Carian
Tesla Melancarkan Lori Elektrik Dengan Jarak Operasi 500 Batu Dengan Sekali Cas
November 17, 2017 Effi Saharudin

Evolusi elektrik terus berkembang dan hari ini Tesla akhirnya melancarkan lori elektrik pertama mereka. Seperti kereta mereka sebelum ini, Tesla Semi turut hadir dengan kemampuan swapandu serta motor elektrik yang dijamin beroperasi sejauh 1 juta batu tanpa sebarang masalah.

 Komponen menghasilkan Tesla Semi banyak dipinjam dari Model 3. Dua skrin sesentuh di dalam kokpit, motor elektrik, sistem kamera dan kemasan pintu berkongsi dengan Model 3. Lori ini meletakkan pemandu di tengah-tengah kokpit tanpa ruang untuk kelindan. Dengan adanya sistem swapandu, keperluan untuk kelindan untuk menggantikan pemandu apabila kepenatan tidak lagi wujud.

Rekaan luaran Semi menurut Tesla lebih aerodinamik berbanding sebuah Bugatti Chiron. Tiada cermin sisi digunakan sebaliknya dua kamera pada tepi kabin akan memaparkan pandangan sisi pada dua skrin sesentuh yang disertakan pada konsol pemandu. Cermin yang memberikan pandangan 180 darjah Tesla Armor Glass yang digunakan pula tahan hentakan. Malah ia dijamin oleh Tesla sekiranya pecah dengan gantian percuma.

Seperkara lagi yang menarik mengenai lori ini ialah ia boleh mencatatkan masa 0-60 batu sejam dalam masa 5 saat. Apabila menarik beban maksimum pula, ia dilakukan dalam masa 20 saat. Dengan sekali cas ia boleh beroperasi sejauh 500 batu. Pengecasan selama 30 minit boleh membekalkan kuasa untuk perjalanan sehingga 400 batu.

Pra-tempahan boleh dilakukan dengan bayaran $5000 (RM ~21000) dengan produksi dijangka bermula pada tahun 2019. Sekali lagi Tesla cuba mengubah landskap automotif. Di masa hadapan pencemaran dari lori yang amat sinonim sekarang akan menjadi masalah lampau dunia yang semakin hijau.

Komen