Cari @ Amanz

Nampaknya semakin banyak kad grafik khusus berasaskan AMD RX Vega mula diperlihatkan oleh pembuat-pembuat kad grafik seperti ASUS, Sapphire dan sebagainya.

Kini, PowerColor juga telah menunjukkan gambar acah untuk kad grafik terbaru mereka yang berasaskan kad grafik AMD RX Vega, iaitu PowerColor RX Vega Red Devil. Spesifikasi khusus kad grafik ini masih belum diumumkan, tetapi terdapat beberapa butiran mengenai rekaan fizikal kad grafik ini yang telahpun tertiris.

Kad RX Vega Red Devil ini hadir dengan ketinggian sebanyak tiga slot pengembangan, dan ini kerana kad grafik ini menggunakan sirip penyejuk aluminum setebal 2.5 slot, dan juga tiga buah kipas bersaiz 100mm yang cukup besar sekali.

Dari segi I/O, kad grafik ini mempunyai dua port HDMI dan juga dua port DisplayPort, dan ini berbeza dengan konfigurasi sebelum ini, dimana kad grafik RX Vega ini biasanya hadir dengan tiga port DisplayPort dan sebuah port HDMI.

Dari segi penggunaan PCB, nampaknya PowerColor menggunakan papan yang sedikit berbeza dari rekaan asas, kerana bahagian hadapan kad ini sedikit lebih tinggi untuk memberikan akses yang lebih mudah kepada suis BIOS untuk pengguna.

Tarikh pengeluaran dan tanda harga kad grafik ini masih belum diumumkan lagi oleh pihak PowerColor, tetapi mereka mensasarkan penjualan kad ini menjelang musim cuti hujung tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd