Sejak Snapchat mempopularkan ciri dinamakan Snapchat Stories, pelbagai laman sosial turut telah mengikut jejak – termasuk Instagram, Facebook, WhatsApp dan tidak ketinggalan – Skype dengan memperkenalkan variasi ciri yang lebih kurang sama pada platform masing-masing. Kini, laman video terkemuka, YouTube turut hadir dengan jawapan mereka tersendiri dinamakan Reels.
YouTube hari ini mengumumkan yang mana mereka sedang menguji sebuah kaedah perkongsian video baru dinamakan Reels. Ia lebih ditujukan kepada para penerbit kandungan di YouTube bagi membolehkan mereka berkongsi video ringkas 30-saat bersama pengikut mereka. Berbeza dengan pada platform lain, perkongsian YouTube Reels ini tidak hilang selepas 24 jam.
YouTube Reels juga boleh diterbitkan dalam beberapa set berbeza mengikut apa yang ditetapkan oleh pengguna. Disamping itu, ia juga tidak dipaparkandalam bentuk ikon bulat pada bahagian atas aplikasi – sebaliknya akan mempunyai tab tersendiri.
Buat masa ini, YouTube Reels diuji dikalangan segelintir kecil pemilik saluran – dan ia mungkin diperluaskan kepada lebih ramai penerbit serta dioptimasikan berdasarkan kepada maklumbalas.