Cari @ Amanz

Terdapat banyak cara untuk anda membeli-belah diatas talian dan salah satunya adalah menerusi Shopee. Berbeza dengan jenama lain, platform Shopee dibina dengan memfokuskan ‘mobile-first’, memudahkan pengguna bukan sekadar membeli, malah menjual barangan mereka.

Bagi anda yang tidak mengenali Shopee, ia merupakan anak syarikat dari Garena, atau dengan nama barunya SEA sejak disenaraikan di bursa saham NYSE. Garena juga menerima pelaburan dari Khazanah Nasional, yang memungkinkan pelbagai kerjasama dengan jenama besar tempatan.

November ini mereka telahpun bertapak di pasaran tempatan selama dua tahun, dan telah mencapai pertumbuhan yang pesat disamping menjadi antara pilihan popular bagi pengguna untuk membeli barangan secara atas talian. Malah dengan kerjasama Pos Malaysia, mereka telah menyediakan pengeposan percuma sejak 18 bulan yang lalu.

Dalam berkongsi mengenai pertumbuhan mereka, Shopee Malaysia turut menyatakan aplikasi mereka telah dimuat-turun melebihi 5 juta. Malah lebih dari 200,000 jenama terkemuka hadir menerusi platform mereka antaranya Lovely Lace, Pureen, dan Shojikiya.

Pada beberapa bulan lalu mereka turut melancarkan Shopee Mall iaitu gedung khusus yang menawarkan produk terus dari jenama dan lebih dari 300 jenama hadir pada Shopee Mall.

Selain dari fokus dalam perniagaan, Shopee turut mengadakan aktiviti Shopee University bagi memupuk pertumbuhan arena e-dagang. Menerusi inisiatif ini, Shopee mengadakan jerayawara ke 10 negeri bagi mendidik asas jual beli atas talian. Program ini berjaya menarik minat lebih dari 4,000 peserta.

Dalam meraikan ulangtahun kedua Shopee Malaysia, mereka bakal mengadakan promosi khusus bermula 1 Disember sehingga 12 Disember. Antaranya termasuklah promosi spesifik dari jenama seperti Mydin, Digi, Petronas, baucar promosi dan pertandingan menarik yang menawarkan hadiah seperti percutian ke Honolulu dan juga telefon pintar iPhone X.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd