Cari @ Amanz

Penjanaan tenaga elektrik dari sumber lestari akan mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil. Di negara seperti Belanda, kuasa angin telah digunakan secara sepenuhnya untuk menjana sumber elektrik bagi menjalankan sistem kereta api. Malaysia juga sedang cuba untuk meningkatkan penggunaan sumber elektrik lestari dengan kerajaan bercadang mengurangkan harga jualan panel solar.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerajaan akan bertemu pengeluar dan penjual panel solar di negara ini untuk dijual pada kadar lebih berpatutan. Pada masa yang sama pelbagai dasar, merangkumi insentif dan kempen telah dilancarkan bagi menggalakkan penggunaan tenaga solar di Malaysia. Antara sebab mengapa kadar penggunaannya adalah rendah kerana harga jualan yang masih di luar mampu milik.

Kerajaan juga dalam usaha meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik. Buat masa ini terdapat halangan dari segi perlesenan yang diperlukan oleh Kementerian Pengangkutan serta SIRIM sebelum kenderaan boleh digunakan di atas jalan raya.

Sebagai rakyat yang cakna tentang pencemaran akibat bahan api fosil, usaha kerajaan ini adalah baik untuk jangka masa panjang. Sebagai negara yang menerima pancaran matahari yang terik hampir sepanjang tahun, penjanaan elektrik menggunakan tenaga solar adalah antara pilihan terbaik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd