Carian
Vivo V7 Dilancarkan – Kamera Selfie 24-Megapixel Dan Skrin Nirbingkai
November 16, 2017 Effi Saharudin

Vivo V7+ dilancarkan di Malaysia pada September yang lalu. Usai pelancaran papan iklan mula muncul memaparkan Vivo V7+ dan V7. Aneh sekali tiada maklumat dikongsi mengenai V7. Ia akhirnya dilancarkan di Indonesia hari ini dengan skrin yang lebih kecil tetapi mengekalkan kamera selfie 24-Megapixel.

Dari segi spesifikasi ia dilengkapi skrin 5.7-inci IPS LCD HD+, pemproses Snapdragon 450, memori 4GB RAM dan storan 32GB. Paparan FullView yang membawakan bingkai tepi yang nipis, memberikan lebih kawasan pandangan terhadap skrin. Ia mempunyai nisbah paparan 18:9 sama seperti yang ditemui pada Vivo V7+, Oppo R11s dan Oppo F5.

Kamera utama sebesar 16-Megapixel f/2.0 manakala kamera hadapan pula sebesar 24-Megapixel f/2.0 dengan sokongan flash selfie lembut. Ini menjadikannya peranti dengan kamera selfie terbesar pernah dilancarkan setakat ini. Kamera yang besar ini turut menyokong sistem nyahkunci imbasan wajah Face Access.

Fungsi lain yang disertakan ialah pengimbas cap jari dan cip audio khas untuk menikmati audio berdefinisi tinggi. Sistem operasi Android 7.1.1 digunakan dengan pelancar Funtouch OS 3.2. Bateri sebesar 3000 mAh disertakan tanpa sokongan pengecasan pantas. Di Indonesia ia dijual pada harga RP 3,799,000 (~RM 1172).

Pihak Vivo telah mengesahkan V7 akan dilancarkan di Malaysia pada 22 November ini.

Komen