Cari @ Amanz

Elon Musk ialah Tony Stark di dunia sebenar cuma tanpa akses kepada baju zirah dan rakan-rakan yang merupakan adiwira. Beliau adalah individu yang nampaknya serius untuk mengurangkan pergantungan manusia terhadap bahan api fosil. Dua tahun yang lalu Tesla PowerWall dilancarkan yang merupakan powerbank untuk sebuah rumah.

PowerWall ini adalah projek yang kerdil jika dibandingkan dengan projek bateri Li-ion gergasi Tesla yang baru sahaja selesai di selatan Australia. Sistem Tesla Powerpack digunakan bagi membina bateri dengan kapasiti 100 MW. Tenaga elektrik yang disimpan ialah untuk penggunaan penduduk selatan Australia yang kerap mengalami gangguan elektrik.

Apabila terdapat permintaan elektrik yang tinggi, power bank gergasi ini akan membekalkan tenaga mengikut keperluan. Bateri ini dicas sepenuhnya dari stesen janakuasa kincir angin yang lestari. Paling menarik sekali mengenai projek bernilai $50 juta (~RM 206 juta) ini ialah ia disiapkan dalam tempoh kurang 100 hari. Elon Musk melakukan taruhan sekiranya projek gagal disiapkan dalam masa 100 hari, kos pembinaan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Tesla.

Sistem seperti ini kami rasakan boleh digunapakai di kawasan pedalaman Malaysia yang kami dengar masih bergantung kepada generator. Mungkin kita boleh mencabar Elon untuk membinanya di Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd