Carian
Kamera Dengan Kecerdasan Buatan Terbina AWS DeepLens Diperkenalkan
November 30, 2017 Ikhwan Nazri

Pada acara AWS re:Invent yang berlangsung minggu ini, pelbagai perkhidmatan terbaru telahpun diumumkan oleh pihak AWS. Salah satu perkara menarik adalah inisiatif mereka dalam menyediakan perkhidmatan pembelajaran mesin dan mereka telahpun memperkenalkan AWS DeepLens.

AWS DeepLens merupakan kamera pintar yang mempunyai kecerdasan buatan terbina padanya disasarkan untuk kegunaan pembangun, sedikit berbeza dengan kamera Google Clips. Malah rekaannya juga disasarkan untuk pembangun, dimana terdapat slot penyambungan khusus dan tidak boleh dibawa kemana-mana seperti Google Clips.

Pada kamera ini, pembangun boleh melatih kecerdasan buatan yang dibangunkan mereka atau menggunakan AWS SageMaker iaitu komponen terbaru perkhidmatan mereka bagi mempercepat proses pembelajaran mesin. Menariknya pembangun juga boleh bereksperimen dengan pelbagai perkara berkaitan kecerdasan buatan berasaskan imbasan gambar atau wajah, memandangkan kamera ini telahpun ‘dilatih’ sebelum sampai kepada pengguna.

Kamera Berkecerdasan Buatan AWS DeepLens ini akan mula dijual secara pratempah pada harga USD249 menerusi Amazon pada awal tahun 2018.

Komen