11.11 Global Shopping Festival – Segalanya Anda Perlu Tahu Tentang Alibaba Singles Day

11.11 Global Shopping Festival – Segalanya Anda Perlu Tahu Tentang Alibaba Singles Day

Diterbitkan pada November 11, 2017 oleh .

Pada awalnya, 11.11 sering dikaitkan dengan sambutan orang bujang tetapi kini ia telah menjadi satu tarikh yang dinanti-nantikan pengguna yang gemar membeli barangan online, atas penawaran harga yang jauh lebih murah berbanding hari biasa. Mengapa tarikh 11.11 menjadi tarikh yang amat popular untuk mengadakan promosi jualan besar-besaran ini? Ada sejarah disebalik pemilihan tarikh ini.

11.11 pada awalnya adalah hari sambutan untuk orang bujang atau “Single’s Day” yang mana diketahui ia bermula daripada sambutan sejumlah pelajar di Nanjing University pada tahun 1993. Tarikh ini dipilih kerana bilangan angka 1 di dalam 11.11 yang mana secara kasarnya mudah dikaitkan dengan “perseorangan”.

Pada awalnya, sambutan ini diraikan oleh orang bujang dengan mengadakan temujanji buta atau ‘blind-date’ pada tarikh 11.11 ini. Untuk memudahkan urusan ketika ‘blind-date’ ini, semestinya ia diserikan dengan pemberian hadiah dari salah seorang pasangan. Hadiah-hadiah ini diperolehi daripada pelbagai sumber seperti pembelian di kedai, sehinggalah kini ia mudah diperolehi melalui laman jualan online.

Tidak menyangka dengan ramai yang membuat pembelian online pada tarikh 11.11 ini, ia kini telah berubah menjadi sebuah hari yang bukan hanya disambut oleh orang bujang, tetapi ia adalah sebuah hari yang cukup popular di China untuk membeli-belah.

Dengan perluasan penggunaan laman e-dagang, sambutan 11.11 ini tidak lagi terhad untuk diraikan di China sahaja, yang mana ia kini telah diperluaskan ke merata dunia melalui adaptasi sambutan 11.11 daripada sejumlah laman e-dagang tempatan.

Antara syarikat yang telah banyak mempengaruhi sambutan ini ialah Alibaba Group iaitu syarikat yang terkenal dengan penawaran teknologi dan ekosistem dalam arena e-dagang. Alibaba Gorup telah memegang beberapa produk yang cukup dikenali di bawah penawaran mereka seperti alibaba.com, Taobao, Tmall, AliExpress, dan Alipay.

11.11 Global Shopping Festival

Sambutan 11.11 Global Shopping Festival 2017 yang diadakan oleh Alibaba ini disambut selama 24 jam, dengan melibatkan lebih 140,000 jenama – meliputi lebih 15 juta produk yang ditawarkan. Acara ini telah bermula pada tahun 2009, dengan memperlihatkan angka keuntungan sebanyak RMB 52 juta (USD $7.6 juta) untuk tahun pertama. Kemudian, ia telah berubah menjadi festival sambutan membeli-belah dan hiburan global, yang mana mencatatkan keuntungan setinggi RMB 120.7 bilion (USD $17.8 bilion) pada tahun 2016.

Menariknya, skala pembelian pada hari 11.11 ini adalah 18 kali ganda lebih besar daripada Amazon Prime Day dan 2.5 kali lebih besar berbanding gabungan Black Friday dan Cyber Monday.

Dengan acara sambutan ini, jumlah pengguna yang ramai sudah pastinya dijangka sekaligus memerlukan teknologi yang cukup berkuasa untuk menampung kapasiti pengguna dalam skala besar. Menariknya pada tahun 2016, Alibaba Cloud telah berjaya memproses 175,000 pesanan dalam satu saat ketika waktu puncak, sementara Alipay memperolehi 1 bilion pembayaran dan 120,000 transaksi dalam satu saat ketika hari 11.11 ini.

Apa yang membuatkan keuntungan festival ini meningkat secara mendadak adalah dari faktor inovasi dan teknologi yang dibangunkan oleh Alibaba. Sambutan pada kali ini tidak hanya memfokuskan kepada harga jualan yang lebih murah, tetapi Alibaba ingin menggunakan kesemua ekosistem mereka untuk membawa pengalaman membeli-belah yang lebih ke hadapan.

Pengalaman Membeli-Belah Baharu

Pada tahun ini, Alibaba telah mengetengahkan “New Retail Experience” iaitu pengalaman membeli-belah baharu dengan menggabungkan sistem online dan offline dalam satu tempat. Ia meliputi Smart Stores iaitu kedai fizikal dengan mod pembayaran online yang mana kini dinikmati oleh 100,000 kedai di seluruh China.

Selain memperluaskan konsep Smart Stores, Alibaba telah sedia membuka Hema, iaitu pasaraya model yang menggunakan kaedah pembayaran online ketika membuat pembelian barangan fizikal. Rupa pasaraya ini adalah hampir sama seperti pasaraya biasa, tetapi ditingkatkan dengan mod pembayaran digital ketika ingin melalukan pembayaran.

Pengguna boleh membeli sejumlah barangan dapur dan barangan basah di pasaraya Hema ini, namun apabila tiba untuk membuat pembayaran, pengguna hanya perlu mengimbas QR Code daripada akaun Alipay di telefon pintar. Terbaru, Hema dan Alipay turut mula menawarkan pembayaran melalui imbasan muka pengguna, dengan hanya memberi imbasan muka dan memasukkan nombor telefon pengguna ketika membuat pembayaran. Bermakna, pengguna hanya perlu membawa diri sahaja tanpa perlu sebarang wang atau telefon bimbit ketika membayar.

Selain daripada mod pembayaran, ia juga berfungsi sebagai sebuah hab untuk penghantaran online, dengan menyediakan penghantaran sepantas 30 minit untuk pengguna yang tinggal berhampiran dengan pasaraya Hema ini dalam lingkungan 3KM. Menariknya, barangan yang dipesan ini dipilih oleh pekerja pasaraya, dan kemudian ia diletakkan ke dalam bag yang disalurkan melalui lingkaran yang berada di bahagian atas pasaraya fizikal.

Globalisasi

Alibaba juga turut mengetengahkan untuk bergerak secara “Globalisasi”, dengan memperluaskan beberapa perkhidmatan dan ekosistem utama Alibaba ke pasaran di luar China.

Untuk pasaran di Asia Tenggara seperti Malaysia, saluran seperti Lazada telah sedia menawarkan pembelian daripada Taobao melalui halaman Taobao Collection di dalam laman Lazada itu sendiri. Dengan kemudahan seperti ini, lebih 600 juta pengguna di rantau ini dapat menikmati pembelian barangan dari China, melalui sistem logistik, gudang simpanan, dan penyaluran barang daripada Lazada.

Bermula tahun ini, kebanyakan pengguna di Malaysia sudah boleh melihat perkhidmatan Alipay diimplementasikan secara meluas di kedai-kedai serbaneka, seperti 7Eleven dan Mynews bagi meningkatkan penggunaan nirtunai atau sistem cashless. Pada saat ini, ia mungkin banyak dinikmati oleh pelancong daripada China, tetapi tidak mustahil ia bakal mnejadi salah satu mod pembayaran popular dalam kalangan pengguna.

Alibaba juga turut menawarkan Tmall World di dalam aplikasi Taobao sendiri, yang mana menggabungkan penawaran produk daripada Taobao dan Tmall untuk penduduk di luar China. Antara inisiatif yang dilakukan baru-baru ini adalah kebolehan penghantaran dan pemasangan perabot di rumah yang kini sedia dinikmati oleh penduduk di Singapura dan Malaysia.

Satu lagi usaha yang dilakukan di bawah globalisasi Alibaba adalah melalui Cainiao Network iaitu kemudahan penghantaran yang boleh dilakukan secara terus untuk 9 buah negara. Malaysia adalah salah satu negara yang terpilih untuk menikmati kemudahan penghantaran melalui laut untuk penghantaran barang dalam skala besar.

Teknologi Untuk Pengguna

Alibaba juga turut mengimplementasikan teknologi terkini untuk memudahkan pengguna membuat pemilihan sesuatu barangan. Perkara ini termasuk daripada penggunaan Artificial Intelligence (AI) dan Augmented Reality (AR) yang mana kini kian digunakan untuk mendapatkan paparan yang berkaitan pengguna dengan lebih tepat dan imersif.

“The Fashion AI” adalah platform yang dihasilkan Alibaba untuk membolehkan pengguna mendapatkan senarai outfit yang boleh digunakan untuk sesuatu pakaian tersebut. Ia mempunyai sumber yang kini telah mencecah 500,000 data yang berkaitan dengan fesyen, yang mana diperolehi daripada imej produk dan saranan fesyen daripada penjual.

Mobile Virtual Fitting Room pula membolehkan pengguna mencuba sesuatu pakaian terpilih terus melalui aplikasi Taobao dan Tmall. Pengguna hanya perlu memuat-naik gambar, meletakkan data ketinggian dan berat, dan kemudian, ia akan memparkan diri anda dengan pakaian tersebut. Buat masa ini, sejumlah jenama besar seperti Polo Ralph Lauren, Guess, Adidas, Kappa, dan Levis telah bekerjasama untuk meletakkan sejumlah pakaian mereka pada teknologi ini.

Teknologi Infrastruktur

Alibaba telah menyediakan AI Designer menerusi “Lu Ban” iaitu platform untuk membantu para penjual memaparkan iklan pada kedai mereka berdasarkan kesesuaian sesuatu pengguna. Ia mempelari seseorang individu melalui kaedah deep learning, reinforcement learning, Monte Carlo tree search, dan carian berasaskan imej.

Pada hari 11.11 ini, ia akan digunakan dengan lebih meluas pada laman e-dagang dengan menghasilkan berjuta banner iklan berdasarkan seseorang pengguna. Platform ini mampu menghasilkan 8000 banner iklan per saat dan dijangka akan dihasilkan dalam angka mencecah bilion ketika festival ini berlangsung.

Dalam menjadikan jualan 11.11 ini dengan lebih lancar, Alibaba telah menjalankan autonomous end-to-end load testing dengan simulasi pembelian dalam sesuatu skala secara berulang kali untuk menguji kelancaran pada produk dan teknologi mereka. Mereka juga telah menjalankan AI-empowered operation management iaitu enjin pintar untuk mengatur sumber pengkomputeran pada waktu yang sesuai secara automatik.

Selain penggunaaan AI, robot juga digunakan pada data center Alibaba dengan melakukan sekitar 30% tugasan ulangan ketika memantau pusat data ini. Mereka juga turut menggunakan colocation technology dengan menjadikan sejumlah data center sebagai warehouse-scale computers untuk memudahkan proses pengoptimasian secara berkala.


11.11 Global Shopping Festival dilihat bukan sahaja sebuah hari untuk memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan pada harga rendah, tetapi ia memperlihatkan usaha Alibaba dalam menjadikan pengalaman membeli-belah menjadi lebih baik. Ia menggabungkan beberapa usaha seperti penambah-baikan dari segi jualan offline menjadi lebih mudah dengan adanya penggunaan teknologi mudah-alih yang sedia digunakan pengguna. Dengan teknologi dan inovasi yang dibawa oleh Alibaba, tidak mustahil ia akan diikuti atas penawaran produk dan ekosistem yang praktikal untuk digunakan secara meluas.


TIPS & ULASAN