Cari @ Amanz

Kami yakin ramai pembaca Amanz pernah melihat gambar yang diambil menggunakan filem Polaroid. Ia mudah dikenali kerana mempunyai bingkai berwarna putih. Rekaan bingkai ini amat ikonik sehingga ia boleh ditemui pada banyak aplikasi gambar pada peranti pintar. Syarikat Polaroid berhenti menghasilkan filem segera ini pada tahun 2008 apabila diisytiharkan muflis.

Ruang kosong yang ditinggalkan diisi oleh filem Instax Fujifilm dan The Impossible Project. Fujifilm kini telah disaman oleh PLR IP, syarikat yang kini memegang hak menggunakan jenama Polaroid kerana rekaan filem segera Instax didakwa melanggar harta intelek Polaroid. Kedua-dua format mengambil gambar segi empat sama dengan bingkai berwarna putih. Perbezaan terletak pada bingkai Instax yang lebih tebal berbanding Polaroid.

Polaroid meminta bayaran royalti dan yuran lesen tahunan dari Fujifilm untuk menggunakan rekaan filem. Sekiranya tidak bersetuju, Polaroid akan bertindak mengharamkan penjualan filem Instax. Fujifilm bercadang menentang tindak Polaroid dengan mengatakan rekaan filem mereka tidak melanggar harta intelek dan paten yang dimiliki Polaroid dibatalkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd