Cari @ Amanz

Nirbingkai, OLED, tiada lagi Touch ID, sistem imbasan wajah Face ID dan akhirnya sokongan pengecasan tanpa wayar. Ini ialah lima fungsi baru yang diperkenalkan pada peranti iPhone buat pertama kalinya sejak ia dilancarkan sedekad yang lalu.

Pelancaran iPhone asal telah mengubah landskap peranti mudah alih. Peranti berubah dari mengandungi kekunci fizikal kepada antaramuka sesentuh sepenuhnya. Setelah sedekad muncul, “wajah” iPhone akhirnya berubah dengan cukup drastik. Butang home fizikal yang membuatkan iPhone amat mudah dikenali dan kerap kali ditiru tidak lagi wujud. Ia digantikan dengan takuk pada bahagian atas skrin.

Adakah perubahan-perubahan yang dilakukan oleh Apple ini akan bakal meneruskan sedekad lagi dominasi di dalam dunia pintar atau hanya percaturan akhir untuk kekal relevan? Ini ialah pandangan pertama kami untuk Apple iPhone X.

Spesifikasi

Apple iPhone X
Skrin 5.8″ OLED Super Retina HDR (458 PPI)
Pemproses Apple A11 Bionic
Cip Grafik Apple M11
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 64/256 Gigabyte
Kamera Utama 12+12 Megapixel, f/1.8+f/2.4, OIS, Zoom Optikal
Kamera Depan 7 Megapixel, f/2.2
Bateri 2716 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni SIM nano
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Sistem Imbasan Wajah (Face ID)
Kalis Air IP 67
Harga Jualan RM 5149

Perkara yang paling mendominasi rekaan iPhone X ialah skrin OLED dengan takuk yang prominen pada bahagian dahi. Skrin 5.8″ OLED ini menyokong resolusi Super Retina dengan sokongan HDR. Seperti pada iPhone 8, skrin ini menyokong sistem kawalan warna True Tone Display yang menurut Apple memastikan paparan warna yang tepat pada skrin sepanjang masa.

Apabila diletakkan bersebelahan sebuah iPhone 8, warna pada iPhone X jelas lebih bermaya dan hidup. Ini ialah antara kelebihan skrin OLED yang kerap menerima pujian selepas ia mula digunakan oleh Nokia N85 sembilan tahun yang lalu. Ini adalah skrin yang bukan sahaja paling terang di pasaran malah dinobatkan sebagai yang terbaik untuk tahun 2017 oleh DisplayMate baru-baru ini.

Skrin Ini memang cantik tetapi secara peribadi paparan warnanya kurang menyerlah jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy Note 8. Ini besar kemungkinan kerana kami sudah terbiasa dengan kadar saturasi warna Samsung yang lebih terang. Bagi mereka yang lebih menggemari paparan yang kelihatan lebih semula jadi, skrin iPhone X adalah untuk anda.

Skrin OLED ini dipadankan dengan pemproses Apple A11 Bionic yang merupakan pemproses paling berkuasa untuk peranti mudah alih setakat ini. Memori yang disertakan pula ialah sebesar 3 GB dan pilihan storan 64/256 GB. Masih tiada sokongan untuk penambahan storan menggunakan kad mikroSD.

Dua sensor 12-Megapixel dengan satu lensa f/1.7 untuk rakaman biasa manakala sebuah lagi dengan lensa f/2.4 untuk zoom optikal 2X. Kedua-dua lensa ini dilengkapi sistem OIS bagi memastikan gambar yang diambil terpampas dari gegaran. Susunan lensa kini adalah menegak. Berbeza berbanding susunan mendatar yang ditemui pada iPhone 7 Plus dan 8 Plus sebelum ini. Dari apa yang kami lihat, susunan baru ini digunakan kerana tiada ruang mencukupi untuk susunan mendatar.

Pada bahagian hadapan kamera selfie 7-Megapixel f/2.2 digunakan. Kerana penggunaan sistem yang baru, kamera hadapan kini boleh mengambil gambar di dalam mod potret seperti pada kamera utama. Tetapi fungsi paling menarik perhatian untuk kamera hadapan ini ialah Animoji yang membolehkan pengguna menghasilkan animoji beranimasi mengikut wajah sendiri.

Tiada pengimbas cap jari Touch ID pada peranti ini. Sebaliknya sistem baru imbasan wajah Face ID digunakan untuk julung kalinya. Wajah pengguna diiimbas menggunakan puluhan ribu pemancar infra merah bagi mendapatkan peta tiga dimensi. Apple mendakwa Face ID adalah jauh lebih selamat berbanding Touch ID dan akan digunakan secara lebih meluas pada produk keluaran mereka. Modul imbasan wajah ini adalah penyebab mengapa terdapat takuk yang besar pada bahagian atas skrin.

Bateri yang hanya sebesar 2716 mAh digunakan. Unik sekali ia disusun dalam bentuk L di dalam kerangka peranti. Seperti lensa dwi-kamera, susunan tidak konvensional ini dipilih kerana kesempitan ruang di dalam kerangka. Walaupun mempunyai saiz fizikal yang lebih kecil berbanding iPhone 8 Plus, bateri yang digunakan pada iPhone X adalah lebih besar ( 2716 vs 2691 mAh). Terdapat sokongan pengecasan pantas secara berwayar dan tanpa wayar buat pertama kali. Malang sekali untuk menikmati fungsi baru ini pengguna perlu membeli pengecas pantas secara berasingan.

Apple iPhone X ialah peranti paling canggih dan berkuasa dihasilkan oleh Apple tahun ini. Sungguhpun begitu dari segi saiz hanya sedikit lebih besar berbanding iPhone 8 dan lebih kecil berbanding iPhone 8 Plus. Harus diingatkan iPhone X adalah peranti yang mempunyai skrin terbesar diantara ketiga-tiga peranti yang disebutkan tadi.

Rekabentuk

Tiba untuk segmen yang mungkin akan mendatangkan kontroversi. Secara peribadi kami merasakan rekaan iPhone X ini adalah kurang menarik jika dibandingkan dengan iPhone 8 apatah lagi dengan peranti utama Android seperti Note 8.

Bingkai logam pada bahagian sisi peranti mempunyai elemen yang mengimbau semula rekaan pada iPhone asal. Kami tahu apa yang ingin dilakukan oleh Apple di sini. Mengembalikan rekaan klasik sempena ulang tahun yang ke-10 akan menggembirakan pengguna tegar iPhone asal.

Tetapi dari segi estetik, kemasan pusam dan kasar pada iPhone 8 Plus yang turut kami sempat gunakan adalah jauh lebih praktikal. Ia tidak mudah kotor dan paling utama sekali ia tidak licin. Hanya insan yang benar-benar berani dan berwang akan menggunakan iPhone X tanpa kerangka. Permukaan kaca mendominasi bahagian belakang dan hadapan peranti. Apabila digabungkan dengan sisi logam berkilat yang licin, ini ialah resipi untuk melakukan ujian jatuhan secara tidak sengaja.

Bercakap mengenai sisi, butang kuasa yang besar terletak pada sisi kanan. Butang yang lebih besar ini turut mempunyai fungsi sekunder sebagai butang mengawal Siri. Ia turut diperbuat daripada logam dan adalah amat selesa digunakan. Di bawahnya terdapat talam untuk satu SIM bersaiz nano. Pada sisi kiri pula terdapat dua butang kawalan suara dan butang menyahaktifkan bunyi peranti. Sekali lagi kesemuanya diperbuat daripada logam dan amat selesa digunakan. Kualiti butang pada peranti iPhone tahun demi tahun tidak pernah mengecewakan.

Sebuah port pengecasan Lightning diletakkan pada bahagian bawah bersebelahan salah satu dari dua pembesar suara stereo. Sebuah lagi pembesar suara adalah pada bahagian hadapan takuk skrin. Susunan pembesar suara stereo ini mungkin sedikit aneh tetapi kualiti bunyi yang dihasilkan adalah amat baik. Kami merasakan ia lebih terang dan kuat berbanding yang ditemui pada HTC U11. Tahap bunyi dari kedua-dua pembesar suara adalah sentiasa seimbang.

Harus disentuh tentang tiadanya bicu audio 3.5mm. Apple menyertakan sebuah penyesuai dan sepasang EarPods dengan setiap pembelian. Bagi yang lebih selesa dengan aksesori Bluetooth, iPhone X menyokongnya tanpa masalah.

Antaramuka

Sistem operasi iOS 11.1.2 digunakan dan ialah versi terkini yang menyelesaikan masalah skrin tidak berfungsi di dalam cuaca sejuk. Penggunaannya pada iPhone X adalah berbeza berbanding pada iPhone yang lain di pasaran kerana tiada lagi butang home fizikal.

Pada bahagian bawah skrin terdapat dok untuk empat aplikasi yang boleh dikustomasi oleh pengguna. Di bawah dok ini pula terdapat sebuah garisan mendatar yang agak panjang. Ini penanda ruang kawalan berasaskan gesture yang digunakan pada peranti ini. Untuk kembali ke Home, jari perlu menatal dari garis ini ke atas. Untuk melakukan multi-tugas pula, pengguna menatal ke atas dari garis yang sama dan berhenti seketika pada pertengahan skrin. Skrin multi-tugas kini akan dipaparkan pada skrin.

Untuk menutup aplikasi, tekan skrin selama sesaat dan ikon merah akan muncul pada thumbnail aplikasi yang terbuka. Untuk menutup tatal thumbnail ke atas. Kami yakin ada pembaca yang mungkin merasakan ini adalah agak sulit tetapi ikhlas kami katakan selepas dua jam menggunakan iPhone X aksi ini akan dapat dilakukan dengan cukup mudah.

Garis pada bahagian bawah skrin ini turut mempunyai sebuah lagi gesture yang menarik. Tatalan ke arah sisi kiri atau kanan akan mengubah aplikasi yang sedang digunakan berdasarkan susunan kali terakhir ia digunakan. Ia mengingatkan kami kepada sistem penukaran aplikasi berasaskan lima jari pada sebuah iPad. Ia pada hemat kami adalah sistem pertukaran aplikasi yang terpantas untuk peranti mudah alih.

Seperkara lagi untuk melancarkan Control Center, pengguna menatal dari bucu kanan atas ke bawah. Menatal dari bucu bertentangan pula akan memaparkan skrin notifikasi. Bagi yang tidak dapat menyentuh bucu-bucu ini, fungsi Accessibility disertakan dan tatalan boleh dilakukan dari tengah skrin.

Kami menulis tiga perenggan di atas dari pandangan seorang pengguna tegar platform Android. Sebenarnya ketika menerima iPhone X untuk diulas, kami sudah bersedia untuk mengeluarkan kenyataan negatif tetapi realitinya pembaca sekalian, sistem berasaskan gesture yang digunakan ini amat intuitif. Kini kami berharap ia akan ditiru oleh Android di masa hadapan.

Tetapi ada sedikit penafian di sini. Kami mempunyai telapak tangan yang besar. Saiz iPhone X bagi kami adalah kecil dan kesemua permukaan skrin dapat kami akses dengan mudah. Setelah lebih setahun menggunakan peranti dengan skrin besar (bermula dengan Xiaomi Mi Mix dan kemudian Note 8 ), jari kami sudah tidak mempunyai masalah memegang peranti nirbingai. Ini berkemungkinan besar membuatkan kami dengan pantas membiasakan diri dengan rekaan baru antaramuka iOS ini.

Pengalaman anda menggunakan iPhone X mungkin akan berbeza bergantung kepada saiz tapak tangan, panjang jari dan pengalaman menggunakan peranti nirbingkai sebelum ini.

Face ID

Sebuah ruangan khas perlu kami sertakan untuk Face ID kerana adalah antara topik yang terhangat diperkatakan di atas talian. Dari segi kemudahan penggunaan, Face ID mungkin sistem imbasan wajah/anak mata adalah yang terpantas pernah kami gunakan. Terpantas dari segi bagaimana wajah diimbas dan proses menyahkunci dilakukan.

Memasukkan imbasan wajah dan kepala pertama kali adalah secara harfiah semudah memutarkan leher. Proses mengambil masa di bawah dua minit. Masukkan kepala ke dalam ruang bulat yang tepapar pada skrin dan gerakkan kepala. Ia semudah itu. Ini adalah lebih pantas dan mudah berbanding proses merekodkan cap jari (yang kami yakin anda semua pernah gunakan) dan anak mata (seperti yang digunakan pada peranti Samsung).

Menyahkunci pantas kerana dalam 90% situasi, kami hanya perlu menatal skrin ke atas dari skrin terkunci. Kami tidak pernah menyedari Face ID mengimbas wajah kerana ia setakat ini (selepas 24 jam penggunaan) tidak pernah gagal.

Sebuah lagi penafian di sini. Kami tidak pernah mengunci peranti-peranti Android yang kami miliki. Sudah kebiasaan sejak enam tahun menggunakan peranti pintar kami mengeluarkan peranti dari kocek dan tatal skrin ke atas untuk menggunakan peranti. Oleh itu keperluan menatal dari skrin yang terkunci bukan masalah besar dari sudut pandangan kami. 

Tetapi sidang redaksi Amanz ramai yang menggunakan iPhone dengan Touch ID. Keperluan menatal pasca imbasan Face ID bagi golongan ini adalah sesuatu yang memperlahankan proses menggunakan peranti.

Fungsi paling berguna Face ID setakat ini bagi kami ialah bukanlah Animoji. Sebaliknya ialah sistem privasi pada paparan notifkasi. Notifikasi pada skrin terkunci tidak boleh dibaca melainkan selepas peranti mengesan wajah pengguna. Terasa agak magis apabila notifkasi pada skrin secara tiba-tiba terbuka dan kami dapat membacanya. Selain sistem multi-tugas berasaskan gesture yang kami sebutkan tadi, ini sebuah lagi fungsi yang harus ditiru Android.

Tetapi adalah sistem ini sempurna dan lebih baik berbanding Touch ID? Ini bergantung kepada individu. Hanya satu wajah dapat disimpan oleh Face ID pada satu-satu masa. Ini bermakna bagi mereka yang berkongsi akses peranti dengan isteri (seperti saya) akan menyukarkan proses nyahkunci peranti. Kami sudah bertahun menyimpan cap jari diri sendiri dan isteri pada peranti. Bagi mereka yang gemar berahsia, Face ID ialah sistem paling selamat untuk anda terus berahsia.

Animoji memang menarik perhatian kami pada awalnya tetapi selepas sejam ia hanyalah mainan untuk anak-anak belum mumayyiz. Gimik jualan yang bijak oleh Apple tetapi untuk jangka masa panjang ia mungkin akan tidak digunakan dengan kerap sama seperti Live Photo dan 3D Touch.

Kesimpulan

Apple iPhone X ialah evolusi seterusnya bagi kelangsungan generasi iPhone seterusnya. Selepas tiga generasi mengitar semula rekaan iPhone 6, rekaan yang lebih segar ini membuatkan iPhone kembali menjadi bualan ramai. Berdasarkan sambutan ke atas iPhone 8 yang muram secara global, jelas sekali iPhone X ialah peranti yang paling ingin dimiliki oleh majoriti peminat Apple.

Adakah ia peranti terbaik tahun ini? Masih terlalu awal untuk mengatakannya kerana kami baru sehari bersama tetapi ia mempunyai kesemua resipi untuk berjaya.Rekaan baru yang berlainan dari model tahun lalu, skrin nirbingkai HDR, sistem imbasan wajah yang mudah digunakan dan sokongan pengecasan pantas adalah fungsi baru yang akan menarik pengguna untuk berubah ke iOS. Kami sendiri harus mengakui sudah tergoda dengan iPhone X kerana penawaran fungsi barunya yang unik.

Dengan harga jualan bermula dari RM 5149, ia adalah peranti yang tidak mampu milik. Tetapi bagi mereka yang mampu pula, halangan bukanlah wang di bank tetapi mencari peranti untuk dibeli kerana jumlah stock yang terhad.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd