sambungan kepada berbentuk USB-A. Ini membuatkan fon kepala ini hanya boleh digunakan pada sebuah PC atau konsol.

Penggunaan bahan PVC ini mungkin tidak menarik tetapi sekali lagi mengurangkan kos penjualan Nuke 9. Tiada kabel bersulam (braided) seperti yang boleh ditemui pada fon kepala gamer kelas premium di pasaran.

Penggunaan

PC dapat mengenalpasti fon kepala ini secara automatik apabila disambung walaupun tanpa pemasangan perisian pemandu. Perkara yang sama berlaku apabila Nuke 9 disambungkan pada sebuah konsol PlayStation 4.

Perisian pemandu apabila dipasang memberikan beberapa pilihan tetapan seperti equaliser, kesan khas bunyi, tetapan mikrofon dan audio 7.1. Antaramuka perisian ini adakah menyakitkan mata. Butang berwarna kuning digunakan dengan reka huruf berwarna putih. Ini menyukarkan pengguna mengenalpasti fungsi butang. Perisian ini pada hemat kami perlu dikemaskini kerana menyakitkan mata.

Kualiti Audio

Sebagai fon kepada Stereo, Nuke 9 memberikan pengalaman audio yang sederhana. Kelantangan bunyi pada tetapan tertinggi adalah baik dengan distortion yang minimal. Tahap treble juga baik terutamanya apabila mendengar muzik akustik. Bass adalah sederhana sahaja tetapi pujian boleh diberikan kerana ianya masih bertenaga dan tidak pecah pada tetapan audio tertinggi. Kelemahan ialah pengasingan audio kurang memuaskan apabila mendengar muzik dari genre hip hop.

Di dalam mod permainan video dentuman bom adalah memuaskan begitu juga dengan kesan audio yang lain. Tetapi Nuke 9 dipasarkan sebagai fon kepala audio 7.1 Apabila menggunakannya di dalam permainan FPS seperti Overwatch kami tidak merasakan seperti kami berada di dalam dunia maya. Bunyi letupan dari belakang tidak ada bezanya dengan letupan dari hadapan.

Kesan spatial yang diharapkan langsung tidak kedengaran. Ini ialah kelemahan yang boleh diagak kerana setiap pendakap hanya dilengkapi satu pemacu. Pada fon kepala 7.1 yang lebih premium seperti  Razer Tiamat 7.1 V2, lima pemacu audio digunakan pada setiap pendakap. Ini memberikan kesan audio yang lebih realistik, tepat dengan audio separation yang lebih baik.

Jelas sekali untuk menikmati audio 7.1 pada tetapan terbaik, Nuke 9 bukanlah pilihan yang baik. Tetapi sekiranya anda memerlukan sebuah fon kepala gaming  yang selesa, pada harga mampu milik dan kemampuan audio yang sederhana ia mampu berfungsi pada tahap memuaskan.

Rumusan

Armaggeddon Nuke 9 ialah sebuah fon kepala untuk gamer yang dijual pada harga RM 169 sebuah. Ini meletakkannya di dalam kategori mampu milik jika dibandingkan dengan fon kepala untuk gamer lain di pasaran. Persoalan pertama ialah adakah ia memberikan kualiti audio yang setanding? Jawapan ikhlas ialah tidak. Pada tetapan tinggi sound separation adalah kurang baik dan berkecamuk. Dua pemacu audio Sokongan audio Virtual 7.1 yang diiklankan tidak berfungsi sebaik yang diharapkan.

Tetapi sebagai fon kepala biasa ia mempunyai kemampuan audio yang sederhana. Bunyi dari dua pemacu 50mm yang disertakan tidak pecah walaupun pada tetapan tertinggi. Ia amat selesa dipegang walaupun untuk sesi permainan video lama kerana ia tidak mencengkam kepala pemakai. Sambungan kepada PC dan PlayStation 4 juga tiada masalah walaupun tanpa pemasangan perisian pemandu terlebih dahulu.

Dari segi rekaan ia tidak kelihatan premium. Tiada kabel bersulam atau sambungan dengan saduran emas. Majoriti komponen diperbuat daripada plastik. Ini tidak mengejutkan kerana harus diingatkan ini ialah sebuah fon kepala open-backed mampu milik.

Bagi mereka yang inginkan kualiti audio terbaik ini bukanlah fon kepala buat anda. Tetapi sekiranya anda mencari sebuah fon kepala mampu milik yang memberikan kemampuan audio yang memuaskan Armageddon Nuke 9 akan memenuhi keperluan anda.

Pro
  • Kualiti audio yang memuaskan bagi sebuah fon kepala mampu milik.
  • Rekaan pendakap kepala yang selesa. Tiada cengkaman pada kepala selepas sesi permainan video yang panjang.
  • Boleh digunakan pada PC dan PlayStation 4 tanpa sebarang masalah.
  • Agak ringan di atas kepala.
  • Mikrofon boleh lentur. Mudah diposisikan mengikut keperluan pengguna. Tidak terhad pada satu sahaja seperti mikrofon boleh lipat lain di pasaran.
Kontra
  • Sistem audio Virtual 7.1 yang diberikan tidak berfungsi sebaik yang diharapkan.
  • Bahan binaan terlalu plastik membuatkannya kelihatan kurang premium.
  • Kekurangan butang kawalan untuk mikrofon yang standard pada fon kepala untuk gaming.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd