Lenovo Melancarkan Yoga 920 Star Wars Special Edition Di Malaysia – Berharga RM8888

Lenovo Melancarkan Yoga 920 Star Wars Special Edition Di Malaysia – Berharga RM8888

Diterbitkan pada November 16, 2017 oleh .

Lenovo pada acara IFA 2017 yang lalu telah memperkenalkan Yoga 920, iaitu peranti 2-dalam-1 dengan peningkatkan spesifikasi yang lebih terkini bersama rekaan yang lebih menarik. Kini, mereka telah mengumumkan peranti ini untuk pasaran tempatan, yang mana turut boleh didapati dalam edisi Star Wars Special Edition bagi model Yoga 920.

Edisi ini telah membawakan binaan kaca yang menarik, dengan rekaan bertemakan Star Wars pada bahagian belakang skrin peranti ini. Sebagai sokongan ketahanan, ia dilengkapi dengan kaca Corning Gorilla Glass bagi mengurangkan kesan calar dan retakan.

Lenovo Yoga 920 dilihat memfokuskan kepada penggunaan produktivi premium, dengan menampilkan skrin IPS 13.9-inci UHD, cip Intel Core i7-8550U, memori 16GB RAM DDR4, dan storan dalaman 512GB PCIe SSD. Ia juga turut membawakan jangka hayat bateri sehingga 15.5 jam, yang mana agak lama jika dibandingkan dengan kebanyakan komputer riba pada hari ini.

Peranti ini turut membawakan Lenovo Active Pen 2 bagi membolehkan sokongan input penulisan dan lakaran melalui stylus. Ia juga dilengkapi dengan sokongan mikrofon yang mampu mengesan input suara pada jarak sehingga 4 meter, bagi memudahkan pengguna melakukan panggilan video dengan audio yang lebih jelas.

Di Malaysia, ia bakal ditawarkan sekitar Disember ini pada harga RM8888 yang mana boleh didapati melalui dua pilihan warna dan logo, menerusi Rebel Alliance (Putih) dan Galactic Empire (Hitam).

Layari: Lenovo Store di Lazada


TIPS & ULASAN