Cari @ Amanz

Semenjak Intel melancarkan CPU generasi kelapan mereka, Intel Coffee Lake, mereka menghadapi masalah kekurangan bekalan CPU tersebut di serata dunia. Malah, di Malaysia, CPU yang dijual disini hanya terdiri daripada empat model, manakala dari segi papan induk pula, hanya papan induk Intel Z370 yang terjual, dan papan-papan induk siri lain hanya akan mula dijual pada tahun hadapan.

TechPowerUp baru-baru ini melaporkan bahawa syarikat tersebut kini ingin meningkatkan pengeluaran cip pemprosesan Coffee Lake ini dengan membuka sebuah kilang membina CPU baru di Chengdu, China.

Pembukaan kilang ini dikatakan adalah untuk membantu kilang pembuatan dan pengujian Intel di Pulau Pinang, Malaysia dan akan menggunakan program Copy Exactly! oleh Intel, dimana kelengkapan dan prosedur di kilang-kilang baru haruslah sama dengan kilang-kilang yang telahpun ditauliahkan sebelum ini untuk mengekalkan kualiti produk-produk Intel.

Intel menyasarkan kilang Chengdu ini akan beroperasi pada 15 Disember kelak, dan akan mula mengeluarkan CPU Intel Coffee Lake tidak lama kemudian.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd