Apabila iPad dilancarkan pada tahun 2010, ia menjadi tablet yang paling popular di pasaran. Ini adalah kerana saiz skrin telefon pintar pada waktu tersebut secara purata masih di bawah 5″. Tujuh tahun telah berlalu dan permintaan terhadap tablet kini telah banyak menurun. Kewujudan telefon pintar dengan skrin yang semakin besar membuatkan tablet tidak lagi diperlukan.
IDC telah mengeluarkan angka terbaru jualan tablet untuk suku ke-tiga 2017. Untuk dua belas suku berturut-turun, jualan tablet merudum. Pada suku yang lalu sebanyak 40 Juta tablet dijual dan ini adalah penurunan berbanding 42.3 Juta pada suku yang sama tahun lalu. Ini bersamaan dengan penurunan 5.4% tahun demi tahun.
Apple memegang peratusan pasaran terbesar dengan 25.8% diikuti oleh Samsung (15%), Amazon (10,9%), Huawei (7.5%) dan Lenovo (7,4%). Apple, Amazon, Huawei dan Lenovo kesemuanya mencatatkan peningkatan jualan. Amazon mencatatkan peningkatan jualan tertinggi iaitu 38.7%. Samsung pula mencatatkan penurunan jualan sebanyak 7.9%. Adakah anda masih memiliki sebuah tablet?