Cari @ Amanz

Salah satu masalah yang sering membelenggu syarikat-syarikat baru (startup) ialah mereka tidak mempunyai kepakaran untuk mengembangkan perniagaan mereka menggunakan teknologi-teknologi baru.

Pihak Axiata Digital baru sahaja memeterai kerjasama bersama-sama dengan MDEC untuk membolehkan syarikat-syarikat ini menggunakan API (Application Programming Interface) mereka yang dinamakan Mobile Internet Fulfillment Exchange (MIFE), dan API ini bukan sahaja membolehkan syarikat mempercepatkan pergerakan mereka ke pasaran, tetapi juga memberikan mereka laluan kepada 320 juta pengguna Axiata dan 1,8 juta touch point di rantau Asia.

Diantara kelebihan MIFE ini lagi ialah ia membolehkan syarikat-syarikat membina ciri-ciri seperti sistem log masuk, pembayaran melalui bil dan juga notifikasi SMS menggunakan akaun pra dan pascabayar telko-telko dibawah naungan Axiata.

Bagi mereka yang risau mengenai keselamatan data pelanggan-pelanggan Axiata, pihak Axiata Digital menyatakan bahawa API MIFE ini dibina untuk digunakan sebagai antaramuka pengantara dan tidak membenarkan syarikat-syarikat ini akses kepada pangkalan data pengguna Axiata.

Untuk menunjukkan keberkesanan API MIFE ini, Axiata Digital, bersama-sama dengan MDEC dan WORQ telah mengadakan sebuah pertandingan Axiata Digital Challenge dimana syarikat-syarikat startup bertanding untuk melihat siapa yang mampu menggunakan API MIFE ini secara kreatif dan menonjolkan potensi penuhnya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd