Cari @ Amanz

Ragnarok Online merupakan antara permainan terpopular sekitar tahun 2002 dan pasti ramai antara kita yang kerap memainkannya setiap hari. Malah pihak Gravity sendiri aktif melakukan pemasaran di Malaysia, dengan mengadakan acara untuknya bagi meraikan pemain tempatan.

Selang 15 tahun, kini pihak Gravity dengan kerjasama pembangun Electronics Extreme kembali dengan permainan 2.5D ini di Malaysia. Electronics Extreme merupakan syarikat dari Thailand, dan mereka telah menjayakan Ragnarok Online dari tahun 2016. Syarikat ini bertanggungjawab untuk pemasaran di sekitar Asia Tenggara.

Ragnarok Online kali ini diberikan nama The Second Golden Days memandangkan pada generasi pertama permainan ini dibangunkan (The First Golden Days) pihak pembangun tidak menjangka sambutan permainan ini sangat menggalakkan.

Namun seiring perkembangan teknologi dan peningkatan usia pemain yang kini turut mempunyai kuasa membeli, mereka berhasrat untuk memulakan semula permainan ini, secara berperingkat dari negara ke negara.

Pihak Extreme turut menyatakan permainan Ragnarok Online ini adalah berkonsepkan ‘Free To Play’, dimana tiada sebarang penjualan senjata atau kelengkapan yang berspesifikasi tinggi bagi memudahkan pemain menaiktaraf watak mereka jadi permainan ini adil untuk semua, membolehkan setiap pemain ‘Free To Win’.

Di Malaysia, para pemain boleh memainkan Ragnarok Online ini melalui Beta Tertutup pada 27 November 2017 kelak, dan penawaran Beta Terbuka untuk semua pemain akan bermula 29 November 2017 kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd