Cari @ Amanz

Sebelum ini, kita telah mendengar desas-desus mengenai kaca mata AR (augmented reality) yang sedang dibangunkan oleh Apple. Kini, menurut laporan baru daripada Bloomberg, Apple dikatakan sedang mempersiapkan set kepala AR mereka tersendiri untuk diperkenalkan seawal 2019.

Set AR daripada Apple ini dijangka dilengkapi dengan cip pemprosesan tersendiri, skrin khusus dan juga menggunakan sistem operasi yang dioptimasikan untuknya.

Pada hari ini sendiri, Apple telah mula mengintegrasikan ciri-ciri AR pada telefon pintar mereka melalui ARKit. Melaluinya, ia membolehkan pengguna mengakses kandungan maya melalui penggunaan kamera pada telefon pintar.

Set AR ini dijangka beroperasi secara kendiri tanpa memerlukan telefon pintar – membolehkan pengguna mengawalnya melalui beberapa kaedah, termasuk menggunakan Siri.

Buat masa ini, set realiti-maya dan realiti-gabungan masih kurang popular dikalangan pengguna. Malah, Google Glass sebelum ini sendiri boleh dikatakan kurang berjaya dan Google mengalihkan sasaran mereka ke arah perusahaan.

Selain Apple dan Google, pihak Microsoft turut memfokuskan kepada arena lebih kurang sama melalui HoloLens – selain turut telah mengumumkan sejumlah rakan kerjasama untuk set realiti-gabungan mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd