Acer Predator Orion 9000 Bakal Memasuki Pasaran Malaysia – Intel Core i9 Dan Dua GTX 1080 Ti Untuk RM28,888

Acer Predator Orion 9000 Bakal Memasuki Pasaran Malaysia – Intel Core i9 Dan Dua GTX 1080 Ti Untuk RM28,888

Diterbitkan pada November 22, 2017 oleh .

Selain daripada pelancaran laptop Acer Predator Triton 700, Acer Malaysia membuat sebuah pengumuman mengejut dengan mengumumkan kehadiran komputer berkuasa mutlak Acer Predator Orion 9000 untuk pasaran Malaysia.

Komputer Orion 9000 ini hadir dengan spesifikasi yang cukup menarik sekali. Ia hadir dalam dua konfigurasi CPU Intel generasi ke-7, termasuklah Intel Core i7 dan juga Intel Core i9 Extreme Edition, memori DDR4 sehingga 32GB, storan SSD NVMe sehingga 512GB dan cakera keras sebesar 3TB.

Dari segi pilihan kad grafik pula, pengguna mempunyai pilihan untuk memilih konfigurasi dengan dua kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1080 Ti ataupun dua kad grafik AMD Radeon RX Vega untuk memenuhi keperluan kerja dan gaming anda.

Ia juga hadir dengan beberapa ciri-ciri yang menarik seperti tool-less operation untuk memudahkan anda menaiktaraf komponen komputer anda, Ice Tunnel 2.0 untuk menyejukkan komponen-komponen utama seperti CPU dan GPU dengan lebih berkesan, dan juga pemegang dan roda untuk memudahkan anda membawa PC ini kemana-mana apabila anda hadir ke acara-acara seperti LAN Party dan sebagainya.

Acer Predator Orion 9000 ini akan hadir di pasaran Malaysia pada bulan Disember kelak, bermula pada tanda harga 12,999 untuk model dengan konfigurasi Intel Core i7, manakala model dengan CPU Intel Core i9 pula akan dijual pada harga RM28.888.


TIPS & ULASAN