Kad grafik AMD RX Vega merupakan salah sebuah kad grafik yang tidak banyak hadir dengan penyejuk khusus, kerana penggunaan kuasa yang tinggi yang tidak mudah disejukkan.
Sapphire, sebuah syarikat yang membina kad grafik AMD secara khusus kini telahpun menunjukkan kad grafik RX Vega mereka sendiri, iaitu Sapphire RX Vega 64 Nitro, dan ini sebuah kad grafik yang cukup besar sekali.
Dari segi luaran, nampaknya ia hadir dengan cangkerang yang melitupi sebahagian besar kad grafik ini, dan ia hadir dengan tiga buah kipas, dua daripadanya bersaiz 95mm, manakala kipas di bahagian tengah pula bersaiz 84mm.
Untuk menggerakkan kad grafik ini, anda memerlukan tiga palam kuasa 8-pin PCIe, manakala dari segi I/O pula, ia hadir dengan dua port HDMI dan dua port DisplayPort. Menariknya, kad grafik ini hadir dengan ketebalan tiga expansion bay, dan dua daripadanya hadir untuk merumahkan keempat-empat port tersebut, manakala tingkat yang satu lagi digunakan untuk mengalirkan haba daripada kad grafik tersebut.
Menurut laporan TechPowerUp, spesifikasi kad grafik ini masih belum dirasmikan, dan kad yang ditunjukkan hanyalah sebuah kad ujian yang hadir dengan spesifikasi asas kad grafik AMD RX Vega 64 tersebut.
Dengan desas-desus yang mengatakan bahawa stok kad grafik AMD RX Vega ini masih lagi begitu sedikit di pasaran dunia, syarikat Sapphire juga tidak ingin memberikan sebarang kenyataan bilakah kad grafik Sapphire RX Vega 64 Nitro ini akan hadir di pasaran.