Cari @ Amanz

Tetikus gaming semakin meningkat harganya saban tahun. Jika dahulu anda boleh membeli sebuah tetikus dengan pelbagai butang untuk lebih kurang RM200, kini harga untuk tetikus-tetikus ini sudahpun melonjak beberapa kali ganda.

Cooler Master Malaysia baru sahaja mengumumkan kehadiran dua buah tetikus gaming terbaru mereka, iaitu MasterMouse MM530 dan juga MM520 untuk pasaran tempatan pada harga yang cukup menarik sekali.

Kedua-dua tetikus ini hadir dengan rekaan yang sedikit berbeza diantara satu sama lain. Tetikus MM530 ini hadir dengan rekaan yang sesuai untuk mereka yang gemar memegang tetikus mereka dengan cara genggaman, manakala tetikus MM520 pula untuk mereka yang biasa mencengkam tetikus mereka.

Kedua-dua tetikus ini hadir dengan cangkerang yang diperbuat daripada gabungan plastik dan juga getah yang memastikan bahawa tetikus-tetikus ini bukan sahaja selesa digunakan, tetapi juga tahan lasak.

Dari segi sensor, tetikus-tetikus MasterMouse ini menggunakan sensor Pixart PMW-3360 dan hadir dengan nilai DPI dari 100 hingga ke 12,000 yang boleh diubahsuai dengan dua butang diatas tetikus tersebut.

Sistem pencahayaan RGB juga terbina didalam tetikus ini, dan anda boleh mengubahsuai warna dan juga nilai DPI melalui sebuah perisian yang hadir bersama-sama dengan tetikus-tetikus ini.

Menurut pihak Cooler Master Malaysia, tetikus-tetikus MM530 dan MM520 ini sudahpun hadir di pasaran Malaysia pada harga RM169.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd