OnePlus hari ini telah memperkenalkan kemaskini kepada peranti OnePlus 5 sebelum ini, iaitu OnePlus 5T. Ia masih mengekalkan spesifikasi tinggi dengan memori sehingga 8GB RAM, dan menjadi salah satu fokus utama pada peranti ini adalah sokongan skrin yang kini membawakan rekaan nirbingkai.
OnePlus 5T membawakan skrin bersaiz 6-inci dengan panel AMOLED serta nisbah skrin 18:9, dijana menggunakan cip Snapdragon 835, dan memori sehingga 8GB RAM.
Melengkapkan telefon pintar ini adalah sokongan kamera belakang yang mengabungkan dwi-kamera 16MP dan 20MP. OnePlus mengatakan OnePlus 5T menawarkan ciri rakaman pada keadaan cahaya malap yang lebih baik berbanding sebelum ini.
Sedikit mengecewakan kerana ia masih hadir dengan Android 7.1 Nougat, tetapi OnePlus menjanjikan OnePlus 5T akan dikemaskini dengan Android Oreo tidak lama lagi. Ia masih mengekalkan ciri-ciri antaramuka asli Android, tetapi turut menyertakan sokongan seperti menjalankan dua akaun WhatsApp mengunakannya.
OnePlus 5T juga turut menyertakan ciri pengimbas wajah menggunakan kamera hadapan untuk nyah-kunci peranti. Disamping itu, pengimbas cap jari kini disertakan dibelakang, serta sokongan bicu audio 3.5mm yang masih tidak dibuang.
OnePlus 5T menggunakan bateri berkapasiti 3300mAh dengan sokongan pengecasan pantas Dash Charge.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah OnePlus akan melancarkan telefon pintar ini secara rasminya untuk pasaran tempatan.