Cari @ Amanz

Awal tahun yang lalu tular gambar Stadium Maracana yang terabai usai temasya Sukan Olimpik 2016. Pihak pengurusan stadium tidak mampu menanggung kos penjagaan dan sehingga bekalan elektrik dipotong kerana hutang hampir mencecah RM 4 juta. Masalah stadium gajah putih ini bukannya baru kerana turut berlaku di Greece dan China. Penganjur Piala Dunia 2022 Qatar mahu mengelakkan masalah yang sama dengan membina sebuah stadium modular.

Stadium Ras Abu Aboud sedang dibina menggunakan kontena kargo terpakai. Bahan ini digunakan kerana stadium ini terletak berhampiran pelabuhan Doha. Usai temasya kelak, stadium dengan kapasiti 40,000 penonton ini boleh ditanggalkan dan komponen dipasang semula untuk membina stadium di lokasi yang lain.

Terdapat bahan yang cukup untuk membina dua stadium mini untuk acara sukan lain seperti tenis. Pembinaan dijangka siap menjelang 2020 dan sekaligus menjadikannya stadium pertama Piala Dunia dengan kemampuan boleh ditanggalkan. Dengan bahan binaan yang lebih lestari ini, Qatar berharap masalah stadium terabai pasca Piala Dunia dapat dielakkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd