Data 57 Juta Pengguna Uber Telah Dicuri

Data 57 Juta Pengguna Uber Telah Dicuri

Diterbitkan pada November 22, 2017 oleh .

Kecurian data ialah isu yang amat hangat di negara kita sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Sebanyak 46.2 juta maklumat peribadi pengguna syarikat telekomunikasi yang sensitif adalah antara yang berjaya dicuri. Jumlah ini masih lagi kecil jika dibandingkan dengan 57 juta maklumat pengguna Uber yang didedahkan hari ini berjaya dicuri oleh kumpulan penggodam.

Kecurian berlaku pada bulan Oktober 2016 melibatkan nama, nombor telefon dan alamat emel 57 juta pengguna Uber seluruh dunia. Pada waktu yang sama 7 juta maklumat pemandu turut berjaya dicuri. Walaubagaimanapun maklumat lain seperti kad kredit dan log perjalanan pengguna dikatakan masih lagi selamat.

Uber kemudian membayar wang tebusan $100,000 (~RM 412,000) kepada penggodam bagi mengelakkan maklumat ini tersebar. Mereka tidak memaklumkan kecurian data ini kepada pihak berkuasa. Kewujudan insiden ini hanya diketahui selepas audit dilakukan oleh firma luar atas arahan lembaga pengarah.

Akibat dari penemuan ini, Uber telah memecat Ketua Pegawai Keselamatan dan timbalannya atas kegagalan mereka mendedahkan kecurian data serta tindakan membayar wang tebusan kepada penggodam.

CEO baru Uber Dara Khosrowshahi mengakui perkara ini tidak seharusnya berlaku dan tiada alasan boleh diberikan atas kelalaian syarikat. Beliau turut berjanji akan melakukan perubahan ke atas Uber bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.


TIPS & ULASAN