Tiap bulan puluhan ringgit kami habiskan membeli pasir untuk kucing peliharaan. Setiap hari pula kami perlu membersihkan tandas kucing selepas ia mengqada hajat. Bagi pemilik yang bosan membeli pasir dan membersihkan tandas kering kucing, mereka mungkin boleh mencuba Catolet.
Tandas untuk kucing ini berfungsi seperti tandas manusia siap dengan sistem pengepam air. Kucing akan meninggalkan najis di atas tali sawat yang berputar. Apabila ia mengesan kucing tidak lagi di atasnya, tali sawat berputar untuk membuang najis ke tempat simpanan di bahagian bawah. Najis kemudian akan dikisar dan dipam keluar menggunakan air. Sistem Catolet ini memerlukan ia sentiasa mempunyai sumber air dan perpaipan sendiri. Ia sedang mengumpul dana menerusi KickStarter dan boleh dipesan pada harga $299 (~RM 1234) sebuah.