Cari @ Amanz

Apakah peranti yang paling menjadi bualan ramai sepanjang 2017? Berdasarkan analisis laman Amanz, ia tidak lagi tidak bukan adalah Apple iPhone X. Peranti ini membawakan perubahan paling drastik pada rekaan iPhone sejak iPhone 5 yang mula menggunakan skrin 16:9. Pada waktu tersebut terdapat banyak reaksi negatif dari pengguna tegar iPhone. Tetapi lama kelamaan skrin 16:9 mula diterima ramai dan dianggap normal.

Reaksi pengguna terhadap iPhone X juga lebih kurang sama. Ramai yang kurang menggemari takuk Face ID pada bahagian hadapan skrin dan tiada lagi butang home fizikal. Sebagai pengguna tegar Android, ketiadaan butang home fizikal ini bukanlah sesuatu yang kami rasakan negatif kerana sudah alah bisa tegal biasa. Tetapi adalah perubahan yang dilalukan Apple ini percaturan bijak atau petanda awal kejatuhan empayar yang didirikan Steve Jobs? Ini ialah ulasan kami untuk iPhone X dari pandangan seorang pengguna tegar Android.

Spesifikasi

Apple iPhone X
Skrin 5.8″ OLED Super Retina HDR (458 PPI)
Pemproses Apple A11 Bionic
Cip Grafik Apple M11
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 64/256 Gigabyte
Kamera Utama 12+12 Megapixel, f/1.8+f/2.4, OIS, Zoom Optikal
Kamera Depan 7 Megapixel, f/2.2
Bateri 2716 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni SIM nano
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Sistem Imbasan Wajah (Face ID)
Kalis Air IP 67
Harga Jualan RM 5149

Perkara yang paling mendominasi rekaan iPhone X ialah skrin OLED dengan takuk yang prominen pada bahagian dahi. Skrin 5.8″ OLED ini menyokong resolusi Super Retina dengan sokongan HDR. Seperti pada iPhone 8, skrin ini menyokong sistem kawalan warna True Tone Display yang menurut Apple memastikan paparan warna yang tepat pada skrin sepanjang masa.

Apabila diletakkan bersebelahan sebuah iPhone 8, warna pada iPhone X jelas lebih bermaya dan hidup. Ini ialah antara kelebihan skrin OLED yang kerap menerima pujian selepas ia mula digunakan oleh Nokia N85 sembilan tahun yang lalu. Ini adalah skrin yang bukan sahaja paling terang di pasaran malah dinobatkan sebagai yang terbaik untuk tahun 2017 oleh DisplayMate baru-baru ini.

Skrin Ini memang cantik tetapi secara peribadi paparan warnanya kurang menyerlah jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy Note 8. Ini besar kemungkinan kerana kami sudah terbiasa dengan kadar saturasi warna Samsung yang lebih terang. Bagi mereka yang lebih menggemari paparan yang kelihatan lebih semula jadi, skrin iPhone X adalah untuk anda.

Skrin OLED ini dipadankan dengan pemproses Apple A11 Bionic yang merupakan pemproses paling berkuasa untuk peranti mudah alih setakat ini. Memori yang disertakan pula ialah sebesar 3 GB dan pilihan storan 64/256 GB. Masih tiada sokongan untuk penambahan storan menggunakan kad mikroSD.

Dua sensor 12-Megapixel dengan satu lensa f/1.7 untuk rakaman biasa manakala sebuah lagi dengan lensa f/2.4 untuk zoom optikal 2X. Kedua-dua lensa ini dilengkapi sistem OIS bagi memastikan gambar yang diambil terpampas dari gegaran. Susunan lensa kini adalah menegak. Berbeza berbanding susunan mendatar yang ditemui pada iPhone 7 Plus dan 8 Plus sebelum ini. Dari apa yang kami lihat, susunan baru ini digunakan kerana tiada ruang mencukupi untuk susunan mendatar.

Pada bahagian hadapan kamera selfie 7-Megapixel f/2.2 digunakan. Kerana penggunaan sistem yang baru, kamera hadapan kini boleh mengambil gambar di dalam mod potret seperti pada kamera utama. Tetapi fungsi paling menarik perhatian untuk kamera hadapan ini ialah Animoji yang membolehkan pengguna menghasilkan animoji beranimasi mengikut wajah sendiri.

Tiada pengimbas cap jari Touch ID pada peranti ini. Sebaliknya sistem baru imbasan wajah Face ID digunakan untuk julung kalinya. Wajah pengguna diiimbas menggunakan puluhan ribu pemancar infra merah bagi mendapatkan peta tiga dimensi. Apple mendakwa Face ID adalah jauh lebih selamat berbanding Touch ID dan akan digunakan secara lebih meluas pada produk keluaran mereka. Modul imbasan wajah ini adalah penyebab mengapa terdapat takuk yang besar pada bahagian atas skrin.

Bateri yang hanya sebesar 2716 mAh digunakan. Unik sekali ia disusun dalam bentuk L di dalam kerangka peranti. Seperti lensa dwi-kamera, susunan tidak konvensional ini dipilih kerana kesempitan ruang di dalam kerangka. Walaupun mempunyai saiz fizikal yang lebih kecil berbanding iPhone 8 Plus, bateri yang digunakan pada iPhone X adalah lebih besar ( 2716 vs 2691 mAh). Terdapat sokongan pengecasan pantas secara berwayar dan tanpa wayar buat pertama kali. Malang sekali untuk menikmati fungsi baru ini pengguna perlu membeli pengecas pantas secara berasingan.

Apple iPhone X ialah peranti paling canggih dan berkuasa dihasilkan oleh Apple tahun ini. Sungguhpun begitu dari segi saiz hanya sedikit lebih besar berbanding iPhone 8 dan lebih kecil berbanding iPhone 8 Plus. Harus diingatkan iPhone X adalah peranti yang mempunyai skrin terbesar diantara ketiga-tiga peranti yang disebutkan tadi.

Rekabentuk

Tiba untuk segmen yang mungkin akan mendatangkan kontroversi. Secara peribadi kami merasakan rekaan iPhone X ini adalah kurang menarik jika dibandingkan dengan iPhone 8 apatah lagi dengan peranti utama Android seperti Note 8.

Bingkai logam pada bahagian sisi peranti mempunyai elemen yang mengimbau semula rekaan pada iPhone asal. Kami tahu apa yang ingin dilakukan oleh Apple di sini. Mengembalikan rekaan klasik sempena ulang tahun yang ke-10 akan menggembirakan pengguna tegar iPhone asal.

Tetapi dari segi estetik, kemasan pusam dan kasar pada iPhone 8 Plus yang turut kami sempat gunakan adalah jauh lebih praktikal. Ia tidak mudah kotor dan paling utama sekali ia tidak licin. Hanya insan yang benar-benar berani dan berwang akan menggunakan iPhone X tanpa kerangka. Permukaan kaca mendominasi bahagian belakang dan hadapan peranti. Apabila digabungkan dengan sisi logam berkilat yang licin, ini ialah resipi untuk melakukan ujian jatuhan secara tidak sengaja.

Bercakap mengenai sisi, butang kuasa yang besar terletak pada sisi kanan. Butang yang lebih besar ini turut mempunyai fungsi sekunder sebagai butang mengawal Siri. Ia turut diperbuat daripada logam dan adalah amat selesa digunakan. Di bawahnya terdapat talam untuk satu SIM bersaiz nano. Pada sisi kiri pula terdapat dua butang kawalan suara dan butang menyahaktifkan bunyi peranti. Sekali lagi kesemuanya diperbuat daripada logam dan amat selesa digunakan. Kualiti butang pada peranti iPhone tahun demi tahun tidak pernah mengecewakan.

Sebuah port pengecasan Lightning diletakkan pada bahagian bawah bersebelahan salah satu dari dua pembesar suara stereo. Sebuah lagi pembesar suara adalah pada bahagian hadapan takuk skrin. Susunan pembesar suara stereo ini mungkin sedikit aneh tetapi kualiti bunyi yang dihasilkan adalah amat baik. Kami merasakan ia lebih terang dan kuat berbanding yang ditemui pada HTC U11. Tahap bunyi dari kedua-dua pembesar suara adalah sentiasa seimbang.

Harus disentuh tentang tiadanya bicu audio 3.5mm. Apple menyertakan sebuah penyesuai dan sepasang EarPods dengan setiap pembelian. Bagi yang lebih selesa dengan aksesori Bluetooth, iPhone X menyokongnya tanpa masalah.

Antaramuka

Sistem operasi iOS 11.1.2 digunakan dan ialah versi terkini yang menyelesaikan masalah skrin tidak berfungsi di dalam cuaca sejuk. Penggunaannya pada iPhone X adalah berbeza berbanding pada iPhone yang lain di pasaran kerana tiada lagi butang home fizikal.

Pada bahagian bawah skrin terdapat dok untuk empat aplikasi yang boleh dikustomasi oleh pengguna. Di bawah dok ini pula terdapat sebuah garisan mendatar yang agak panjang. Ini penanda ruang kawalan berasaskan gesture yang digunakan pada peranti ini. Untuk kembali ke Home, jari perlu menatal dari garis ini ke atas. Untuk melakukan multi-tugas pula, pengguna menatal ke atas dari garis yang sama dan berhenti seketika pada pertengahan skrin. Skrin multi-tugas kini akan dipaparkan pada skrin.

Untuk menutup aplikasi, tekan skrin selama sesaat dan ikon merah akan muncul pada thumbnail aplikasi yang terbuka. Untuk menutup tatal thumbnail ke atas. Kami yakin ada pembaca yang mungkin merasakan ini adalah agak sulit tetapi ikhlas kami katakan selepas dua jam menggunakan iPhone X aksi ini akan dapat dilakukan dengan cukup mudah.

Garis pada bahagian bawah skrin ini turut mempunyai sebuah lagi gesture yang menarik. Tatalan ke arah sisi kiri atau kanan akan mengubah aplikasi yang sedang digunakan berdasarkan susunan kali terakhir ia digunakan. Ia mengingatkan kami kepada sistem penukaran aplikasi berasaskan lima jari pada sebuah iPad. Ia pada hemat kami adalah sistem pertukaran aplikasi yang terpantas untuk peranti mudah alih.

Seperkara lagi untuk melancarkan Control Center, pengguna menatal dari bucu kanan atas ke bawah. Menatal dari bucu bertentangan pula akan memaparkan skrin notifikasi. Bagi yang tidak dapat menyentuh bucu-bucu ini, fungsi Accessibility disertakan dan tatalan boleh dilakukan dari tengah skrin.

Kami menulis tiga perenggan di atas dari pandangan seorang pengguna tegar platform Android. Sebenarnya ketika menerima iPhone X untuk diulas, kami sudah bersedia untuk mengeluarkan kenyataan negatif tetapi realitinya pembaca sekalian, sistem berasaskan gesture yang digunakan ini amat intuitif. Kini kami berharap ia akan ditiru oleh Android di masa hadapan.

Tetapi ada sedikit penafian di sini. Kami mempunyai telapak tangan yang besar. Saiz iPhone X bagi kami adalah kecil dan kesemua permukaan skrin dapat kami akses dengan mudah. Setelah lebih setahun menggunakan peranti dengan skrin besar (bermula dengan Xiaomi Mi Mix dan kemudian Note 8 ), jari kami sudah tidak mempunyai masalah memegang peranti nirbingai. Ini berkemungkinan besar membuatkan kami dengan pantas membiasakan diri dengan rekaan baru antaramuka iOS ini.

Pengalaman anda menggunakan iPhone X mungkin akan berbeza bergantung kepada saiz tapak tangan, panjang jari dan pengalaman menggunakan peranti nirbingkai sebelum ini.

Face ID Dan Animoji

Sebuah ruangan khas perlu kami sertakan untuk Face ID kerana adalah antara topik yang terhangat diperkatakan di atas talian. Dari segi kemudahan penggunaan, Face ID mungkin sistem imbasan wajah/anak mata adalah yang terpantas pernah kami gunakan. Terpantas dari segi bagaimana wajah diimbas dan proses menyahkunci dilakukan.

Memasukkan imbasan wajah dan kepala pertama kali adalah secara harfiah semudah memutarkan leher. Proses mengambil masa di bawah dua minit. Masukkan kepala ke dalam ruang bulat yang tepapar pada skrin dan gerakkan kepala. Ia semudah itu. Ini adalah lebih pantas dan mudah berbanding proses merekodkan cap jari (yang kami yakin anda semua pernah gunakan) dan anak mata (seperti yang digunakan pada peranti Samsung).

Menyahkunci pantas kerana dalam 90% situasi, kami hanya perlu menatal skrin ke atas dari skrin terkunci. Kami tidak pernah menyedari Face ID mengimbas wajah kerana ia setakat ini (selepas 24 jam penggunaan) tidak pernah gagal.

Sebuah lagi penafian di sini. Kami tidak pernah mengunci peranti-peranti Android yang kami miliki. Sudah kebiasaan sejak enam tahun menggunakan peranti pintar kami mengeluarkan peranti dari kocek dan tatal skrin ke atas untuk menggunakan peranti. Oleh itu keperluan menatal dari skrin yang terkunci bukan masalah besar dari sudut pandangan kami.

Tetapi sidang redaksi Amanz ramai yang menggunakan iPhone dengan Touch ID. Keperluan menatal pasca imbasan Face ID bagi golongan ini adalah sesuatu yang memperlahankan proses menggunakan peranti.

Fungsi paling berguna Face ID setakat ini bagi kami ialah bukanlah Animoji. Sebaliknya ialah sistem privasi pada paparan notifkasi. Notifikasi pada skrin terkunci tidak boleh dibaca melainkan selepas peranti mengesan wajah pengguna. Terasa agak magis apabila notifkasi pada skrin secara tiba-tiba terbuka dan kami dapat membacanya. Selain sistem multi-tugas berasaskan gesture yang kami sebutkan tadi, ini sebuah lagi fungsi yang harus ditiru Android.

Tetapi adalah sistem ini sempurna dan lebih baik berbanding Touch ID? Ini bergantung kepada individu. Hanya satu wajah dapat disimpan oleh Face ID pada satu-satu masa. Ini bermakna bagi mereka yang berkongsi akses peranti dengan isteri (seperti saya) akan menyukarkan proses nyahkunci peranti. Kami sudah bertahun menyimpan cap jari diri sendiri dan isteri pada peranti. Bagi mereka yang gemar berahsia, Face ID ialah sistem paling selamat untuk anda terus berahsia.

Animoji memang menarik perhatian kami pada awalnya tetapi selepas sejam ia hanyalah mainan untuk anak-anak belum mumayyiz. Gimik jualan yang bijak oleh Apple tetapi untuk jangka masa panjang ia mungkin akan tidak digunakan dengan kerap sama seperti Live Photo dan 3D Touch.

Kamera

Kamera utama sebesar 12+12-Megapixel f/1.8+f/2.4 dilengkapi sistem pemfokusan PDAF dan sistem OIS berganda. Ini menjadikan iPhone X peranti kedua di pasaran dengan sistem OIS berganda selepas Samsung Galaxy Note 8. Sistem dwi-kamera yang digunakan menggabungkan lensa sudut lebar dengan lensa telefoto berkemampuan zoom optikal 2X. Seperti pada iPhone 8 Plus, kamera utama ini turut mampu merakam video pada resolusi 4K 60FPS serta mod Portrait Lighthing baru dengan kesan khas lampu maya.

Pada bahagian hadapan pula kamera sebesar 7-Megapixel f/2.2 disertakan. Kamera hadapan ini mempunyai kemampuan paling unik peranti sepanjang 2017 iaitu Face ID, Animoji dan Portrait Lighting. Fungsi bokeh dan lampu maya pada kamera utama akhirnya boleh turut digunakan ketika mengambil gambar swafoto. Kamera hadapan hanya mampu merakam video pada resolusi maksimum 1080P 30FPS.

Zoom Optikal

Fungsi zoom optikal yang diperkenalkan pada iPhone 7 Plus tahu lalu kembali dengan beberapa penambahbaikan. Tahun ini kedua-dua sensor 12-Megapixel dilengkapi OIS dan lensa telefoto kini mempunyai nilai f/2.4 berbanding f/2.8. Di atas kertas ini akan menghasilkan gambar telefonto yang lebih tajam kerana tiada masalah gegaran serta kemampuan mengambil gambar yang lebih baik di dalam keadaan gelap.

Di bawah ialah empat contoh gambar yang diambil menggunakan lensa sudut lebar dan telefoto. Dua gambar teratas diambil di dalam situasi pencahayaan yang baik. Apabila melakukan zoom sebanyak dua kali, kualiti gambar masih lagi baik dan tajam. Penghasilan warna juga semula jadi. Tiada masalah di sini.

Lihat pula dua contoh di bawah di dalam  sebuah galeri dengan pencahayaan kurang baik. Gambar dari lensa sudut lebar adalah amat baik dengan penghasilan warna yang semula jadi tanpa sebarang kesan noise. Gambar zoom kemudian diambil dan alur kayu kelihatan sedikit kabur. Ia tidak setajam gambar pertama dengan softening yang ketara.

Kamera iPhone X dinobatkan sebagai antara yang terbaik hanya di belakang Pixel 2. Tetapi sepanjang tempoh ulasan kami sedikit kecewa dengan kemampuan zoom optikal peranti ini. Kualiti gambar yang diambil menggunakan zoom optikal Galaxy Note 8 pada hemat kami lebih baik kerana lebih tajam.

Portrait Lighthing

Tahun lalu mod Portrait dengan fungsi bokeh diperkenalkan sehingga menjadi ikutan pengeluar lain. Tahun ini Apple merasakan mod Portrait Lighting yang mampu mengubah pencahayaan gambar selepas ianya diambil pula akan menjadi ikutan ramai. Empat kesan khas yang disertakan ialah Studio Light, Contour Light,Stage Light dan Stage Light Mono.

Ia masih lagi fungsi yang belum berfungsi dengan baik. Seperti Live Focus pada Note 8, syarat tertentu perlu dipenuhi sebelum ia boleh digunakan. Objek perlu berada jarak tertentu dengan cahaya yang mencukupi.

Secara ikhlas mod ini adalah hanya gimik. Walaupun diiklankan secara meluas ia tidak kami gunakan selepas minggu pertama kerana masih belum sempurna. Kesan pencahayaan juga tidak begitu ketara. Mod Stage Light misalnya memerlukan perbezaan latar belakang dan latar hadapan yang jelas. Seperti anda boleh lihat pada gambar paling kanan, perisian Portrait Lighting gagal membezakan objek naga dari dinding.

Mod yang sama boleh digunakan pada kamera swafoto dengan masalah yang sama. Mod ini perlu dikemaskini lagi bagi memastikan ia berfungsi dengan sempurna. Sekali lagi kami merasakan Portrait Lighting adalah gimik kurang berguna untuk kegunaan harian seperti Animoji.

Ujian Kamera

Terdapat dua “mazab” dalam dunia fotografi mudah alih. Mazhab pertama mementingkan imej yang tajam dengan warna yang hidup walaupun tidak semula jadi. Ini boleh ditemui pada kamera peranti utama Samsung. Mazhab kedua ialah peminat gambar dengan warna semulajadi serta tiada penajaman imej menggunakan perisian. Ini telah dipegang oleh iPhone sejak sedekad yang lalu.

Kualiti gambar yang diambil iPhone X bergantung besar kepada mazhab yang dipegang. Sebagai pengguna Samsung kami akui berat sebelah kepada kualiti gambar pengeluar dari Korea Selatan. Tetapi adalah sukar untuk menidakkan kualiti gambar iPhone X seperti yang anda boleh lihat di bawah. Warna gambar amat semula jadi sama seperti situasi sebenar. Ketajaman gambar juga amat baik walaupun tanpa penajaman menggunakan perisian. Tiada masalah dedahan berlebihan atau blooming dari lampu.

Untuk pengambilan gambar secara automatik, 99% gambar yang diambil akan memuaskan hati pengguna. Ketiadaan mod manual mungkin akan mengecewakan sebahagian kecil pengguna. Aplikasi pihak ketiga perlu dimuat turun untuk mengaktifkan kawalan manual yang lebih terperinci. Pada waktu yang sama menukar tetapan kamera perlu dilakukan dari skrin Settings. Apple masih belum bersedia memberikan kawalan resolusi gambar dan video terus dari dalam aplikasi kamera.

Audio

Sepanjang tahun 2017 kami telah mula membiasakan diri dengan peranti yang tidak lagi menyokong bicu audio 3.5mm. Peredaran zaman memerlukan kami turut berevolusi dengan keperluan moden. Penggunaan penyesuai pada hemat kami masih belum boleh dikategorikan sebagai menyenangkan kerana secara ikhlas tidak ada insan gemar membawanya apabila keluar dari rumah. Sungguhpun begitu tidak dapat dinafikan kemampuan audio iPhone X adalah amat baik walaupun tanpa bicu audio.

Kita mulakan dahulu dengan sistem pembesar suara yang disertakan. Ia menyokong sistem audio stereo dengan satu pembesar suara di bahagian bawah dan satu lagi pada bahagian atas. Ini bukanlah konfigurasi yang menarik jika dibandingkan dengan sistem dua pembesar stereo hadapan pada XZ Premium misalnya. Tetapi ia dengan mudah mengalahkan Sony XPeria XZ Premium dan HTC U11 yang kami ulas tahun ini.

Bunyi yang dikeluarkan cukup lantang dan jelas. Pada tetapan audio tertinggi sekalipun kami tidak mengalami masalah ia kedengaran seperti pecah. Amat seronok sekali menonton video pada iPhone X kerana kualiti audio yang cukup baik.

Apple EarPods yang disertakan turut memberikan kualiti audio yang amat memuaskan tetapi mungkin sedikit di bawah fon telinga U Sonic HTC U11. Penstriman audio menggunakan Bluetooth juga amat memuaskan dengan dentuman bass yang kuat, treble yang terang dan pemisahan audio yang ketara. Pendek kata dari segi audio, iPhone X akan mempunyai kemampuan audio yang amat baik sesuai dengan statusnya sebagai peranti premium.

Penanda Aras

Apple mendakwa pemproses Apple A11 Bionic ialah pemproses paling berkuasa pernah mereka hasilkan. Melalui ujian penanda aras yang kami sendiri lakukan dakwaan mereka ini adalah amat tepat. Di dalam ujian Antutu ia mencatatkan 220,478 markah manakala dalam ujian Futuremark Ice Storm Unlimited pula ia mencatatkan 63,200 markah.

Ini dengan mudah memintas Exynos 8895 sebagai pemproses paling berkuasa peranti pintar untuk tahun 2017.  Markah yang dicatatkan A11 Bionic di dalam ujian Antutu adalah 28% lebih tinggi berbanding Exynos 8895. Markah yang dicatatkan di dalam Futuremark pula 98% lebih tinggi. Pemproses terbaik bagi peranti Android untuk 2017 bukan sahaja dikalahkan tetapi dibelasah teruk oleh A11 Bionic.

Tetapi bagaimana pula dalam penggunaan seharian? Adakah kepantasan di dalam ujian sintetik grafik ini boleh digunapakai? Sebagai pengguna Note 8 kami merasakan kepantasannya dengan iPhone X adalah sama. Kelancaran tatalan dan menukar aplikasi tidak kami sedari. Perbezaan hanya dilihat apabila melancarkan permua. Tetapi saiz RAM Note 8 sebesar 6 Gigabyte memastikan lebih banyak aplikasi dapat dilancarkan serentak tanpa ia perlu menjalani proses segar semula.

Tahun ini jurang kepantasan di antara Android dan iOS sudah semakin mengecil. Malahan di dalam penggunaan biasa, Android (dalam kes ini Note dan OnePlus 5T) lebih pantas dalam melancarkan aplikasi.

Bateri

Pada penggunaan paling berat (skrin QHD+, menggunakan Waze, ditambat kepada Gear S3 dan menstrim audio Spotify secara bluetooth) peranti bertahan selama 8 jam 6 minit dengan skrin terpasang selama 6 jam 10 minit. Pada penggunaan sederhana pula peranti bertahan selama 23 Jam 39 minit dengan skrin terpasang selama hampir 7 jam 22 minit.

Ini ialah hayat bateri yang amat baik kerana iPhone X hanya dilengkapi bateri sebesar 2716 mAh. Peranti utama Android seperti Note 8 yang mempunyai bateri yang lebih besar tidak mampu mempunyai waktu skrin terpasang yang setanding.

Tetapi jika dibandingkan dengan iPhone 8 Plus, jelas penggunaan skrin yang lebih besar menjejaskan ketahanan bateri. Pada iPhone 8 Plus waktu skrin terpasang mencecah 9 Jam adalah sesuatu yang biasa. Jadi sekiranya anda memerlukan iPhone dengan ketahanan bateri terbaik 2017, iPhone 8 Plus ialah pilihan terbaik.

Peranti ini menyokong pengecasan pantas tetapi malang sekali pengecas pantas tidak disertakan dengan setiap pembelian. Pengecas tiga pin 5W (5v/1A) yang disertakan memerlukan 2.5 jam untuk mengecas peranti sepenuhnya. Apabila menggunakan pengecas 10W (5v/2A). masa mengecas berkurangan ke sekitar 2 jam. Ini masih lebih perlahan jika dibandingkan dengan pengecas QuickCharge 3.0 HTC U11 yang mengecas bateri 3000 mAh dalam masa hanya 100 minit. Kami tidak berkesempatan menggunakan pengecas 12W Apple kerana tidak mahu membelanjakan RM 89 untuk membelinya.

Pesaing

Apple iPhone X ialah peranti utama premium. Oleh itu peranti-peranti pesaingnya di pasaran ialah Samsung Galaxy Note 8 dan Huawei Mate 10 Pro. Ketiga-tiga peranti mempunyai skrin besar OLED dengan sokongan HDR. Dengan kemampuan hampir setanding, perbezaan paling ketara terletak pada harga jualan.

Peranti Pesaing
Apple iPhone X Samsung Galaxy Note 8 Huawei Mate 10 Pro
5.8″ OLED, Super Retina HDR (458 PPI) 6.3″ SAMOLED QHD+ HDR (521 PPI) 6.0″ AMOLED, FHD+ HDR (402 PPI)
Apple A11 Bionic 2.3 x 4 + 1.7 x 4 GHz Exynos 8895 2.4 x 4 + 1.8 x 4 GHz HiSilicon Kirin 970
Apple M11 Mali G71 MP20 Mali-G72 MP12
3 Gigabyte 6 Gigabyte 6 Gigabyte
64/256 Gigabyte 64 Gigabyte (256 GB MikroSD) 128 Gigabyte
Kamera Utama 12+12 Megapixel, f/1.8+f/2.5, Focus Pixel, Dual OIS Kamera Utama 12+12 Megapixel f/1.7+f/2.4, Dual Pixel, Dual OIS Kamera Utama 12+20 Megapixel, f/1.6+f/1.6, PDAF, OIS
Kamera Hadapan 7 Megapixel, f/2.2. Kamera Hadapan 8 Megapixel, f/1.7. Kamera Hadapan 8 Megapixel, f/2.0.
2716 mAh (Pengecasan Pantas) 3300 mAh (Pengecasan Pantas) 4000 mAh (Pengecasan Pantas)
RM 5149 RM 3999 RM 3099

Kesimpulan

iPhone X ialah telefon pintar terbaik yang pernah dihasilkan oleh Apple. Akhirnya rekaan ikonik iPhone diberikan nafas baru bagi memenuhi kehendak pasaran semasa. Sebelum ini Apple mengambil masa bertahun-tahun untuk memperkenalkan fungsi yang terlebih dahulu muncul pada peranti Android. Mereka lebih proaktif tahu ini dan percaturan mereka nampaknya membuahkan hasil.

Fungsi keselamatan yang diperkenalkan menerusi Face ID adalah antara yang terbaik kami lihat pada peranti pintar. Ia lebih pantas berbanding imbasan retina Samsung dan menyorokkan notifikasi sehinggalah wajah pemilik dikesan. Jika ada fungsi yang perlu ditiru Android ini adalah salah satu daripadanya.

Fungsi kedua yang perlu ditiru ialah sistem penukaran aplikasi menggunakan gesture. Aplikasi boleh ditukar dengan menatal ke kiri atau kanan dari bawah skrin. Ia amat intuitif dan pantas.

Seperti biasa ketahanan bateri iPhone X perlu diberikan pujian. Walaupun hanya sebesar 2740 mAh, ia bertahan jauh lebih lama berbanding peranti utama Android dengan kapasiti yang lebih besar. Peranti ini juga akhirnya mempunyai sokongan pengecasan pantas dan pengecasan tanpa wayar.

Kemampuan kamera juga seperti biasa amat baik dari Apple. Gambar yang diambil adalah tajam, mempunyai penghasilan warna yang tepat dan merakam video pada tetapan 4K 60FPS. Walau bagaimanapun sistem Portrait Lighting yang diperkenalkan masih belum sempurna.

Bercakap tentang belum sempurna, takuk skrin iPhone X sebenarnya tidak mendatangkan masalah. Dalam penggunaan biasa, ia menjadi semakin tidak disedari kewujudannya selepas digunakan dalam tempoh yang lama. Tetapi jika anda kerap menonton video dan ingin menggunakan keseluruhan skrin, takuk ini mencacatkan pemandangan. Keseluruhan skrin juga tidak digunakan apabila menonton Netflix.

Akhir sekali Face ID masih perlahan dan tidak berfungsi dengan sempurna sepanjang tempoh ulasan. Masa diambil untuk menyahkunci hampir dua kali ganda lebih lambat berbanding Touch ID. Kegagalan Face ID juga berlaku apabila menggunakannya di luar dengan matahari yang terik, berhampiran sumber lampu dan tidak boleh digunakan jika ia diletakkan di atas meja.

Sungguhpun begitu iPhone X masih iPhone terbaik pernah dihasilkan kerana Apple akhirnya berani melakukan perubahan secara besar-besaran dan bukannya kecil seperti model-model sebelumnya. Dengan harga jualan bermula RM 5149 ia jatuh ke dalam kategori kurang mampu milik. Tetapi jika anda berwang dan mahukan iPhone terbaik 2017, hanya iPhone X memenuhi keperluan anda.

Kelebihan Kekurangan
  • Skrin OLED yang cantik dan tajam lengkap dengan sokongan HDR.
  • Pemproses Apple A11 Bionic ialah yang terbaik di pasaran sekarang. Dengan mudah memintas Exynos 8895 sebagai pemproses paling berkuasa 2017.
  • Sistem multi-tugas dan pertukaran aplikasi berasaskan gesture yang amat intuitif.
  • Face ID ialah sistem yang inovatif dalam mengekalkan privasi notifikasi yang diterima.
  • Kemampuan kamera yang amat baik.
  • Hayat penggunaan bateri yang amat lama.
  • Skrin besar tetapi kesemua permukaan skrin dengan mudah diakses sebelah tangan.
  • Takuk skrin mencacatkan pemandangan apabila menonton video secara fullscreen.
  • Face ID masih perlahan berbanding Touch ID.
  • Pengecas pantas tidak disertakan dengan pembelian.
  • Permukaan kaca pada bahagian belakang licin dan memerangkap kotoran.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd