Cari @ Amanz

Jika anda seorang pengendala dron, kami ada berita yang kurang baik untuk anda. Bermula 2018, nampaknya pihak DCA (Department of Civil Aviation) bakal mengetatkan undang-undang penerbangan dron di kawasan terbuka di Malaysia.

Menurut laporan The Star, pihak DCA sedang mengkaji pengenalan yuran pendaftaran dron RM800 sekali, dan pembaharuan permit setiap tahun untuk RM500. Buat masa ini, dikatakan bahawa dron dengan berat melebihi 20kg sahaja perlu didaftarkan dengan DCA.

Dalam pada itu, mereka juga menyatakan bahawa pengendali dron yang mempunyai permit ini hanya boleh menerbangkan dron mereka di kawasan-kawasan tertentu, seperti di halaman rumah pada ketinggian 50 meter, dan juga kawasan-kawasan terbuka, dimana ia tidak berada didalam lingkungan 7km dari lapangan terbang, istana mahupun menara telekomunikasi, pada ketinggian maksima 120m.

Pihak DCA juga menyatakan bahawa mereka akan memantau kesemua kawasan-kawasan lapangan terbang di Malaysia, dan tidak akan teragak-agak untuk menggunakan jammer berfrekuensi tinggi untuk menurunkan dron-dron yang dilihat berterbangan di kawasan tersebut.

Menurut DCA lagi, mereka yang disabitkan kesalahan melanggar dron di kawasan-kawasan yang dilarang boleh disaman sehingga RM100,000, dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan ataupun kedua-duanya sekali.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd