Format HDMI 2.1 Kini Rasmi – Menyokong Resolusi 10K 120FPS Dan Dynamic HDR

Format HDMI 2.1 Kini Rasmi – Menyokong Resolusi 10K 120FPS Dan Dynamic HDR

Diterbitkan pada November 29, 2017 oleh .

Kita telah hampir ke penghujung 2017 dan jika anda ke ruang pameran televisyen, sebuah televisyen 4K kini boleh dimiliki pada harga di bawah RM 3000 sebuah. Pengurangan harga hampir separuh ini adalah kerana teknologi lebih matang dan kemudahan menstrim kandungan UHD. Untuk itu kabel HDMI 2.0 diperlukan.

Ramai pengguna masih menggunakan televisyen 1080P tetapi format terkini HDMI telahpun ditetapkan oleh HDMI Forum. Format HDMI 2.1 telahpun diumumkan dan ia mampu menyokong resolusi sehingga 10K 120FPS. Ini ialah format untuk masa hadapan kerana sehingga kini tiada paparan komersial yang menyokong sehingga resolusi tertinggi ini.

HDMI 2.1 mampu menyalurkan data pada kelajuan 48 Gbps dan adalah peningkatan mendadak dari 18 Gbps yang disokong HDMI 2.0. Sokongan Dynamic HDR juga diumumkan. Paparan warna dan keterangan skrin berubah secara dinamik mengikut keperluan babak dan bukannya menggunakan satu profil statik HDR semasa. Di atas kertas ini memberikan paparan yang lebih hidup berbanding sedia ada.

Bagi golongan gamer, HDMI 2.1 menyokong Game Mode VRR. Bagi memastikan kelancaran paparan ketika sesi permainan video, kadar segar semula skrin akan berubah mengikut keperluan untuk mengurangkan masalah screen tearing.

Akhir sekali kabel HDMI 2.1 menyokong kesemua format terdahulu dan boleh digunapakai pada kesemua peranti yang mempunyai port HDMI.

Sumber HDMI Forum melalui PC Gamer


TIPS & ULASAN