Sejumlah Perkhidmatan Baru Diperkenalkan Di AWS re:Invent 2017

Sejumlah Perkhidmatan Baru Diperkenalkan Di AWS re:Invent 2017

Diterbitkan pada November 30, 2017 oleh .

Menjadi kebiasaan pada akhir bulan November setiap tahun Amazon Web Services AWS mengadakan acara mereka iaitu AWS re:Invent. AWS merupakan salah satu anak syarikat dibawah Amazon ialah penyedia infrastruktur IT yang menawarkan khidmat tersebut kepada lebih dari jutaan laman web seluruh dunia.

Pada acara AWS re:Invent kali ke-6 ini, Ketua Pengarah Eksekutifnya iaitu Andy Jassy memulakan ucaptama pagi ini dan berkongsi mengenai perkhidmatan terbaru yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Jika tahun lepas mereka mempunyai tema ‘sifat perwira yang perlu ada pada setiap laman web’, tahun ini ucaptama mengikut tema Pembangun Dan Pemuzik dan menampilkan lirik-lirik lagu yang dikaitkan dengan teknologi.

1: Everything is Everything, after winter must come spring

Tema pertama yang memulakan ucaptama ini merujuk kepada penyediaan sesuatu perkhidmatan itu perlulah menyeluruh. AWS sehingga kini telah menyediakan pelbagai perkhidmatan yang merangkumi kesemua keperluan pembangun.

Sekiranya pembangun memerlukan perkhidmatan yang lebih kearah keperluan grafik, mereka mempunyai perkhidmatan F1 FPGA. Sekiranya aplikasi tersebut memerlukan penggunaan memori yang sangat tinggi, X1e tersedia bagi pengguna.

Dalam menyedari keperluan pengguna terkini, AWS kini menyediakan perkhidmatan Elastic Container untuk sistem Kubernetes (EKS). Kubernetes merupakan sistem yang memudahkan pembangunan dan pengurusan aplikasi.

Satu lagi perkhidmatan terbaru ialah AWS Fargate, dimana pengguna boleh menjalankan Elastic Container Services mahupun ECS Kubernetes (EKS)tanpa perlu mengendalikan pelayan.

2. Freedom

Kebanyakan syarikat penyedia infrastruktur selalu dan sengaja mengikat pelanggan kepada sistem mereka. AWS menjanjikan kebebasan kepada pengguna dalam menggunakan perkhidmatan mereka, dan dari dahulu menggunakan konsep pembayaran mengikut apa yang digunakan. Menerusinya, pengguna hanya perlu membayar apa yang mereka perlukan, dan boleh berhenti pada bila-bila masa sekaligus mengurangkan kebergantungan mereka.

Andy turut berkongsi yang mana sewaktu sesi jualan Amazon Prime, laman Amazon telah menerima ‘3.3 trillion request data’, dimana ia bukan sesuatu yang biasa dialami setiap hari. Dibawah faktor kes ini, setiap sistem mahupun aplikasi perlu bersedia untuk menghadapi keadaan trafik yang tidak dijangka, namun bisnes model cara lama biasanya menghambat perniagaan dengan mengenakan caj khusus untuk situasi sebegini.

 

Dibawah tema ‘Freedom’, terdapat empat kemaskini terbaru untuk perkhidmatan AWS. Jika tahun lalu AWS telahpun memperkenalkan Amazon Aurora, tahun ini Aurora Serverless diperkenalkan membolehkan pangkalan data bertahan apabila mengalami waktu puncak.

Pada Dynamo DB, terdapat dua kemaskini iaitu Dynamo DB Global Tables dan juga Dynamo DB Backup & Restore. Dynamo DB Global Tables membolehkan pengkalan data pengguna diletakkan pada Availability Zone yang lain, manakala Dynamo DB Backup & Restore membolehkan pangkalan data Dynamo DB sentiasa mempunyai sandaran data tanpa sedikitpun mengganggu prestasi harian.

Pihak AWS turut menyatakan yang mana fungsi simpanan sandaran data ini sudah tersedia bermula hari ini, namun untuk fungsi Point In Time Restore hanya akan tersedia pada awal 2018.

Satu lagi perkhidmatan baru yang diperkenalkan untuk tema ini adalah Amazon Neptune. dengan pengkalan data yang dimiliki pengguna mahupun perniagaan, data-data tersebut dapat dihubungkan secara graf, sekaligus membantu perniagaan melihat hubungkait sesuatu data. Ia tersedia untuk dicuba pengguna bermula hari ini.

3. Do You Have Blind Faith? No False Hope ?

Baru-baru ini terdapat isu dimana kebanyakan manusia mempercayai data secara terus, dan ini memungkinkan kesilapan pengguna dalam mempercayainya. S3 / Simple Storage Service merupakan solusi simpanan data yang popular dari AWS, malah lebih besar jauh meninggalkan pesaingnya.

Menyedari banyaknya simpanan data dan fail, AWS pada hari ini memperkenalkan S3 Select dan juga Glacier Select. Menerusinya, pengguna boleh melakukan analisa secara terus pada simpanan S3 dan juga Glacier. Kedua-dua perkhidmatan baru ini tersedia hari ini.

4: Let it rain

Dibawah tema seterusnya, Andy Jassy menyatakan kebanjiran data dan analisis memungkinkan lebih banyak lagi Machine Learning (Pembelajaran Mesin), Deep Learning dan juga kecerdasan buatan dilakukan untuk aplikasi dan perkhidmatan berasaskan internet.

Namun pembelajaran mesin ini susah dilakukan, dan memakan masa yang banyak. Pembelajaran mesin memerlukan pembangun ‘melatih’ mesin tersebut, baik melakukan simulasi atau latihan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Bagi mengatasi masalah ini, AWS hadir dengan produk baru iaitu Amazon SageMaker. Amazon SageMaker merupakan perkhidmatan membolehkan pembelajaran mesin dilakukan dengan lebih pantas. dimana ia bukan sahaja dapat membangunkan model, malah melatih model tersebut.

Selain dari SageMaker, Perkhidmatan Kecerdasan Buatan Rekognition turut dikemaskini. Jika tahun lalu Rekognition hanya dapat melakukan analisis terhadap gambar, tahun ini ia dapat melakukan analisa terhadap video.

Satu lagi perkhidmatan yang dapat memanfaatkannya adalah Amazon Kinesis Video Stream, dimana pengguna dapat menyimpan serta melakukan analisis terhadap video dan audio.

Terdapat dua perkhidmatan baru diperkenalkan iaitu Amazon Transcribe yang membolehkan pengecaman suara dilakukan, dan fungsi tersebut akan menghasilkan teks, dan Amazon Comprehend yang dapat memahami kandungan, sehingga kepada jenis bahasa, sentimen kandungan tersebut, dan kata kunci yang disebutkan.

5: The waiting is the hardest part

Arena Internet of Things boleh dikatakan masih lagi muda dan baru, dan masih tidak banyak peranti-peranti yang berhubung dengan internet. Sungguhpun kebanyakan pembangun mungkin terpaksa menunggu untuk IoT ini berkembang luas, ia tidak menghalang AWS untuk merancakkan industri IoT.

Jika tahun lepas mereka telahpun memperkenalkan AWS IoT, tahun ini sebanyak empat perkhidmatan baru berkaitan IoT diumumkan mereka. Pertamanya adalah AWS IoT 1-Click membolehkan sebarang aktiviti terhadap peranti tersebut akan menjalankan fungsi Lambda pengguna.

Bagi memudahkan pembangun menguruskan peranti IoT, perkhidmatan AWS IoT Device Management membolehkan pembangun memantau dan mengendalikan kesemuanya secara serentak.

Seterusnya, AWS IoT Device Defender memastikan keselamatan peranti berhubung pengguna supaya tidak digodam atau memberikan amaran sekiranya terdapat sebarang kejanggalan sewaktu pengoperasian.

Akhir sekali, untuk setiap perkara berasaskan internet, data dan analisis perlu dilakukan. AWS IoT Analytics boleh digunakan sekaligus memberikan maklumat berguna untuk pengguna, dan data tersebut boleh digunakan untuk pembelajaran mesin.


Kesemua ini hanyalah serba sedikit pengenalan dari Andy Jassy untuk acara AWS re:Invent 2017 ini. Pada hari esok kita mungkin dapat mengetahui maklumat teknikal yang lebih mendalam dalam pengumuman yang akan dilakukan oleh Werner Vogels, Ketua Teknikal AWS.


TIPS & ULASAN